Pages

Thursday, October 8, 2009

KUGAN, TEOH, KEPALA LEMBU.....SALAH BN?



Selepas pembangkang beria-ia menjadikannya modal kempen, Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin malam Rabu menjawab empat isu besar yang digembar-gemburkan parti lawan dalam pilihanraya kecil DUN Bagan Pinang.

Beliau mengambil kesempatan menjawab keempat-empat isu besar tersebut kerana sudah muak dengan sikap pembangkang yang terus menerus menaburkan fitnah dan cuba memburukkan kerajaan dalam isu-isu yang tiada kena mengena dengan Barisan Nasional (BN).

Apakah salah kerajaan Barisan Nasional (BN) atau UMNO dalam isu perarakan kepala lembu, kematian penjenayah A.Kugan serta kematian Teoh Beng Hock dan isu Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ) di Selangor?
Di depan lebih 2,000 penduduk serta pengundi di Taman Politeknik, Teluk Kemang, Muhyiddin menjelaskan, bukan Perdana Menteri atau timbalannya mahupun menteri mengarahkan perkara atau kejadian tersebut berlaku.

Katanya, perarakan kepala lembu membantah pembinaan kuil di Shah Alam berpunca kelemahan pentadbiran kerajaan negeri Selangor yang dikuasai pembangkang.

"Isu itu berlaku di Selangor, di negeri yang dikuasai pembangkang, apa kena mengena dengan Barisan Nasional," tanya beliau.

Dalam insiden itu penduduk Seksyen 23 Shah Alam tidak bersetuju kerajaan Pakatan Rakyat di negeri itu memindahkan kuil ke kawasan majoriti penduduk Melayu dan beragama Islam.
Menurut Muhyiddin, kerajaan bertindak terhadap mereka terbabit perarakan itu kerana tidak mahu ianya mencetuskan ketegangan kaum yang boleh menjejaskan perpaduan di negara ini.
Bagi kes kematian Kugan ketika dalam tahanan polis, Muhyiddin menjelaskan, lelaki itu ditahan kerana polis mempunyai bukti pembabitannya dalam kegiatan samseng.

Namun, semasa dalam tahanan dia telah mati dan polis sudah menjalankan siasatan terhadap punca kematiannya yang akhirnya seorang anggota polis dituduh ada kaitan dengan kematian penjenayah itu.

"Perdana Menteri tidak pernah memberi arahan supaya Kugan dibunuh Menteri Dalam Negeri pun tak keluarkan arahan itu. Zalimlah saya jika saya beri arahan untuk dia dibunuh," ujar beliau.

Mengenai kes kematian pembantu Exco Selangor, Teoh Beng Hock, beliau menjelaskan, sebelum ini pembangkang selalu menuduh Badan Pencegah Rasuah (BPR) alat kerajaan.
“Kita tubuh SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) untuk mereka menjalankan tugas dan mendakwa sesiapa sahaja terbabit rasuah,” katanya.
Menurut beliau, suruhanjaya ini adalah lantikan Yang di Pertuan Agong.

“Dalam kes kematian Teoh Beng Hock, saya tak fikir SPRM buat begitu. Bagaimanapun, kita tubuh inkues untuk mengetahui punca sebenar kematian tersebut,” jelas beliau lagi.
Katanya, kerajaan mahupun pemimpin lain tidak mahu tragedi malang itu berlaku kepada keluarga mangsa.

“Kerajaan kita bertanggungjawab dengan ambil tindakan dengan benarkan inkues kerana tidak mahu kejadian itu menjejaskan institusi SPRM,”.

“Tetapi (Datuk Seri) Anwar (Ibrahim) dan konco-konconya tuduh kita (kerajaan BN), Apakah ini salah kerajaan atau UMNO?” katanya.

Beliau yang juga Timbalan Presiden UMNO berkata, pembangkang kini minta Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) tangguh pilihanraya Bagan Pinang kononnya daftar pengundi tidak betul.
Katanya, pilihanraya tidak boleh ditangguhkan malah pengundi pos akan mula membuang undi Khamis.

Ini semua jelasnya, menunjukkan pembangkang tertekan dan tahu mereka akan kalah dalam pilihanraya kecil kali ini.
Muhyiddin turut menjelaskan isu PKFZ yang dikatakan pembangkang sebagai kes pecah amanah dan rasuah yang besar.

“Ini bukan keputusan kerajaan..mungkin ada penyelewengan. Kita sudah tubuh jawatankuasa khas dengan banyak wakil untuk siasat perkara itu hingga ke lubang caci atau ke akar umbi,” tegas beliau.

Katanya, kerajaan tidak akan melindungi mana-mana pegawai atau sesiapa sahaja cuba rosakkan negara dengan membawa mereka ke pengadilan.
Beliau percaya pembangkang yang kalah 4-0 dengan tuduhan-tuduhan di atas akan membuat cerita dan fitnah lain bagi memburukkan kerajaan termasuk Perdana Menteri.
Malah katanya, mengingatkan para pengundi bahawa menjelang dua hari sebelum pengundian Ahad ini, Anwar dan konco-konconya akan memperhebatkan dakyah mereka dengan membawa cerita bohong dan fitnah kepada pemimpin, kerajaan dan BN.

Sehubungan itu, Muhyiddin mahu pengundi di Bagan Pinang menolak pembangkang yang sentiasa menyalahkan kerajaan padahal kerajaan melakukan apa sahaja langkah terbaik bagi mengelak sebarang perkara buruk yang boleh menjejaskan imej negara.
Penjelasan beliau malam tadi barangkali mahu mematahkan pembohongan pembangkang terutama PAS yang meletakkan calon mereka bertanding di Bagan Pinang selain kemungkinan isu itu terus diputarbelitkan oleh Ketua Pembangkang, Anwar yang dijadual turun berkempen mulai Khamis.

No comments:

Post a Comment