
Oleh Lukman Abas
Kuala Terengganu -- Pemuda UMNO negeri ini menubuhkan skuad khas untuk menghadapi sebarang kemungkinan ekoran banjir yang mula melanda beberapa daerah yang menyebabkan lebih 1,331 orang dipindahkan.
Ketua Pemudanya, Saiful Bahri Baharudin berkata skuad khas yang dibentuk setiap bahagian itu akan membantu pihak berkuasa dalam operasi memindahkan mangsa banjir ke tempat selamat.
Menurut beliau pada waktu ini, skuad Banjir Pemuda bahagian tertumpu di kawasan masing-masing dengan membuat pemantauan dan meneliti kawasan-kawasan yang sering dinaiki air.
"Setakat ini kita hanya memberi tumpuan di empat daerah utama yang dinaiki air iaitu Besut, Dungun, Hulu Terengganu dan Setiu. Skuad berkenaan yang terdiri daripada Pemuda bahagian telah mula melaksanakan operasi mereka semalam.
"Skuad Banjir Pemuda negeri hanya akan bertindak menghantar bantuan sekiranya skuad banjir di peringkat bahagian tidak mampu untuk menggerakkan usaha menyelamat dan membantu keperluan logistik lain.
"Kita sentiasa bekerjasama dan berhubung dengan agensi keselamatan untuk mengetahui perkembangan terkni keadaan banjir di negeri ini", katanya kepada laman webPemuda di sini, hari ini.
Banjir yang melanda Terengganu semakin buruk dengan sejumlah 1,331 orang daripada empat daerah dipindahkan sehingga jam 5 petang tadi.
Empat daerah terbabit ialah Besut, Dungun, Hulu Terengganu dan Setiu.
Sementara itu, Bernama melaporkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) Terengganu menyediakan 327 pusat pemindahan banjir.
Jurucakap majlis itu pusat pemindahan banjir terbabit boleh menampung sehingga 48,039 mangsa banjir di seluruh Terengganu.
Saiful yang juga Keta Pemuda Marang seterusnya menasihatkan penduduk yang berada di kawasan yang bersisiko tinggi berwaspada dan mengikuti perkembangan semasa.
"Simpan semua dokumen penting dan patuh kepada arahan. Jika pihak berkuasa mengarahkan mereka berpindah, segera berpindah untuk memastikan keselamatan terjamin", ujarnya.
No comments:
Post a Comment