Isu menang atau kalah tidak menjadi tumpuan utama dalam debat kerana hujah-hujah hebat berasaskan fakta yang akan mempengaruhi penilaian pelbagai pihak, kata Ketua Pemuda Pas, Nasrudin Hassan Tantawi.
Justeru katanya, dengan mengemukakan hujah-hujah potensi anak muda dalam dunia politik serta kedudukan mereka pastinya topik debat kali ini akan menarik lebih ramai golongan muda untuk sama turut serta.
“Debat memberikan peluang penonton menilai sendiri berasaskan hujah-hujah pendebat.
“Oleh demikian, golongan muda disaran membuka minda dan menilai sendiri hujah yang disampaikan,” katanya.
Nasrudin akan berganding dengan Pengerusi Jawatankuasa Kerja Sekretariat Ulama Muda Umno, Fathul Bari Mat Jahaya pada debat Sinar Harian kali ketiga yang bakal berlangsung Khamis ini.
Topik PRU13: Orang Muda Pilih Siapa – isu yang pastinya menjadi tumpuan kebanyakan pihak yang dekat dengan dunia politik.
Debat yang berlangsung pada jam 5 petang di Auditorium Kumpulan Media Karangkraf di sini, juga dibawakan kepada penonton menerusi saluran Astro Awani, Bernama Radio 24 dan mobtv mulai jam 9 malam pada hari debat.
Debat berkenaan akan dikendalikan oleh Pensyarah Jabatan Pengajian Strategik dan Antarabangsa, Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Malaya, Prof Datuk Mohamad Abu Bakar.
No comments:
Post a Comment