Raja Putar Belit Guan Eng sebenarnya menekan PERDA

on Thursday, November 26, 2009 by Generasi Pejuang Bangsa
 - No Comments




GEORGETOWN - Kerajaan Negeri didakwa sengaja memberikan pelbagai tekanan ke atas Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (Perda) untuk menggagalkan projek pembangunan yang dirancang di Sungai Batu dan Teluk Bahang.

Pengerusinya, Datuk Azhar Ibrahim berkata, projek perumahan di Sungai Batu pada asalnya mempunyai 56 unit kos rendah (LC) dan 81 unit kos sederhana rendah (LMC) iaitu kira-kira 33 peratus daripada keseluruhan pembangunan yang dirancang.

Bagaimanapun katanya, Kerajaan Negeri mengenakan syarat tambahan dan memaksa Perda menambah bilangan LMC kepada 210 unit atau 64 peratus daripada projek yang dibangunkan kelak.

Kita mengikut semua syarat itu yang dikenakan tetapi permohonan itu masih belum diluluskan walaupun hampir dua tahun dikemukakan kepada Kerajaan Negeri dengan lebih 10 kali pindaan dan tambahan syarat dilakukan. “Walaupun Kerajaan Negeri mengenakan pelbagai syarat tambahan untuk ‘mencekik’ Perda, kita masih memenuhi tuntutan itu. Saya tidak nampak kalau ada pemaju lain yang sanggup memenuhi syarat seperti ini, terutama swasta. Kita lakukan semua ini untuk membantu rakyat di kawasan luar bandar memiliki rumah,” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

ADUN Penaga itu mengulas kenyataan Ketua Menteri, Lim Guan Eng yang menyebut Perda masih mementingkan orang kaya sehingga Kerajaan Negeri terpaksa mengenakan syarat agar agensi itu membina lebih banyak LMC di tapak berkenaan.

Azhar berkata, sebagai agensi Kerajaan Persekutuan, Perda sentiasa mementingkan kebajikan dan nasib penduduk luar bandar serta akan memastikan semua projek yang dirancang dapat dilaksanakan walaupun terpaksa menanggung kerugian.

Perda sudah membina 42 unit rumah kos rendah secara percuma kepada penduduk di Kampung 20 Penaga, Indera Timbalan (60) dan Kampung Tok Alang (50). Rumah dua dan tiga bilik tidur itu berharga kira-kira RM40,000. “Saya ingin bertanya sama ada Kerajaan Negeri di bawah Guan Eng ada membina rumah untuk rakyat Pulau Pinang sama ada untuk jualan atau diberi percuma. Kalau belum ada perancangan, duduk diam-diam dan jangan ganggu agensi Persekutuan yang mahu membantu menyediakan rumah kepada penduduk Pulau Pinang,” katanya.

Menurutnya, tindakan Kerajaan Negeri melengah-lengahkan kelulusan projek Perda, terutama di Sungai Batu berniat jahat dan ingin menganiayai agensi itu melaksanakan program penyediaan perumahan mampu milik kepada rakyat di kawasan berkenaan.

“Saya nampak Guan Eng mahu melengah-lengahkan projek itu agar dapat dijadikan umpan untuk berunding atau meminta sesuatu dengan Kerajaan Persekutuan. “Tidak logik sesuatu permohonan disimpan sehingga dua tahun tanpa sebarang tindakan atau kelulusan. Permohonan Perda memang ‘dibekukan’ dan apabila kita buat bising, baru beliau menggerakkannya,” katanya.

Sungguhpun begitu, beliau menyambut baik kenyataan Guan Eng yang bersetuju pada dasarnya dengan cadangan Perda tetapi ingin kepastian, bila ia akan diluluskan.

“Kita nak tunggu sampai bila Guan Eng nak perap permohonan ini. Kita nak tengok apa lagi permainannya selepas ini sebab kebiasaannya, ia boleh diluluskan dalam tempoh singkat jika Kerajaan Negeri sudah bersetuju,” katanya.


Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Sebarang maklumat yang hendak diberikan boleh email kepada pbpejuangbangsa@gmail.com
Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.

Followers

Created by Generasi Pejuang Bangsa. Powered by Blogger.
© GENERASI PEJUANG BANGSA. Converted by Smashing Blogger for LiteThemes.com.