Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak memperjelaskan bahawa pertemuannya dengan spekulator mata wang, George Soros, di New York dua tahun lepas, adalah satu kunjungan hormat yang biasa.
"Ya, memang saya berjumpa dengannya. Apa salah dengan itu?. Ia adalah kunjung hormat biasa antara dua pihak.
"Tak perlu dibimbangi. Tidak ada isu untuk menjatuhkan kerajaan. Tak bincang pun untuk dapat kewangan. Tak ada niat jahat.
"Beliau (Soros) mahu jumpa saya. Hakikatnya, selepas Tun Mahathir datang terlebih dahulu untuk jumpa dengan dia." katanya.
Najib berkata demikian ketika ditanya oleh wartawan selepas beliau mempengerusikan mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN) di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Jumaat malam.
Sebelum ini, dilaporkan pembangkang sengaja menimbulkan isu dan kemarahan rakyat dengan membesarkan isu pertemuan tersebut dan mendesak Najib memberi penjelasan segera.
Dalam sidang media tersebut, Najib, yang juga Pengerusi BN, turut ditanya mengenai siapa dan kenapa Umno Sabah diberikan wang sebanyak RM40 juta.
Najib memperjelaskan bahawa adalah menjadi amalan biasa untuk sesebuah parti politik menerima sumbangan luar selagi mengikut prosedur yang betul.
"Ia adalah sumbangan politik. Setiap parti politik mempunyai hak untuk menerima sumbangan politik selagi ia datang mengikut saluran yang betul.
"Pembangkang juga menerima sumbangan. You (anda) boleh tanya soalan yang sama kepada pembangkang," katanya.
Baru-baru ini, Jabatan Peguam Negara memutuskan bahawa elemen perbuatan rasuah tidak dibuktikan dalam sumbangan yang diterima oleh Umno Sabah.
Dana tersebut ialah sumbangan yang dibuat kepada Badan Perhubungan Umno Sabah dan bukannya untuk tujuan persendirian Ketua Menteri Datuk Seri Musa Aman.
No comments:
Post a Comment