Pages

Friday, July 20, 2012

Apa motif Nurul Izzah selongkar sistem NCO ATM ?




. Saya tertarik untuk mengulas mengenai tuduhan ahli-ahli politik yang berjawatan tinggi dalam parti pembangkang yang telah menuduh bahawa sekarang sudah berlaku skandal dalam projek Network Centric Operations (NCO) yang sedang dimajukan oleh Sapura Secured Technologies Sdn Bhd (SAPURA) untukAngkatan Tentera Malaysia (ATM).
2. Saya dapat tahu cerita ini dari blog Nurul Izzah ( sini ), saya fikir pihak pembangkang ini tidak habis-habis menggodam cerita-cerita sensitif ATM.
3. Malang sekali apabila banyak cerita tidak benar dan masuk akal yang datang dari pihak pembangkang, jika ada cerita yang benar sekali pun, orang sudah susah untuk percaya kerana banyak perkara yang ditokok tambah.
4. Dari kaca mata saya, cerita yang dijaja bukan dibuat untuk kepentingan negara.
5. Kalau betul sayang negara, Nurul tidak memalukan rakyat negara ini apabila membuat pengakuan kononnya kapal selam Scorpene tidak boleh menyelam di Indonesia, cukuplah dengan bising di dalam negeri sahaja (Malangnya, ada juga rakyat Malaysia yang percaya dan terus percaya sampai sekarang).
6. Oleh kerana pendedahan Nurul itu juga, Indonesia kini menempah dua lagi kapal selam dari Korea Selatan dan memodenkan dua kapal selam tua miliknya menunjukkan bertapa pihak tentera laut Indonesia tidak memandang ringan keupayaan Tentera Laut Di Raja Malaysia (TLDM).
7. Rakyat Indonesia mungkin ketawa mendengar pendedahan Nurul tetapi Tentera Nasional Indonesia (TNI) dan agensi perisikan Singapura tidak…dan kerana itu mereka bersusah payah menghantar perisik-perisik mereka memasuki ATM tetapi Alhamdullilah, Allah tidak suka orang munafik, dan mereka semua kena tangkap dan dikesan.
8. Bagi saya ahli-ahli politik seperti Nurul ini sebenarnya mudah dipergunakan oleh pihak-pihak yang berkepentingan, sama ada mereka ahli perniagaan atau pun agensi risikan luar yang berselindung di sebalik badan bukan kerajaan (NGO) yang membawa macam-macam suara dan mendakwa mereka mewakili “SUARA” rakyat negara ini.
9. Saya kira, Nurul perlu berhubung dengan ATM untuk mendapatkan maklumat tentang berapa ramai perisik Indonesia, Singapura, CIA, Mossad dan ramai lagi yang telah dikesan berkeliaran dalam negara untuk mendapat gambaran sebenar tentang apa yang sedang terjadi dan apa rancangan negara-negara yang berkepentingan.
PEMBANGKANG MELAYU SEDANG DIPERGUNAKAN
10.Ahli perniagaan (mereka yang kalah tender) inilah yang memberi maklumat kepada politikus, pihak-pihak ini mungkin kecewa kerana tender yang mereka lobi dengan nilai berjuta-juta ringgit akhirya terlepas ke tangan orang lain.
11. Saya sebenarnya sudah masak sangat dalam sepak teranjang politik dan dunia bisnes perdagangan senjata ini, bidang ini merupakan satu-satunya cabang orang Melayu boleh buat duit berjuta kerana tender biasanya boleh meninggi sampai beratus-ratus juta atau bilion.
12. Apakah wajar apabila Nurul Izzah mahu kerajaan membuat tender terbuka untuk sistem NCO bagi pihak tentera.
13.Hal-hal sensitif seperti NCO tidak wajar dibuat secara terbuka kerana ia berkait rapat dengan kerahsiaan ATM.
14. Atau Nurul Izzah telah diprovoke oleh pihak tertentu untuk mendedahkan maklumat sulit ATM tanpa beliau sedar.
15. Sepatutnya pembangkang harus berbangga kerana pembangunan NCO dijalankan oleh sebuah syarikat milik bumiputera dan ini bermakna maklumat sensitif mengenai ATM dan sistem komunikasi milik pihak keselamatan tidak akan didedah.
16. Dahulu parti yang sama juga yang membuat bising apabila pihak Polis Di Raja Malaysia (PDRM) konon-konon telah menggunakan sistem komunikasi APCO yang kebetulan mempunyai nama yang sama dengan sebuah syarikat yang mempunyai jurutera Israel.
17.Jadi ramailah ahli-ahli politik pembangkang yang risau jika rahsia negara akan terdedah kepada musuh.
18.Parti yang sama juga mendesak mengapa PDRM tidak menggunakan kepakaran rakyat tempatan untuk sistem telekomunikasinya, pada halnya APCO itu merupakannama sejenis sistem radio bukan nama syarikat.
19.Sekarang apabila ATM mengikut nasihat pembangkang, memberi kepercayaan kepada Sapura, timbul pula soal lain.
20.Saya fikir, jika projek NCO ini benar-benar akan menghabiskan wang negara dan mungkin berlaku kepincangan, saya nasihatkan Nurul untuk membuat laporan kepadaSuruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), hal-hal yang berkaitan keselamatan negara ini wajarlah diselesaikan secara dalaman tanpa perlu membuka pekung kepada pihak luar yang berminat.
21.Nurul sepatutnya sedar, Malaysia ini banyak negara yang “menaruh hati” dan masing-masing menghantar perisik mereka mendapatkan maklumat ke sini, Singapura, Indonesia, Filiphina malah Israel yang terletak jauh beribu kilometer itu pun sanggup melebarkan sayap risikan Mossadnya ke sini.
22.Dan bukan satu perkara rahsia, apabila DAP yang merupakan serpihan parti PAP Singapura menggunakan wartawan-wartawan dari akhbar Cina untuk mendapatkan maklumat mengenai ATM kerana akhbar biasanya mempunyai akses yang besar.
23.Saudari Nurul juga jangan lupa, bukan satu rahsia apabila banyak pergerakkan rakyat negara ini yang keluar masuk ke Afghanistan, Palestin, Lubnan dan ke mana-mana sahaja yang berkait dengan perjuangan dunia Islam antarabangsa telah disalurkan oleh rakyat Singapura yang berada dalam negara kepada pihak Mossad.
JENIS-JENIS TENDER MILIK KERAJAAN MALAYSIA YANG HARUS DIKETAHUI UMUM (WAJIB BACA)
TENDER PEMBERIAN TERUS
24.Nurul dan para pemimpin tertinggi parti pembangkang harus sedar bukan semua tender milik tentera boleh dibuat secara terbuka.
25.Secara umum, tender milik ATM dibuat secara i. Rundingan Terus ii. Tertutup dan iii.Terbuka
26.Rundingan terus adalah tender yang melibatkan hal-hal sensitif dan kerahsiaan di mana Kementerian Pertahanan mahu melindungi kepentingannya jadi sesuatu tender diberikan terus kepada syarikat terpilih seperti dalam isu NCO-Sapura ini.
27.Hal-hal yang berkaitan dengan sistem peperangan elektronik juga tidak akan dibuat secara tender terbuka.
28.Beberapa peralatan avionik dan sensor dalam SU30MKM juga tidak dibuat secara tender terbuka tetapi diberi langsung kepada Peranchis untuk melindungi rahsia kelebihan SU30MKM.
29.Walaupun beberapa pihak cuba meneka radar jenis apa yang dipakai oleh Sukhoi, ia hanya sekadar tekaan kerana muncung atau noise SU30 MKM tidak pernah dibuka semasa pameran kepada umum untuk menyembunyikan jenis radar yang digunakan.
30.Tender pemberian terus juga diberi kepada hal-hal yang berkaitan dengan pesawat maritim strike F-18 Hornet milik TUDM di mana, perkembangan dan pembangunan pesawat TUDM ini berkait rapat dengan polisi kerajaan AS.
31.Jadi hanya senjata dan sistem elektronik buatan syarikat AS sahaja yang boleh dipasang pada F-18 milik Malaysia dan tender terbuka atau separuh terbuka tidak akan dibuat kerana kerajaan Malaysia hanya boleh memasang peralatan yang dikeluarkan oleh syarikat AS yang diiktiraf kongres sahaja dibenarkan.
TENDER TERTUTUP
32.Tender Tertutup pula ialah satu proses di mana beberapa jemputan dihantar kepada pihak berminat. Dalam kes ini, kita ambil contoh keperluan Tentera Udara DiRaja Malaysia (TUDM) untuk melengkapkan skuadron pesawat MRCA yang baru.
33.Sebagai contoh, umum mengetahui bahawa TUDM (TUDM) sangat berminat untuk mendapatkan pesawat Typhoon dari United Kingdom (UK)
34.Ini disebabkan Typhoon mempunyai kebolehan yang sangat-sangat diperlukan oleh TUDM (sekali lagi saya kata, ini adalah contoh).
35.Kerajaan Malaysia bagaimanapun tidak boleh membeli Typhoon secara langsung dari UK kerana rakan-rakan yang lain seperti Peranchis, Russia dan Amerika Syarikat (AS) juga mengeluarkan jet pejuang dan mereka juga menyumbang sedikit sebanyak terhadap perkembangan ekonomi Malaysia.
36.Jadi Malaysia kemudian menghantar surat jemputan untuk permohonan tender kepada syarikat-syarikat pengeluar senjata AS, Sweeden, Peranchis, UK dan Russia.
37.Di sini kita lihat, China walaupun mengeluarkan jet pejuang tetapi tidak pula membariskan permohonan untuk memasarkan jet pejuang J-10 buatan mereka kepada Malaysia kerana negara itu tidak dijemput.
38.Andai kata Malaysia kemudian membeli Typhoon, negara-negara lain akan mendapat gambaran bahawa ianya adalah satu permainan yang adil dan saksama.
39.AS yang memasarkan F-18 Superhornet dan F-16 Block 60 kepada Malaysia serta Peranchis (Rafale) tidak boleh berkata apa dan berasa kecil hati kerana tender sudah pun dihantar kepada mereka dan “selection” telah dibuat mengikut tender siapa yang terbaik sedangkan sebenarnya, memang Malaysia hendakkan Typhoon.
40.Cuma mungkin kerajaan Malaysia boleh memberi alasan bahawa UK telah memberi tawaran yang lebih menarik, Typhoon wajar muncul sebagai pemenang.
TENDER TERBUKA
41.Apabila tender terbuka dibuat, maka semua pihak akan cuba bertanding untuk mendapat tender ini.
42.Kita ambil contoh pembekalan kereta kebal untuk tentera darat yang dibuat oleh tentera darat pada beberapa tahun lepas di mana, Sweeden (CV90), Korea Selatan (K1A1), Afrika Selatan (Rooikat), Uk (Vickers), Russia (T80) dan Ukraine (T90), Pakistan (Khalid) serta Poland (PT91) telah masuk bertanding.
43.Kalau kita lihat di sini, US tidak menghantar permohonan untuk memasuki Abramsdan UK pula tidak memasukkan kereta kebal Challenger mereka walaupun tender dibuat secara terbuka kerana, ATM telah pun membuat spesifikasi terutama soal berat kereta kebal yang diperlukan oleh tentera darat.
44.Pada masa itu tidak seorang pun tahu siapa yang akan memenangi tender kereta kebal tetapi akhirnya PT91 muncul sebagai pemenang.
NETWORK CENTRIC OPERATIONS (NCO)
45.Saya sudah lama menjejak maklumat mengenai sistem NCO ATM dan kali pertama saya mendapat tahu mengenainya adalah pada tahun lepas melalui kontek-kontek saya dalam Sapura.
46.Maklumat mengenai projek NCO ini tidak pernah diberitahu secara jelas kepada umum, tetapi tiba-tiba terlepas pada pembangkang dan nampaknya satu lagi projek yang patut dirahsiakan dari pengetahuan luar akan terpecah lubangnya melalui soalan demi saoalan di parlimen nanti.
47.Sebelum ini orang hanya berteka-teki sahaja mengenai NCO ATM ini tetapi sekarang projek ini sudah sahih ada dan bukan semua negara di dunia ini mempunyai sistem NCO.
48.Singapura mendahului negara-negara di Asia Tenggara dengan membangunkan sistem NCOnya sendiri.
49.Sekarang Malaysia, dan kemampuan NCO ini akan memacu ATM ke dalam dunia peperangan digital, ia tidak dimiliki oleh negara-negara jiran yang lain.
50.Kita sendiri lihat bahawa negara sekarang sudah mempunyai kemajuan dalambidang satelit, komunikasi dan perisian dan kecanggihan ini akhirnya akan diaplikasikan untuk angkatan tentera kita.
51.Habislah kalau semua didedahkan, segala maklumat prasarana yang berkait dengan gentian optik, pemetaan, gelombang radio, router, server akan terdedah sedikit sedikit sehingga ia menjadi maklumat yang lengkap kepada pihak berminat walaupun proses mengumpul maklumat mengambil masa beberapa tahun.
NCO BERBEZA DENGAN GIRN
52.Pembangkang telah menuduh bahawa ATM telah menggunakan sistem yang sama iaitu GIRN (Government Integrated Government Radio Network (GIRN).
53.Pada saya GIRN adalah sistem yang berbeza dengan NCO milik ATM dan saya akui ada banyak komplen yang datang dari pengguna GIRN.
54….tetapi untuk menuduh GIRN akan gagal adalah tidak wajar kerana sistem tersebut sedang dibangunkan dan keberkesanannya masih sedang dibaik pulih kerana ia masih diperingkat awal.
55.Sedangkan pada masa sekarang semua agensi kerajaan menggunakan sistem radio masing-masing dan masih kekal dengan unit radio yang belum digantikan dengan sistem yang boleh diintegrasikan untuk GIRN.
56.Sistem GIRN dimaju untuk penggunaan jangka masa panjang, Sapura telah menyediakan satu prasarana untuk memacu sistem komunikasi radio negara.
57.Pada peringkat awal, memang terdapat banyak masalah dan kerana itu PDRM masih kekal menggunakan sistem APCO Project 25 dan ATM masih kekal dengan pelbagai sistem radio miliknya.
58. Pengguna sistem GIRN ialah kastam, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), polis, bomba, imigresen, Kementerian perdagangan dalam negeri dan hal ehwal pengguna serta Jabatan Pertahanan Awam (JPAM).
59.Pada sekitar beberapa bulan yang lepas, sekitar April, sistem ini mengalami kerosakkan selama lebih kurang enam jam menyebabkan radio milik agensi-agensi menyelamat seperti JPAM gagal berfungsi.
60.Ada yang kata sistem ini telah disabotaj tetapi saya rasa kerosakkan berlaku akibat pemancar atau stesen kawalannya mengalami kekalutan selepas disambar petir.
61.Adalah tidak wajar untuk menyamakan projek NCO dengan rangkaian awam pada aman seperti GIRN.
62.Ada perkara yang kita simpan sahajalah dalam poket kita sendiri.
63.Kemampuan Sapura tidak perlu dipertikaikan kerana syarikat itu menggunakan teknologi terkini dari rakan kongsinya di Peranchis yang kemudian disesuaikan oleh anak-anak bumiputera.
64.Dalam artikel yang lepas, saya sudah beritahu, tidak perlu Malaysia bangunkan pesawat jet sendiri kerana anak-anak muda kita mempunyai kepakaran yang hebat dalam soal-soal perisian dan syarikat komunikasi kita sudah mencapai tahap yang boleh dibanggakan dalam bidang komunikasi.
65.Israel sendiri memberikan perhatian khusus terhadap kepakaran membina alat-alat peperangan elektronik dan menghentikan program pembangunan pesawat pejuang mereka sendiri (LAVI) dan kerana itu dunia mengiktiraf Israel kerana kecanggihan sistem peperangan elektroniknya dan dikategorikan sebagai yang terbaik malah lebih baik dari yang dikeluarkan oleh Amerika Syarikat.
NURUL DISARAN LAPOR PADA SPRM
66.Soalnya mudah, jika Nurul ikhlas dan ada berlaku penyelewengan di dalam Sapura, bagi maklumat kepada SPRM dan pandu suruhanjaya itu membuat siasatan ke atas Sapura.
67.Tidak perlu gunakan data dan maklumat yang kita ada untuk membuat tuduhan dan dibelitkan bagi tujuan kepentingan politik.
68.Jangan lemahkan negara sendiri kerana mana tahu pembangkang akan menang dalam pilihanraya dan sudah tentu jika Nurul menjadi Perdana Menteri, wanita yang bercita-cita tinggi seperti saudari sudah tentu tidak mahu mewarisi sebuah negara yang lemah dan kelak terpaksa menjilat kembali ludah-ludahnya sendiri.
SIKAP NURUL MEMPUNYAI KESAN JANGKA PANJANG
69.Sikap Nurul ini akan melemahkan semangat anak-anak bangsa dan akhirnya generasi muda terutama orang Melayu sendiri akan hilang keyakinan terhadap kemampuan diri mereka sendiri dan keupayaan negara mereka sehingga tidak dapat membezakan di antara ha-hal yang berkaitan dengan negara serta soal politik jika semuanya dipukul rata.
70.Sudah acapkali saya beritahu, jika ada di kalangan kita mengesan berlaku salah laku dalam projek-projek yang melibatkan kerajaan, silalah buat laporan SPRM.
71.Elakkan dari membuat kutukan kat belakang dan kalau projek tidak terpilih, maknanya ada sesuatu yang tidak kena kat situ, mungkin belum sampai rezeki anda.
72.Kadang-kadang saya hairan dengan sikap kawan-kawan saya, sudah menang lebih empat kali tender kerajaan tapi bila sekali tidak dapat, macam-macam kutukan dan fitnah yang mereka tabur kononnya ada kaitan dengan rasuah, kroni dan sebagainya.
73.Dalam sekelip mata, mereka sudah lupa mengenai empat tender yang mereka menang tadi, tidak pulak mereka berkata apa-apa.
74.Moralnya, kita ini walaupun jahat dan nakal, janganlah menidakkan rezeki Allah untuk orang lain sampai kita tabur fitnah ke atas mereka.
75.Kita kena berusaha untuk mencapai kekayaan, kalau gagal, hentikan dari menyalahkan orang lain, bangsa lain 1000 kali gagal mereka tidak pernah putus asa, orang Melayu baru gagal sekali dua, cepat sangat melatah.

No comments:

Post a Comment