Hotel Majestic Kuala Lumpur bukan sekadar tempat beristirehat semata-mata tetapi ia sebenarnya bangunan yang sarat dengan momen sejarah.
Bangunan ikonik itu mula membuka pintu untuk kunjungan tetamu pada 15 Ogos 1932 dan kini usianya mencecah 80 tahun.
Terletak di lokasi strategik di Jalan Hishamuddin, Kuala Lumpur, bangunan ini pernah menjadi salah satu hotel terbesar di Tanah Melayu dengan kapasiti 51 buah bilik ketika itu.
Sudut kemerdekaan negara dirintis di hotel ini dengan penubuhan Parti Pembebasan Malaya yang turut disertai oleh MCA diwakili oleh Presidennya, Tun Tan Cheng Lock termasuk wakil daripada kaum India pada tahun 1951.
Malah, pada tahun yang sama, Yang Dipertua UMNO semasa itu, Tunku Abdul Rahman telah meluluskan usul yang dikemukakan oleh wakil Perikatan Pemuda supaya slogan 'Hidup Melayu' digantikan kepada 'Merdeka' pada satu mesyuarat.
Justeru itu Majlis Mesyuarat Agung Setengah Tahun UMNO juga di bangunan ini pada 24 dan 25 Mac 1951 meluluskan usul yang dikemukakan oleh wakil Perikatan Pemuda supaya slogan 'Hidup Melayu' digantikan kepada Merdeka.
Tidak berhenti begitu sahaja, Hotel Majestic menjadi saksi Datuk Onn Jaafar meletakkan jawatan pada 26 September 1950. Beliau ialah Presiden UMNO yang pertama sejak UMNO ditubuhkan pada 11 Mei 1946.
Namun, pada 26 Ogos 1951, UMNO melantik Yang Teramat Mulia Tunku Abdul Rahman sebagai presiden parti yang kedua di Persidangan Agung keenam.
Selain itu, pada 21 Mei 1984, bekas Perdana Menteri, Tun Mahathir Mohamad merasmikan bangunan Balai Seni Lukis Negara (BSLN) di sini sebelum berpindah ke bangunan sendiri pada 13 November 1998 di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.
Sesungguhnya, hotel ini bukan sekadar bangunan tapi ia merupakan saksi sejarah Malaysia.
Hotel Majestic direka oleh seorang arkitek Belanda, Van Leangeanderg dengan keluasan 150 kaki panjang dan 70 kaki tinggi.
Semasa kegemilangannya, ia menjadi kediaman untuk golongan kenamaan serta kelompok elit penjajah British.
Selain itu, bangunan ini penuh dengan aktiviti majlis kerajaan dan negeri.
Uniknya, terdapat perkhidmatan yang mana pihak pengurusan hotel mengupah isteri pekerja untuk menjaga anak orang kenamaan dengan bayaran sebanyak RM2 sejam dengan masa kemuncaknya ialah semasa hujung tahun.
Menurut Ted Miles, 80, yang merupakan seorang bekas pendidik, dia masih dapat mengimbas kembali semasa menetap di dalam bilik Hotel Majestic.
Hotel pilihan
"Kejadian itu berlaku pada 1964. Itu kali pertama saya menonton televisyen hitam putih di restoran. Televisyen hanya dipasang dari jam 6 petang sehingga 11 malam.
"Hanya satu siaran berita sahaja dan peristiwa itu menyebabkan saya dapat melihat wajah bekas Presiden Amerika Syarikat (AS), Lyndon Johnson membuat pengumuman tentang Perang Vietnam," katanya.
Miles pernah menyaksikan pengumuman kemerdekaan Malaysia pada 31 Ogos 1957 di Stadium Merdeka dengan duduk di tempat bernombor 389.
Katanya lagi, dia masih mengingati bunyi lif yang bising kerana pintunya hanya jeriji besi bersambung.
Kini Miles menetap di sebuah kediaman di Bentong, Pahang.
Seorang bekas pakar perubatan, Tan Sri Dr. M Mahadevan memberitahu, stik yang dihidangkan pada awal 1970-an sudah cukup untuk membuatkan beliau kecur liur.
"Sedap dan murah diselangi layanan kakitangan restoran yang cukup menghiburkan," katanya.
Pengalaman tentang makanan turut dikongsi bekas Pengarah Balai Seni Lukis Negara kini Balai Seni Visual Negara (BSVN), Wairah Marzuki yang menganggap Hotel Majestic Kuala Lumpur bukan sekadar sebuah hotel.
"Saya banyak menghabiskan masa bekerja di bangunan ini apabila menjadi Galeri Seni Negara pada 1984 hingga 1998. Perpindahan itu satu kenangan yang nostalgik kerana ruang yang lebih besar untuk mengendalikan pameran serta program pendidikan," cerita Wairah.
Tambahnya, dia masih mengingati harga set makanan ala Barat iaitu RM6 yang lengkap dengan sup, roti bersaiz besar dan chicken chop.
Bagi aktres terkenal, Datuk Maria Menando, menikmati minum teh lebih 50 tahun yang lalu di hotel itu cukup mengujakan.
"Nikmatnya terasa selain bangunan yang cantik sekali," katanya.
Wajah baharu
Namun pada 8 Disember lalu, hotel ini mula dibuka semula selepas ditutup lebih 28 tahun.
Pembangunan semula ini menelan kos sebanyak RM250 juta di atas tanah seluas 1.3 hektar oleh YTL Corporation Bhd.
Menurut Pengarah Eksekutif YTL Hotels, Datuk Mark Yeoh, syarikatnya bertekad untuk membawa era baharu hotel tersebut tetapi masih mengekalkan identiti asalnya.
"Kami yakin dengan gabungan unsur tradisional dan moden ini, Hotel Majestic akan kembali gah dan menjadi ikon di negara ini seperti dahulu," katanya.
Menurut arkitek yang menjenamakan semula hotel ini, Zaidan Tahir, dia tidak menyangka pengalaman mengunjungi BSLN di situ pada 1985 menjadi titik tolak bagi dirinya menjenamakan semula hotel itu.
"Kami ingin mengekalkan gambaran dan perasaan pengunjung tetapi dalam masa yang sama memberikan nafas baharu.
"Saya mengambil masa selama 30 bulan untuk menyiapkannya serta mengkajinya," katanya.
Kini, hotel ini gah dengan 300 buah bilik yang selesa namun masih mengekalkan bangunan asal yang menempatkan bilik suite, The Colonial Cafe, The Bar dan The Tea Lounge.
Tetapi, anda perlu menyediakan RM1,080 hingga RM10,000 ke atas untuk bermalam di suite tersebut.
Bagaimanapun, pengalaman kru Jurnal menetap semalam di Kolonial Suite cukup menenangkan dengan gabungan rekaan bilik klasik dan moden yang cukup menenangkan.
Aura perabot lama seperti mengimbau kenangan silam walaupun penulis belum dilahirkan lagi semasa itu.
Ruang yang besar memberi keselesaan dan terdapat ruang tamu untuk berehat sambil menonton televisyen.
Selain itu, satu menara baharu setinggi 15 tingkat turut memuatkan bilik deluxe, suites, restoran, 16 bilik mesyuarat dan dewan besar yang mampu memuatkan 1,200 orang, gimnasium dan kolam renang.
Uniknya, terdapat jambatan khas yang menghubung bangunan lama dan baru ibarat satu transisi masa yang menakjubkan khas untuk tetamu.
Keistimewaan hotel ini ialah sebuah bilik yang menempatkan ribuan pokok bunga orkid jenis Phalaenopsis.
Ditempatkan di bilik berhawa dingin bunga yang berwarna kuning, jingga dan putih ini pasti membuai perasaan anda seperti berada di taman bunga.
Dilengkapi dengan meja dan kerusi suasana ibarat kolonial Inggeris lengkap dan enak dinikmati bersama minuman teh pada waktu petang.
Menurut Pegawai Perhubungan Awan YTL Hotel, Izan Yusof, hotel itu mempunyai bilik khas untuk tetamu menghisap rokok dan bersantai.
"Ini untuk memberikan keselesaan kepada tetamu yang tidak merokok," katanya.
Tarikan lain yang terdapat di hotel ini ialah bilik menonton yang boleh memuatkan 15 orang dalam satu masa untuk berehat sambil menonton filem yang dihajati.
"Anda boleh berehat sambil menonton filem yang dihajati bersama keluarga dengan tenang," katanya.
Tutur Izan, terdapat khidmat bas perantara kepada pengunjung terutamanya pelancong asing untuk mengunjungi pusat beli-belah Starhill di Bukit Bintang.
"Selain itu, kedua-dua bas ini ada yang menuju ke Kl Sentral untuk tetamu hotel menggunakan pengangkutan awam untuk bersiar-siar di lokasi menarik sekitar Kuala Lumpur.
"Kekerapan bas ini setiap 30 minit sekali," ujarnya.
Paling utama, The Majestic Spa, selepas kepenatan bersiar-siar sekitar Kuala Lumpur, saat ini untuk anda memanjakan diri dengan di urut di bahagian kepala dan kaki dengan urutan yang menyegarkan.
Kesimpulannya, rasanya sendiri baru tahu meneroka hotel yang lama tetapi tidak usang malah sarat dengan kemewahan dan ketenangan.
No comments:
Post a Comment