Pages

Wednesday, May 23, 2012

Cara halus orang Melayu PP dihalau dari kawasan pulau



Atas nama pembangunan, orang Melayu Pulau Pinang terpaksa meninggalkan kawasan pulau negeri itu kerana tidak mampu untuk terus tinggal di tempat kelahiran mereka berikutan harga rumah kediaman yang melambung tinggi.

 Perunding Kewangan dan Hartanah, Nurul Fatina Abdul Salam berkata peningkatan harga rumah di Pulau Pinang terutama di sekitar kawasan pulau disebabkan permintaan tinggi di kalangan pelabur asing yang menjadikan pemilikan rumah kediaman sebagai pelaburan hartanah mereka.

 “Pulau Pinang adalah antara lokasi yang menjadi tumpuan kepada pelabur termasuk pemaju perumahan dari dalam dan luar negara, sebab itu banyak pembangunan kediaman mewah didirikan berikutan permintaan tinggi. “Jika dilihat dari satu sudut, peningkatan permintaan itu adalah suatu petanda baik dalam perkembangan ekonomi tempatan kerana secara tidak langsung memberi ruang kepada rakyat terbabit menaik taraf kehidupan mereka berbanding sebelum ini kerana keuntungan daripada penjualan hartanah mereka.

 “Namun dalam perkara ini, tidak dinafikan penduduk asal di kawasan terbabit terpaksa berpindah mencari kediaman baru kerana tidak mampu memiliki kediaman ditawarkan oleh pemaju di atas tanah milik mereka kerana harga yang terlalu tinggi,” katanya kepada UMNO-Online di sini.

 Nurul Fatina berkata, permasalahan itu mampu diatasi jika pihak berkuasa meletakkan syarat kepada setiap pemaju dengan meletakkan tanggungjawab sosial kepada masyarakat tempatan dengan menyediakan kediaman mampu milik seperti yang dilaksanakan di tempat lain termasuk di Kuala Lumpur.

 “Semua ini terserah kepada kebijaksanaan pihak berkuasa tempatan dan kerajaan negeri, mereka yang menentukan segalanya, pelabur atau pemaju akan mengikut apa sahaja syarat yang ditetapkan kerana masih mampu mengolah keuntungan pada setiap pelaburan yang dibuat.

 “Jika perkara ini dilaksanakan, isu penghijrahan penduduk asal ke tempat lain mungkin dapat dibendung, permasalahan sebegini berlaku di mana-mana terutama di bandar-bandar besar di seluruh dunia apabila pemilik asal terpaksa berpindah disebabkan pembangunan,” katanya.

 Beliau tidak menafikan apa yang berlaku itu turut membabitkan isu-isu lain termasuk politik, namun ia terpulang kepada kebijaksanaan pemerintah untuk menangani masalah berkenaan, manakala bagi pelabur apa sahaja yang disyaratkan akan dipatuhi jika pelaburan yang dibuat mampu memberi pulangan seperti yang diharapkan. -MediaUMNO

1 comment:

  1. Biar pi lah..sebab tak lama lagi..tsunami besar nak mai ke Penang tu..selamat la sikit org Islam yg dah keluar kat sana

    ReplyDelete