Apa bezanya 'Fitna' Belanda dan 'Akhirat' Malaysia ?
Azamin Amin
KUALA LUMPUR, 2 April - Kontroversi video klip 15 minit 'Fitna' telah mengundang kemarahan penduduk dan umat Islam dunia kerana menghina Islam dan mencaci al-Quran.
Tanpa kecuali tindakan seorang ahli politik Belanda, Geert Wilders yang menghasilkan klip video berkenaan turut mendapat reaksi daripada rakyat negara ini namun secara tidak disedari, Malaysia juga turut 'menghasilkan' filem-filem yang secara tidak langsung 'mempersendakan' agama dan nilai akhlak seorang umat Islam.
Tanpa sebarang bantahan dan halangan pelbagai jenis filem Malaysia seperti Sepet, Gubra, Anak Halal dan terkini Akhirat telah dilihat cuba 'merosakkan' fikrah para penonton tentang tafsiran mereka terhadap agama Islam.
Ada antara filem berkenaan seolah-olah secara halus cuba menerapkan unsur-unsur nilai terbuka terhadap perbuatan pelacuran, zina dan konsep menyalahkaan takdir atas sesuatu kecelakaan yang berlaku seolah-olah Tuhan yang menciptakan manusia bersifat 'kejam' menetapkan sesuatu yang buruk kepada seseorang individu tanpa boleh diubah.
Alasan penerbitan filem-filem seumpama itu adalah kerana para penonton kini sudah berfikiran terbuka, matang dan boleh menilai pro dan kontranya namun apakah hakikatnya filem-filem terbabit berjaya membina tamadun manusia yang baik dan memperbaiki gejala keruntuhan moral yang semakin rosak?
Filem Akhirat yang skripnya ditulis oleh Ikhzal Azfarel Ideris ini telah diwarwarkan bertumpu kepada cerita berunsur keagamaan namun bagi pengkritik filem Faisal Tehrani bahawa filem ini membawa kesongsangan beragama.
Aspek-aspek dalam filem yang digaris faisal dalam blognya sewajarnya diambil perhatian antaranya:-
1.Menjadikan adegan zina sebagai sesuatu yang 'cool' dan kasual.
2.Dalam satu adegan Tony Eusoff terdesak merangkul Vanidah Imran dari belakang sambil menjerit: 'I want to make love with you) setelah tidak dapat menyetubuhi Mira sekian lama (kerana Mira HIV positif).
3.Babak-babak yang dilakonkan oleh Tan Sri Jins Shamsuddin sebagai ayah Mira dan Noni menunjukkan dialog bebal menyalahkan Allah terhadap kesengsaraan yang mereka hadapi
4.Adegan separa seks separa panas dalam filem ini amat menjengkelkan dan memualkan seperti cium leher, peluk rangkul dan belai membelai, tidak dapat mencerminkan judul Akhirat yang ditatang.
"Sekiranya filem Akhirat adalah seorang manusia, maka manusia itu saya putuskan adalah Abu Jahal.
"Anugerah Abu Jahal yang jahil ini sesuai dijadikan satu anugerah ala-ala Oscar kepada filem ini, ataupun filem-filem lain yang 'mempersendakan' agama kelak," kata Faisal dalam blognya.
Seorang penulis dalam laman web mstar online Wahida Asrani turut merasa tidak 'selesa' ketika menonton filem Akhirat ini gara-gara beberapa babak panas dan elemen seks yang ditonjolkan di dalam filem ini.
"Bukan penulis tidak pernah menonton adegan-adegan seperti ini yang sering disajikan oleh filem-filem luar, tetapi rasa kurang senang itu timbul kerana filem arahan Syed Mohamed Benyahya ini adalah filem tempatan," katanya.
Lalu di samping 'mengutuk' filem luar kerana kebiadapannya menghina Islam adalah lebih baik dalam masa sama rakyat Malaysia khususnya umat Islam mengambil masa 'merenung diri' melihat hasil filem produk tempatan yang adakalanya dikira 'berbahaya' dari segi mesej dan mengelirukan para penonton tentang imej Islam yang sebenar yang sepatutnya dipandang mulia di mata semua.
No comments:
Post a Comment