Hari ini dalam sejarah
Mungkin ramai antara kita yang pernah mendengar perkataan Malayan Union. Tapi berapa ramaikah di antara kita yang mengetahui apa sebenarnya Malayan Union. Malayan Union sebenarnya diisytiharkan pada 1 April 1946 dengan tujuan untuk mengubah status Tanah melayu daripada negeri naungan (dilindungi dan raja-raja melayu masih menjadi ketua negeri) kepada Tanah Jajahan Mahkota yang diperintah secara langsung oleh British dan berada di bawah Parlimen British. Ia bolehlah dikatakan sebagai penjajahan secara mutlak British ke atas Tanah Melayu.
Di sinilah bermulanya perpaduan orang Melayu. Orang Melayu dari selusuh pelusuk Tanah Melayu bangkit menentang penubuhan Malayan Union ini. Apakah punca kepada penentangan ini? Sudah tentulah dasar-dasar yang akan diamalkan oleh British apabila Malayan Union tertubuh secara rasminya. Antara perkara yang menjadi asas kepada penentangan ini ialah:
-penghapusan kedaulatan dan kuasa raja-raja Melayu
-sistem kerakyatan yang sama rata antara imigran dan orang Melayu (mengancam status quo orang Melayu)
-Tamadun orang Melayu akan terhakis
-Membantah tindakan Sir Harold MacMichael yang mengugut raja-raja melayu
Raja-raja melayu juga telah mengambil tindakan membantah Malayan Union sepertimana yang dilakukan oleh Sultan Johor dengan menghantar surat kepada setiausaha Tanah Jajahan British. Raja-raja Melayu sebenarnya telah dipaksa menerima gagasan Malayan Union. Bantahan orang Melayu telah menyedarkan raja-raja Melayu agar berganding bahu dengan rakyat untuk menentang Malayan Union.
Selepas itu, Kongres Melayu yang pertama telah diadakan pada 1 hingga 4 mac 1946 di Kelab Sultan Sulaiman Kampung Baru, Kuala Lumpur. Kongres ini dihadiri oleh 41 buah persatuan Melayu dari seluruh Tanah Melayu. Kongres ini bersetuju menubuhkan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (PEKEMBAR) atau United Malays National Organization (UMNO) untuk menentang Malayan Union.
Kongres melayu yang kedua pula telah diadakan pada 30 hingga 31 Mac 1946 untuk membantah perisytiharan Malayan Union pada 1 April 1946. Kongres kedua ini memutuskan tiga perkara penting sebagai tindakan lanjut menentang Malayan Union iaitu:
-meminta raja-raja Melayu memulaukan majlis perlantikan Sir Edward Gent sebagai Gabenor Malayan Union
-Meminta orang Melayu yang dilantik menganggotai sebarang majlis pentadbiran Malayan Union memulaukan perlantikan itu
-Menuntut orang Melayu berkabung selama tujuh hari dengan melilitkan kain putih pada songkok
Satu lagi langkah menentang malayan Union ialah semasa lawatan L.D. Gammans dan David Rees Williams. Lawatan ahli parlimen British tersebut diadakan pada bulan Mei 1946. Tujuannya adalah untuk melihat sejauh mana orang Melayu benar-benar menetang Malayan Union. Ketika itu orang Melayu telah berhimpun di Singapura, Johor Bahru, Muar, Batu Pahat, Rembau, Seremban, Klang, Kuala Lumpur, Ipoh, Alor Star dan George Town. Rapat umum diadakan dengan membawa sepanduk-sepanduk yang mengutuk Malayan Union dan Sir Harold MacMichael
Beberapa perkara penting yang dapat kita rumuskan di sini ialah :-
-perpaduan dan penyatuan orang Melayu dari segenap pelusuk Tanah Melayu ( yang tidak mungkin lagi kita akan lihat dalam 10 hingga 20 tahun akan datang)
-penubuhan parti PEKEMBAR atau UMNO yang menunjangi kemerdekaan Tanah Melayu ( parti yang akan dibunuh tanpa belas kasihan dan dikuburkan oleh cucu dan cicit pejuang parti itu sendiri)
-kedaulatan institusi beraja yang dipertahankan oleh orang Melayu ( institusi yang akan direnggut kuasanya atas tindak-tanduk semasa bangsa itu sendiri)
-status quo orang Melayu yang dipertahankan oleh datuk nenek kita untuk anak bangsa
( status yang akan dikikis sedikit demi sedikit oleh anak bangsa datuk nenek itu juga )
No comments:
Post a Comment