Sempena ulangtahun ke 64 UMNO, Presiden UMNO Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak meluahkan pengalaman singkatnya bersama seorang pejuang veteran UMNO ketika menunaikan solat Maghrib dan Isyak di surau khas di Dewan Tun Abdul Razak 4 Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) petang Selasa.
Dengan rasa terharunya, Najib menceritakan bagaimana veteran UMNO itu yang berada di sisinya itu datang ke majlis sambutan ulangtahun UMNO dengan menaikki bas dan pulang ke kampung halamannya pada malam ini juga selepas majlis tersebut.
Cerita Najib kepada lebih 2000 orang UMNO yang menghadiri majlis itu:“Saya tanya pejuang veteran ini, bila sampai (sampai ke PWTC).Dia kata, saya baru sampai petang tadi (petang Selasa), saya naik bas untuk datang ke majlis ini.
“Saya tanya dia pulak, bila balik ? Dia kata, lepas majlis ini saya akan balik naik bas juga dan sampai waktu Subuh di tempat saya”
Najib seterusnya berkata, “saya berasa terharu amat sangat bila saya melihat pada air muka pejuang veteran UMNO ini, yang mana kalau nak kata dia hendak sesuatu, dah terlambat untuk dia minta sesuatu, kalau nak jadi sudah pun tak jadi…tetapi bila saya tanya kenapa dia berada di sini, kenapa dia datang naik bas.Dia kata, saya datang semata-mata kerana saya sayang pada parti ini”.
Berlandaskan pada dialognya bersama pejuang veteran UMNO itu, Najib menganggap parti UMNO akan jadi sebuah parti yang dihormati dan disegani sekiranya semangat yang ada pada pejuang veteran UMNO itu ada pada setiap ahli samada yang lama atau baru, generasi angkatan 46 atau angkataN muda hari.
Beliau meminta ahli-ahli UMNO menjadikan contoh pejuang tersebut kerana sikapnya yang sayangkan pada parti UMNO.
“Kerana dia sayang pada UMNO dia sanggup naik bas enam jam untuk hadir pada majlis ini, kerana sayang pada UMNO, kita patut pejuang habis-habisan kerana sayang pada UMNO kita mesti jadi pejuang yang sejati, dekat dihati rakyat dan sentiasa memperjuangkan kepentingan rakyat,” jelasnya.
Najib turut mengingatkan ahli parti bahawa walaupun kini sokongan kepada parti agak meningkat khususnya di kalangan orang Melayu, namun anggota parti tidak boleh menjadikan UMNO dilihat hanya memperjuangkan kelompok tertentu sahaja.
Sebaliknya, beliau berkata UMNO mesti berpaksi kepada kepentingan rakyat jelata yang merupakan kunci kejayaan sesebuah parti politik.
Najib turut mengulangi ingatannya kepada ahli UMNO terhadap punca kejatuhan Parti Liberal Demokratik (LDP) yang tumbang di tangan Parti Demokratik Jepun (DPJ) selepas 54 tahun memerintah Jepun.
Beliau berkata kisah parti politik itu tetap relevan untuk dijadikan iktibar dalam perjuangan UMNO.
"Dalam majlis seperti ini, kita harus mengingatkan diri sebagai parti politik yang sudah wujud dan menjadi pemerintah selama 46 tahun dan melalui 12 pilihan raya umum bahawa UMNO tetap berdepan pelbagai cabaran.
"Oleh itu, kita harus mengambil iktibar apa yang berlaku pada parti lain yang lebih kurang usianya dengan Umno tetapi hari ini sudah menjadi pembangkang," katanya.
Najib yang menyifatkan sambutan tahun ini lebih meriah berbanding sebelum ini, berkata: "Mungkin kepada kita semua, mood dalam UMNO hari ini bertambah, lebih berkeyakinan akan masa depan parti.
"Sekurang-kurangnya kalau kayu pengukurnya pada dua pilihan raya kecil lepas (Bagan Pinang dan Hulu Selangor) jelas menunjukkan orang Melayu, walaupun mungkin tidak semua, sudah kembali kepada UMNO.
"Oleh itu saya merasa syukur segala usaha, perkara yang dimulakan dan segala yang sudah dilaksanakan telah membuahkan hasil yang lebih meyakinkan. Oleh itu sambutan ulang tahun ke-64 UMNO ini, saya berasa lebih optimis tentang masa depan parti," katanya.
Sebelum itu, Presiden UMNO bersama Timbalannya Tan Sri Muhyiddin Yassin telah melepaskan 15 orang peserta ekspedisi bermotosikal berkuasa tinggi ke tanah suci Mekah melalui jalan darat dengan tema ‘Kembara ke Bumi Suci 1Malaysia 2010’ di depan Menara Dato’ Onn.
Beliau menyerahkan Jalur Gemilang dan bendera UMNO kepada ketua ekspedisi Nahrawi Marzoki.
Najib kemudian bersama Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, anggota Majlis Tertinggi dan pemimpin pelbagai peringkat menunaikan solat Maghrib, membaca surah Yassin, bertahlil dan berdoa selamat untuk arwah pemimpin UMNO yang diketuai oleh bekas Mufti Johor Datuk Noh Gadot.
Manakala sembahyang Isyak diimamkan oleh Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Datuk Jamil Khir Baharom.
Najib seterusnya ke Dewan Merdeka untuk majlis menaikkan bendera UMNO dan memotong pulut kuning.
Selepas menyampaikan ucapan, Najib menyampaikan Anugerah Tokoh Melayu Terbilang kepada bekas Menteri Penerangan Tan Sri Zainuddin Maidin.
Kelihatan hadir sama di majlis tersebut mantan Perdana Menteri Tun Dr. Mahathir Mohamed, Tun Dr Siti Hasmah, Tengku Razaleigh Hamzah, pemimpin-pemimpin parti komponen seperti Presiden MCA Datuk Seri Chua Soi Lek, Presiden MIC Datuk Seri S. Samy Vellu, Presiden PPP Datuk M. Kaevyeas dan beberapa pemimpin komponen Barisan Nasional Sabah dan Sarawak.-11/5/2010 Agenda Daily
No comments:
Post a Comment