Mengenali Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad, beliau juga seorang yang suka melawak. Ada saja modalnya ketika berkempen merintis jalan bagi memenangi kerusi DUN Bagan Pinang pada 11 Oktober ini.
Antara lawak beliau adalah pasal pengundi yang ‘ tak sihat’.
Katanya, kalau pengundi Bagan Pinang tidak mengundinya tetapi undi PAS, bermakna orang itu tak sihatlah.
Menurut Mohd Isa, hanya orang tak sihat yang tidak nampak apa yang kerajaan BN sudah buat sejak merdeka.
“Orang tu juga tak sihat kalau dengar cakap PAS yang kata saya tak buat apa-apa dan banyak projek tak siap masa saya jadi Menteri Besar,” ujarnya.
Ketika berucap di Sawah Sunggala malam Isnin, beliau berkata penduduk di situ beruntung kerana Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hassan dan menteri lain termasuk Exco kerajaan negeri datang merayu undi untuk beliau.
“Hebat tuan puan dekat sini. TPM, MB dan Exco datang merayu undi, kalau tak undi saya juga, bermakna tuan puan ada yang tak sihat. Kalau tak sihat, nanti saya doakan supaya sembuh” ujatnya.
Kaedah Isa berkempen bersahaja diselang seli lawak tetapi tutur katanya cukup pedih jika masuk telinga pembangkang.
Dua malam lalu, beliau menggambarkan pemimpin PAS sebagai jin yang datang mengacau di Bagan Pinang.
“Jin ini kita kena semah (buang atau cuci). Lepas pilihanraya jin-jin hilang entah ke mana, masa ada pilihanraya, mereka muncul cakap macam-macam,” kata mantan Menteri Besar Negeri Sembilan itu.
Malam tadi katanya, orang PAS pun kokok berderai-derai tetapi ekor penuh tahi maka janganlah nak tuduh orang BN atau UMNO semuanya jahat dan buruk.
Malah, PAS juga ujarnya hendak buat kerja Tuhan apabila hendak menentukan syurga dan neraka.
“Kasihan orang Arab tak dapat masuk syurga kerana mereka tak masuk PAS,” sindirnya.
Mohd Isa berkata, rakyat negara ini akan duduk aman tenteram selagi tidak termakan hasutan pembangkang.
Sebelum itu ketika menghadiri sambutan Aidilfitri anjuran Kesatuan Pekerja-Pekerja awam Angkatan Tentera Malaysia (Kesatria) dan Kelab Kakitangan Awam Kementerian Pertahanan Negeri Sembilan di Dewan Orang Ramai Bagan Pinang, beliau menegur kakitangan awam yang menentang kerajaan.
Katanya, kerajaan bukan milik orang politik tetapi penjawat awam yang melaksanakan dasar ditentukan pemimpin politik.
Sebab itu katanya, jika kakitangan awam terlalu mengkritik kerajaan, bermakna mereka kritik diri sendiri.
“Kalau tak sokong kerajaan, macam main bola sepak masuk gol sendirilah,” katanya.
Kritikan ujarnya tidak salah asalkan bertujuan membaiki kelemahan tetapi bukan sehingga menyokong atau mengundi pembangkang dalam pilihanraya.
Menurutnya kerajaan tidak seperti pembangkang yang hanya tahu menyalahkan itu ini.
“Ceramah pembangkang semua senang...dari awal hingga akhir tak cakap benar. Mereka ini bukan gokongan yang bersyukur. Sebab itu, kita jangan salah pilih kerajaan hingga buang yang baik,” katanya.
Ketua UMNO Bahagian Teluk Kemang itu menempelak pembangkang yang tiada idea dengan berterusan menyerang peribadinya sejak awal kempen pilihanraya Bagan Pinang.
Katanya, sudah jadi sikap pembangkang yang hanya memandang sesuatu perkara itu betul jika ianya memihak kepada mereka.
Berbaki kira-kira lima hari lagi, Mohd Isa yakin memenangi kerusi DUN Bagan Pinang kerana kempen ‘Jalan-Jalan Cari Undi’ olehnya sudah nampak signal atau cahaya untuk menang.
Walaupun penat kerana banyak program dari awal pagi hingga larut malam, beliau masih gagah dan bersemangat berkempen.
“Badan tak penat tapi mata mengantuklah,” katanya ketika disapa Agendadaily bertanya keadaannya sejak hari penamaan calon Sabtu lalu.- 5/10/09
sumber : agendadaily
No comments:
Post a Comment