Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak menolak kemungkinan pencerobohan sekumpulan warga Filipina ke kawasan pesisir pantai Lahad Datu, Sabah didalangi rakyat di negara ini yang sengaja ingin negara jadi huru hara.
Menurutnya, dalang itu hanya ingin ambil kesempatan dengan memperlihat seolah-olah masalah keselamatan dan pertahanan sistem negara longgar, dan tidak mustahil situasi itu berhubung-kait dengan matlamat politik serta perangkap politik.
“Saya fikir, mereka tentu tidak bertindak sendirian jika tiada dalang di belakangnya. Malah, dalang itu mungkin bukan dari Filipina, tetapi berkemungkinan dari dalam negara ini sendiri yang ingin melihat keadaan negara aman damai ini bertukar huru-hara.
“Keadaan di sana (Lahad Datu) terkawal. Pihak polis telah lakukan operasi sepenuhnya bersama-sama tentera. Sehubungan itu juga, diharapkan kita dapat sanggah apa yang ditulis dalam blog media sosial yang pro pembangkang mengatakan mereka ini pengganas.
“Sebaliknya mereka ini dipercayai sekumpulan nelayan dari Selatan Thailand yang mengatakan mereka pewaris keturunan Raja Sulu. Usaha memujuk mereka meninggalkan Lahad Latu diharap mencapai hasil kerana kita tidak mahu berlaku pertumpahan darah.
“Kita juga telah jelaskan jangan termakan pujuk mereka yang ada di dalam. Kumpulan ini juga bukan tentera dan kenyataan terperinci mengenai perkara ini akan dikeluar Majlis Keselamatan Negara,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas isu pencerobohan warga Filipina di Lahad Datu ketika ditemui selepas menyempurnakan Pelancaran Kesiapsiagaan Jentera Pilihanraya BN Parlimen Hulu Terengganu, di Kuala Berang, di sini, semalam.
No comments:
Post a Comment