Pages

Monday, September 5, 2011

Pakai jaket keselamatan kalis peluru tak dapat selamatkan Noramfaizul - Dr Alwi



Pemakaian jaket kalis peluru tidak dapat menjamin keselamatan jurukamera BernamaTV Noramfaizul Mohd Nor kerana saiz peluru yang digunakan adalah besar dan mampu menembusi jaket tersebut, kata ketua pasukan perubatan misi bantuan kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia ke Somalia Datuk Dr Alwi Abdul Rahman.

Beliau berkata peluru yang mengenai Allahyarham adalah besar, dan menjejaskan dua organ penting mangsa iaitu jantung dan paru-paru.

"Walaupun pakai vest tapi masih boleh tembus. Peluru itu memasuki grey area... masuk dari armpit dan tembus ke bahu. Selepas terkena tembakan itu dia langsung tidak sedarkan diri," katanya kepada pemberita selepas tiba di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Subang, dekat sini.

Dr Alwi merupakan salah seorang daripada 55 anggota misi kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia ke Somalia termasuk Allahyarham Noramfaizul yang maut Jumaat lepas akibat terkena tembakan curi semasa membuat liputan di Mogadishu.

Beliau berkata pelbagai usaha dilakukan untuk menyelamatkan jurukamera tersebut termasuk bantuan awal oleh pasukan paramedik Australia yang berada di hotel penginapan Allahyarham.

Dr Alwi berkata beliau tiba dari tempat penginapannya kira-kira tiga minit sebaik dimaklumkan, dan mengambil alih tugas merawat mangsa yang kritikal dari pasukan paramedik tersebut.

"Kita beri bantuan pernafasan dan lakukan apa saja untuk menyelamatkan Allahyarham sedaya-upaya, tetapi peluru itu telah menembusi paru-paru dan jantung. Kita juga menerima kerjasama yang baik daripada paramedik Australia," katanya.

Semasa rawatan, Allahyarham langsung tidak memberi sebarang respons dan tidak bergerak, katanya.

"Dia tidak sedarkan diri dan hilang banyak darah. Kita dah sedia nak derma darah jika perlu sebab kita dah kenal pasti jenis darah anggota misi. Peralatan kecemasan yang kita ada di situ pun mencukupi tapi kita memang tidak dapat buat apa-apa," katanya dalam nada sebak.

Katanya usaha menyelamatkan Allahyarham berlangsung dalam suasana pilu memandangkan arwah adalah sahabatnya dan mereka pernah mengikuti beberapa misi kemanusiaan Kelab Putera 1Malaysia sebelum ini.-Bernama-

1 comment:

  1. memang hebat, sekiranya wartawan di bekalkan ataupun memakai baju kalis peluru semasa bertugas di lokasi konflik, ini kerana anggota PDRM/ATM yang bertugas secara rasmi di lokai ber,asalah hingga sekarang tidak dibekalkan dengan baju kalis peluru secara menyeluruh, ini mungki sikap kerajaan ataupun pegawai tinggi kedua-dua agensi tersebut yang tak prihatin, tapi bila orang tersayang, macam-macam cadangan serta saranan diberikan untuk melindungi mereka......kenapa...mengapa...yang berjuang secara rasmi tidak perlu dijaga kebajikan ataupun keselamatan mereka...apakah mereka ini tidak menguntungkan.....ataupun mereka hanya sebagai bahan ejekan, kutukan, hinaan........

    ReplyDelete