Pages

Monday, December 28, 2009

Penang Bangkit: Lelaki terlibat dalam demo Sidang Dun PP cedera diserang gengster


Berita ini yang agak mengejutkan dan pihak polis kena pandang serius perkara. Jangan biarkan politik ala mafia terus bermaharajalela dalam negara kita.

Harap pihak polis dapat menangkap dalang siapa yang mencederakan Uncle S. Krishnan ini dan bawa ke muka pengadilan . Jika perkara ini membabitkan pemimpin politik di PP , kita harap tangkap saja dan banteras terus politik ala mafia ini !!

Baru-baru ini juga berlaku kejadian pukul oleh Pembantu Khas Adun PKR , Kebun Bunga ke atas Ketua Pemuda Parti Cinta Malaysia di sebuah kedai makan yang kononnya beliau telah menarik ramai ahli PKR lompat ke PCM .



Lelaki Terlibat Dalam Demonstrasi Sidang DUN P.Pinang Cedera Diserang

BUTTERWORTH, 28 Dis (Bernama) -- Seorang lelaki yang terlibat dalam kekecohan semasa satu demonstrasi di hadapan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang pada 30 Nov lepas, cedera diserang sekumpulan lapan lelaki di kawasan Perusahaan Mak Mandin di sini, semalam.

S. Krishnan Nair, 46, berkata dia yang diserang dengan senjata tajam, menerima 16 jahitan apabila paha kanan dan bahagian belakang badannya dikelar manakala dadanya ditumbuk.

Dalam kejadian kira-kira 10 malam itu, mangsa yang bekerja sebagai penghantar surat dalam perjalanan dari Butterworth ke Mak Mandin dengan menunggang motosikal.

"Semasa saya tiba di Kawasan Perusahaan Mak Mandin, saya rasa ada beberapa orang yang saya tidak kenal mengekori saya dengan menaiki motosikal," katanya kepada pemberita selepas membuat laporan polis di Balai Polis Mak Mandin kira-kira 12 tengah malam tadi.

Beliau berkata kumpulan itu kemudiannya bertindak menghalang perjalanannya dengan alasan mahu berbual.

"Saya kata pada mereka jika mahu sembang mari kita pergi minum atau balik rumah tetapi mereka tidak mahu dan terus menyerang saya dan lari," katanya.

Krishnan berkata beliau terus menelefon seorang rakannya untuk mendapatkan pertolongan yang kemudian membawanya ke Hospital Seberang Jaya untuk rawatan.

Pada 30 Nov lepas, sekumpulan 100 penduduk Pulau Pinang yang tidak berpuas hati dengan pentadbiran kerajaan negeri mengadakan demonstrasi di hadapan bangunan DUN Pulau Pinang.

Perhimpunan yang disertai beberapa pemimpin dan anggota parti komponen Barisan Nasional (BN) serta penduduk Kampung Buah Pala itu menyaksikan potret Ketua Menteri Lim Guan Eng dibakar dan gesaan supaya beliau meletak jawatan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Supt Mohamad Sukri Awang ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung perkara itu dan tiada tangkapan dibuat setakat ini.

SUMBER : BERNAMA

1 comment:

  1. Salam bro, API lawan API bro, takkan nak berlembut lagi...diorang pakai gengster, takkan kita nak dok diam jek?

    ReplyDelete