Pages

Thursday, November 29, 2012

Video : UMNO dah sedia mara hadapi musuh di PRU13 #PAU2012 @NajibRazak




Datuk Seri Najib Tun Razak mengerahkan seluruh anggota UMNO bersatu mempertahan Putrajaya sambil menegaskan rakyat Malaysia berhak mendapat kerajaan yang terbaik, dan ini hanya mampu ditawarkan oleh Umno dan Barisan Nasional (BN).
Perdana Menteri berkata pilihan raya umum ke-13 merupakan titik penentu kepada destinasi masa depan negara dan rakyat perlu tahu menilai kelebihan BN berbanding pembangkang.
Katanya ini dibuktikan dengan parti perikatan dan kemudian BN yang ditunjangi oleh UMNO sejak lebih 55 tahun lalu, secara berterusan menerajui negara dengan membawa pelbagai perubahan dan pembaharuan dengan lonjakan berganda.
Presiden UMNO itu berkata sedangkan pembangkang yang mahu berkuasa, hanya menabur janji kosong, tipu daya atau fatamorgana.
“Pilihannya amat jelas untuk kita melihat anak-anak tanpa mengira kaum mahupun agama berhilai ketawa, membesar dan berlibur bersama-sama atau didewasakan dengan kebencian yang membara,” katanya dalam ucapan dasarnya bertemakan “Kepimpinan Transformatif Menuju Wawasan Nasional” sempena Perhimpunan Agung Umno 2012 di sini hari ini.
“Pilihan raya inilah yang akan mencorakkan rupa wajah Malaysia hari esok untuk ditinggalkan pada anak-anak kita. Antara sebuah Malaysia yang maju berteraskan nilai serta matlamat dikongsi bersama, atau Malaysia yang mundur, terpisah oleh tembok ghaib dipalit rasa prasangka dan prejudis.
“Di satu sudut, jalan mulia yang terintis sejak merdeka, bersiram darah, bermandi air mata dan dibasahi keringat para patriot sepanjang zaman. Di satu sudut lagi, jalan bersimpang siur, kelam dan gulita, dibina atas fitnah, kepalsuan dan janji-janji bohong. Jika rakyat terpedaya dengan siulan menuju lorong itu, percayalah, negara yang permai ini akan hancur, runtuh dan tenggelam,” katanya.
Oleh itu, beliau berkata UMNO tidak akan membiarkan Malaysia hancur disebabkan janji-janji bohong yang ditabur pembangkang, bagi mengelakkan rakyat merempat di negara sendiri.
“Jika kita kehilangan harta, ia boleh dicari ganti. jika kita kehilangan darjat kedudukan, ia dapat dipulih semula, tetapi jika kita kecundang dalam perjuangan ini, kita sudah tidak punya apa-apa lagi. Kita akan melukut di tepi gantang, akhirnya terbangsat dan merempat di tanah sendiri,” katanya.
Najib menegaskan walaupun apapun rintangan dan cabaran yang melanda, UMNO tidak akan berundur daripada terus berbakti kepada rakyat dan negara.
“UMNO dan Barisan Nasional akan mara di barisan hadapan menghadapi musuh dari luar mahupun dalam. Kita akan menggunakan segala kudrat yang ada bagi memenangi hati dan fikiran rakyat di gelanggang demokratik,” katanya.
Najib berkata tidak wujud individu, pemimpin, organisasi atau parti yang tidak pernah melakukan kesalahan dan untuk itu, sebagai kepimpinan parti dan kerajaan, UMNO menyusun memohon maaf atas kekhilafan.
“Saya selaku Presiden UMNO bersama timbalan presiden serta seluruh saf kepimpinan parti, bersumpah dengan nama Allah dan RasulNya, berikrar dan berjanji, terus mendahulukan kesejahteraan rakyat, terus memartabat rumpun Melayu, terus membenteng akidah umat dan terus memelihara agama Islam,” katanya.
Beliau berkata sedang UMNO komited untuk memperjuang nasib bangsa Melayu dan Bumiputera, parti itu juga beriltizam memastikan bantuan dan pertolongan kerajaan sampai kepada dan mampu dinikmati golongan miskin, golongan berpendapatan rendah dan sederhana rendah daripada semua kaum di Malaysia.
“Kita mahu kemakmuran Malaysia dikongsi bersama dan tidak akan ada rakyat Malaysia yang akan ketinggalan. Bahkan UMNO menghargai dan menyanjung tinggi sumbangan setiap warga Malaysia tidak kira apa latar belakangnya dengan kejayaan nasional,” katanya.
Beliau turut mengingatkan anggota UMNO bahawa kemenangan dalam pilihan raya sebenarnya bergantung kepada banyak faktor seperti pengundi setempat, kecekapan jentera di setiap bahagian serta calon yang dipertandingkan.
“Realiti semasa menyaksikan bahawa sokongan rakyat kepada kepimpinan nasional dan negeri tidak semestinya diterjemahkan dalam bentuk undi kepada calon tempatan parti. Jika dahulu siapa yang diketengahkan parti merupakan calon boleh menang, hakikatnya tidak begitu lagi,” katanya.
Beliau berkata calon boleh menang yang dipilih oleh parti hendaklah mampu memberi nilai tambah iaitu bukan sekadar diterima oleh lingkungan parti tetapi hendaklah juga disenangi masyarakat setempat sebagai pengundi.
Dalam memastikan kemenangan BN pada PRU-13, Najib menekankan pentingnya disiplin berorganisasi sebagai faktor tonggak yang menentukan kejayaan dan kegagalan sesebuah pertubuhan untuk mencapai matlamat yang diingini.
“Dalam sebuah pertubuhan siasah, yang wujud dalam sistem demokrasi berparlimen, disiplin berorganisasi menentukan sama ada parti politik itu berpeluang menang atau kalah dalam pilihan raya,” katanya.

No comments:

Post a Comment