Pembangkang kerap bertanggapan buruk dengan kerajaan malah terbaru dalam isu Biro Tata Negara (BTN), mereka menuduh kursus-kursus di BTN bersikap perkauman dan doktrin Barisan Nasional (BN) hingga kerajaan pembangkang di Selangor memboikot BTN.

Namun semua itu dilihat adalah pandangan sempit pembangkang yang malu untuk mengakui keberkesanan BTN melahirkan masyarakat cintakan negara, menghormati perlembagaan serta menjadi pemimpin berjati diri.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Ahmad Maslan yang bertanggungjawab terhadap BTN berpendapat, sekiranya pembangkang mahu meniru BTN dengan menubuhkan program modal insan SPIES di Selangor, mereka buat sahaja tanpa memburukkan BTN.

SPEIS yang ditubuhkan kerajaan Selangor selepas mengharamkan pelajar mahupun katitangan negeri mengikuti kursus BTN adalah singkatan kepada program Spriritual, Fizikal, Intelektual, Emosi dan Sosial.

Menurut Ahmad, tuduhan pembangkang kononnya BTN mengendalikan seminar dan kursus berbau perkauman nyata tidak benar sama sekali.

Apakah dengan mengajar sejarah negara, perlembagaan atau kontrak sosial dianggap perkauman?,” soalnya dalam sidang media di Lobi Parlimen, Selasa.

Katanya, cerita itu mungkin dibawa oleh seorang dua anak pemimpin pembangkang yang mengikuti BTN.

Menurut Ahmad, setiap penceramah diberikan garis panduan dan jika ada seminit dua penceramah bercakap soal kaum, itu tidak bermakna modul-modul di BTN berbau perkauman.

Sambil menyidir pembangkang, katanya, kursus mahupun seminar di BTN tidak sampai ke tahap mengajar memijak gambar orang lain ataupun pemimpin seperti dilakukan oleh DAP.

Ketua Penerangan UMNO itu merujuk tindakan pemimpin dan penyokong DAP yang memijak gambar tiga ADUN di Perak iaitu Jamaluddin Mohd Radzi (ADUN Behrang – PKR), Kapt (B) Osman Jailu (ADUN Changkat Jering – PKR) dan Hee Yit Foong (ADUN Jelapang – DAP) semasa memasuki dewan Konvensyen ke-15 DAP Perak di Ipoh, baru-baru ini.

Kecuali Setiausaha Agung, Lim Guan Eng, semua pemimpin DAP termasuk Lim Kit Siang dengan bangganya memasuki dewan persidangan itu dengan memjiak tempat kesat kasut bergambar tiga ADUN tersebut.

Kita tidak sampai sezalim itu mendidik rakyat. Apa punya budaya, pijak gambar orang Melayu, pijak gambar orang Cina,”.

“Dalam kursus kita (BTN) tak ajar pijak gambar orang Melayu, orang Cina..yang racist merekalah,” katanya.

Ditanya sama Wan Ismail bapa mertua Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim pernah terbabit merangka kewujudan BTN, Ahmad tidak dapat mengesahkan kerana beliau hanya terbabit dengan BTN mulai 1991 hingga 1994.

Beliau bagaimanapun mengakui, setiap pelajar yang mendapat biasiswa kerajaan persekutuan atau agensi kerajaan untuk belajar ke luar negara mesti mengikuti kursus di BTN.

Katanya, mereka mesti ikuti kursus berkenaan sama ada pelajar itu anak-anak penyokong BN mahupun parti-parti lain.

Ditanya kemungkinan tajaan kepada pelajar-pelajar berasal dari Selangor yang akan menuntut di luar negara mungkin ditolak ekoran tindakan kerajaan kerajaan merngharamkan mereka mengikuti kursus di BTN, Ahmad menjelaskan, kerajaan belum sampai ke tahap itu.

Pada sidang media berkenaan, beliau turut menjelaskan bahawa modul-modul seminar dan kursus di BTN sudah dilakukan penambahbaikkan sejak Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak menjadi Perdana Menteri.

Katannya, persetujuan Kabinet terhadap penambahbaikkan BTN tidak ada kaitan dengan tindakan memboikot BTN oleh kerajaan Selangor.

“Kita sudah mula sejak April lagi dengan modul-mudul yang menerapkan nilai-nilai gagsan 1Malaysia,” katanya.

Ahmad juga mengesahkan BTN bukan khusus kepada orang Melayu sahaja malah sejak 2003 lagi, seminar dan kursusnya membabitkan pelbagai kaum terutama kakitangan kerajaan yang baru memasuki perkhidmatan.-1/12/2009