Pages

Saturday, December 7, 2013

UMNO P.PINANG GESA TUBUH SURUHANJAYA KHAS JAGA KESUCIAN ISLAM @dzainalabidin




Kerajaan dicadang mewujudkan satu suruhanjaya khas bagi menjaga kesucian dan ketinggian agama Islam di negara ini yang kini berhadapan dengan pelbagai cabaran.

Wakil UMNO Pulau Pinang Datuk Shabudin Yahaya berkata dengan adanya suruhanjaya itu, tidak ada lagi pihak-pihak yang boleh mempertikaikan amalan Islam di negara ini seperti yang kerap berlaku kebelakangan ini.
“Suruhanjaya hak asasi manusia pun ada jadi agama Islam pun perlukan satu suruhanjaya supaya tidak ada yang boleh pertikaikan kesucian Islam termasuk di Facebook,” katanya ketika membentangkan usul agama dan pendidikan dalam Perhimpunan Agung UMNO 2013, di sini hari ini.
Ketua UMNO Bahagian Tasek Gelugor itu berkata kerajaan juga diminta bertegas terhadap sebarang usaha yang dilihat mencabar kesucian agama Islam di negara ini termasuk dalam soal ajaran sesat, fahaman syiah, pluralisme dan liberalisme.
Katanya sehubungan itu, satu tindakan konkrit adalah perlu untuk merasionalkan keseluruhan kedaulatan Islam di negara ini.
Beliau berkata pihaknya menyarankan agar pembangunan agama Islam melalui institusi masjid dan surau dimakmurkan sebaik-sebaiknya dengan gerakan seluruh negara.
“Kami juga menggesa agar perundangan syariah dan mahkamah syariah terus diperkasakan, baik infrastruktur, pegawai dan perundangan sesuai dengan Islam sebagai agama rasmi,” katanya.
Katanya pelaksanaan prinsip Wasatiyyah merupakan prinsip yang amat sesuai dengan Malaysia sebagai negara majmuk dan dengan jaminan pelaksanaan Maqasid Syariah dalam pengurusan negara, agama akan dijaga sebaik-baiknya.
“Ini menunjukkan kita UMNO sentiasa menunjangi agama dan meletakkan agama ini setinggi-tingginya. Dengan Maqasid Syariah ini kita akan melihat perubahan berlaku terutama dalam agama.
“Siapa kata UMNO tolak Islam. Siapa kata UMNO tak Islamik. Kita yang dah tunaikan tuntutan Maqasid Syariah. Kita tetapkan perjuangkan, hidupkan Islam itu sendiri. Untuk sempurnakan lebih baik, wasatiyyah digunakan.
“Hak-hak dapat diagihkan sama baik. Namun kesemua perlu ditadbir urus dengan baik dan tepat supaya tidak ada pihak yang boleh mengelirukan,” katanya.
Shabudin berkata bagi memastikan Islam di negara ini adalah Islam yang sebenar-benarnya dan agama Islam diperkasakan, pindaan perlembagaan perlu dibuat dengan memasukkan fahaman Ahli Sunnah Wal-Jama’ah. - media umno- 

No comments:

Post a Comment