Pages
▼
Sunday, June 7, 2009
Pemuda mula gerak jentera di Manik Urai
Pemuda hantar kumpulan pemidato terbaik
BENTONG 5 Jun - Pergerakan Pemuda UMNO akan menghantar kumpulan pemidato terbaiknya untuk berdepan dengan penceramah pembangkang terutama Pas dalam kempen Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai pada 14 Julai ini.
Ketuanya, Khairy Jamaluddin berkata, kempen pilihan raya kecil itu merupakan 'pentas' pertama bagi kumpulan pemidato yang baru diwujudkan oleh pergerakan tersebut.
''Pemuda UMNO mewujudkan Unit Pidato dan Penghujahan Umum untuk melahirkan kumpulan yang mampu mengambil bahagian dalam pidato, debat, ceramah dan panel dalam forum tertentu bagi menjelaskan isu-isu semasa dan dasar kerajaan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas merasmikan kursus asas Jentera Unit Pidato Pemuda UMNO di Institut Latihan Memperkasakan UMNO (ILMU) di Janda Baik dekat sini hari ini.
Kira-kira 120 pemimpin pergerakan itu menyertai kursus tiga hari bermula hari ini hingga Ahad ini.
Khairy memberitahu, penubuhan unit pidato tersebut bertujuan menyaingi kumpulan penceramah pembangkang yang selama ini bijak mengeksploitasi isu-isu tertentu sehingga mengelirukan rakyat.
Beliau mengakui ada di kalangan pemimpin UMNO gagal berdebat dengan pembangkang dalam menjawab isu-isu tertentu.
''Dalam keadaan tertentu, kita tidak mampu mengatasi strategi pembangkang yang bijak mengeksploitasi isu," jelasnya.
Selain di Manek Urai, kata beliau, unit tersebut akan bergerak ke seluruh negara untuk memberikan penerangan kepada rakyat dari semasa ke semasa.
Selain kursus asas tersebut, tambah beliau, Pemuda UMNO juga akan mengadakan kursus pengucapan profesional membabitkan 60 anggota pergerakan berkenaan.
Mengenai Pilihan Raya Kecil DUN Manek Urai, Khairy berkata, pergerakan itu sedang mengatur strategi untuk menarik golongan muda di kawasan berkenaan.
Mengulas kenyataan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung konsep 1 Malaysia yang dianggap gagal menyatupadukan rakyat, beliau menegaskan, tanggapan tersebut disebabkan oleh pemimpin pembangkang berasa terancam dengan gagasan yang dibawa Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu.
Tegas beliau, Abdul Hadi sepatutnya mewujudkan konsep '1 pembangkang' terlebih dahulu sebelum mempertikaikan gagasan yang dibawa oleh pemimpin negara itu.
''Kita lihat sendiri pembangkang tiada perpaduan, parti-parti pembangkang sendiri bertelagah antara satu sama lain. Dalam Pas pun sudah terbelah dua, ada kelompok ulama dan kumpulan profesional," katanya.
Link
BN Ada Peluang Cerah Menang Di Manik Urai Jika Tampil Calon Tepat – Khairy
No comments:
Post a Comment