Pages
▼
Friday, May 1, 2009
Khemah Kerja Perdana Pemuda UMNO
Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia akan melaksanakan 'Khemah Kerja Perdana' Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia, bermula daripada 30 April sehingga 3hb Mei 2009 ini. Seluruh Exco Pergerakan Pemuda UMNO Malaysia dan barisan Ketua-Ketua Pemuda UMNO Negeri dijadualkan hadir bersama di sepanjang penganjuran khemah kerja ini.
Ketua Penerangan Pemuda UMNO, Dato’ Reezal Merican Naina Merican berkata, Penganjuran 'Khemah Kerja Pemuda UMNO Malaysia' hujung minggu ini membawa hasrat dan niat untuk memperkukuh agenda gerak kerja Pemuda di segenap peringkat.
Pasca pemilihan UMNO yang lalu, ahli Pemuda di seluruh Negara dijangka menantikan halatuju dan gerak kerja yang bakal dilaksanakan selepas daripada ini.
Antara objektif utama 'Khemah Kerja' ini adalah seperti berikut:-
1. Membina kesepakatan dan semangat kerjasama;
2. Membina 'esprit de corp' yang kukuh;
3. Menentukan gerak kerja Pemuda (2008-2011);
4. Memperteguh jatidiri;
5. Membugar semula agenda 'latihan dan pendidikan politik' seperti yang dikehendaki oleh YAB Presiden parti;
YB Khairy Jamaluddin, Ketua Pemuda UMNO Malaysia dan keseluruhan saf kepimpinan akan menggariskan agenda gerakan yang menyeluruh.
Ini termasuk penyusunan dan penubuhan biro-biro yang selari dengan cita dan hasrat kepimpinan parti. Cukup yakin, bahawa khemah kerja ini akan membawa hasil yang baik dan positif. Lebih penting lagi, semua hasrat dan keinginan pelaksanaan gerak kerja ini mesti diturunkan kepada peringkat akar umbi dengan seberapa segera.
Khemah Kerja ini juga dijangka menjadi platform perbincangan tentang pelbagai 'approach', mekanisme dan kaedah baru Pemuda dalam mendekati generasi muda. Komitmen Pemuda UMNO Malaysia dalam menjadi 'catalyst' dan pemangkin usaha pemerkasaan parti akan dimulakan dengan seberapa segera.
No comments:
Post a Comment