Pages

Wednesday, August 13, 2008

Apabila mahasiswa sendiri membantah cadangan PKR ??



SHAH ALAM 12 Ogos – Lebih 5,000 pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) berarak sejauh dua kilometer di sini hari ini untuk membantah keras cadangan Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim agar universiti itu dibuka kepada bukan bumiputera.

Kumpulan pelajar itu yang sebahagian besarnya memakai kemeja-T berwarna hitam mula berkumpul di Dataran Shah Alam pada pukul 9 pagi sebelum berarak sambil memegang sepanduk menuju ke bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini.

Sebaik tiba di luar pagar utama bangunan SUK yang menempatkan pejabat Abdul Khalid, mereka berdemonstrasi selama sejam.

Di samping menyanyikan lagu rasmi UiTM, mereka turut mengangkat sepanduk, antaranya bertulis ‘Jangan rampas hak kami’ dan ‘Selamatkan UiTM’.

Perhimpunan itu berakhir selepas Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar UiTM, Luqmannulhakim Mohamad Idris yang mengetuai perhimpunan menyerahkan memorandum tujuh muka surat kepada pegawai SUK, Hasril Abu Hassan untuk disampaikan kepada Menteri Besar Selangor.

Luqmannulhakim ketika ditemui pemberita berkata, kandungan memorandum itu merakamkan rasa kesal para pelajar UiTM terhadap cadangan Menteri Besar kerajaan campuran Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP dan Pas itu.

Menurut beliau, memorandum tersebut turut menyatakan wujud unsur politik dalam cadangan yang dikemukakan oleh Abdul Khalid.

Para pelajar UiTM meminta kerajaan negeri tidak lagi membincangkan cadangan tersebut sekiranya ia bertujuan semata-mata untuk meraih undi pelbagai kaum.

“Janganlah dipolitikkan UiTM kerana penubuhan universiti ini telah termaktub dalam Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang menjamin hak untuk bumiputera demi membantu menaikkan taraf ekonomi mereka,” katanya.

Luqmannulhakim menambah: “Insya-Allah kami akan buat susulan bantahan fasa kedua dan ketiga. Kami akan memohon sendiri kepada Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin supaya baginda menitahkan soal pengambilan pelajar UiTM tidak dibincangkan lagi.”

Ahad lalu, Abdul Khalid mencadangkan agar 10 peratus daripada kuota pelajar UiTM dibuka kepada bukan bumiputera serta pelajar asing bagi mempertingkatkan kualiti pendidikan dan persaingan di kalangan pelajarnya.

Sementara itu, seorang penuntut UiTM, Sheikh El-Ash Shaff Shaik Daud, 22, melahirkan kebimbangan sekiranya cadangan tersebut diteruskan, nasib UiTM akan menjadi seperti universiti-universiti lain.

“Mula-mula diminta kemasukan 10 peratus tetapi lama-kelamaan kadar itu dipertingkatkan. Akhirnya golongan bumiputera lenyap dan tertindas di universiti sendiri,” ujarnya.

Bagi Khairul Ashraf, 19, pula, UiTM perlu mengekalkan dasar penubuhannya untuk bumiputera agar lebih ramai anak Melayu berpeluang melanjutkan pelajaran di peringkat pengajian tinggi.

“Bukan kami takut saingan kaum bukan bumiputera, namun penubuhan UiTM sendiri mempunyai matlamat tersendiri untuk menunjukkan pembangunan intelektual bumiputera selain meningkatkan daya ekonomi bangsa kita,” ujarnya.



** Ada hikmah juga disebalik ini semua kerana ia boleh menyedarkan mahasiswa tentang kedudukan keistimewaan orang melayu kini sudah dipertikai bangsa lain . Kepada mahasiswa melayu yang masih menyokong Pakatan Rakyat lagi,fikir2 kan la masa depan bangsa supaya tidak ditipu lagi oleh pengkhianat bangsa .

No comments:

Post a Comment