default

Perjanjian sulit Abdullah-Haji Hadi

on Thursday, September 4, 2008 by Generasi Pejuang Bangsa
 - No Comments



PANDANGAN Ketua Pengarang Akhbar The Star, Wong Chun Wai tentang mengapa Presiden Pas Haji Hadi Awang tidak mahu Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri Malaysia merupakan asas maklumat menarik untuk diberikan perhatian dan dilihat lebih jauh lagi.

Ini adalah oleh kerana Wong dalam blognya memberikan beberapa fakta yang sejajar dengan sikap firebrand Haji Hadi dan juga dasar Pas mahu menegakkan negara Islam di Malaysia. Antara lain Wong menyatakan Hadi bimbang dengan bertambahnya kawasan majoriti bukan Islam di Sabah dan Sarawak.

Hadi juga telah memberitahu Muktamar Pas di Pulau Pinang bahawa Pas akan meninggalkan Pakatan Rakyat sekiranya anggota Parlimen bukan Islam melebihi anggota Parlimen Islam (maksudnya dalam Pakatan Rakyat)

Berasaskan kepada kebimbangan inilah maka Hadi sekalipun seorang yang dianggap keras pendiriannya tetapi beliau berasa perlu untuk berunding dengan UMNO bagi perpaduan Islam untuk memastikan seorang yang begitu liberal seperti Anwar Ibrahim tidak menjadi Perdana Menteri.

Menurut Wong pendirian Hadi ini tidak dapat dinafikan kerana beberapa fakta mengenainya disiarkan sendiri oleh Harakah suara rasmi PAS.

Maka itu sukarlah untuk kita menerima kenyataan Anwar Ibrahim di lamanya blognya yang mendakwa beliau selama-lamanya mempunyai hubungan yang istimewa dengan Hadi .

Muktamar Pas sendiri menolak kenyataan ini apabila memperlihatkan ada dua pandangan dalam soal Anwar Ibrahim menjadi Perdana Menteri Malaysia keenam.

Menteri Besar Kelantan dan juga Mursyidul Am Pas, Nik Aziz Nik Mat membisu dan demikian juga Naib Presiden Pas dan bakal pengganti Nik Aziz sebagai MB Kelantan, Husam Musa. Sebaliknya suara penyokong Hadi sebagai bakal Perdana Menteri adalah amat nyaring dan menyerlah.

Berasaskan kepada fakta-fakta ini, maka yang sudah pasti jika kerajaan BN ditumbangkan pada 16 September ini, mimpi Anwar Ibrahim akan hancur berkecai dan Hadi pasti akan menjadi Perdana Menteri.

Tidakah ini sudah ada dalam perkiraan di pertemuan rahsia antara Hadi-Abdullah?

malaysiaaktif.com

default

Pemisahan Singapura daripada Malaysia

by Generasi Pejuang Bangsa
 - No Comments


Hari Ini dalam Sejarah

Keputusan pemisahan Singapura dari Malaysia diambil secara perseorangan oleh Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj ketika beliau di London pada tahun 1965. Ketika itu Tunku Abdul Rahman bercuti selama 53 hari bagi mendapatkan rawatan di sebuah klinik di London.

Lee Kuan Yew dan parti PAP pimpinannya enggan bertolak ansur dengan kerajaan Malaysia pimpinan Tunku Abdul Rahman.

Lee Kuan Yew sering mendakwa orang Melayu hanya berjumlah 39 % sementara bukan Melayu 51 % dan melayakkan Lee Kuan Yew menjadi Perdana Menteri Malaysia sebagaimana saranan Ramanathan. [petikan diperlukan]Lee Kuan Yew mempersoalkan orang Melayu sebagai penduduk jati Malaysia, mereka sebenarnya adalah juga pendatang sebagaimana Cina dan India. Contoh yang diberikan ialah Syed Jaafar Albar, ahli politik Johor yang mempunyai darah campuran keturunan Arab.

Lee Kuan Yew menyalahkan Tunku dalam kegagalan konsep "Malaysian Malay". Tunku dikatakan telah terpengaruh dengan ketuanan Melayu yang diperjuangkan oleh beberapa pelampau Melayu dari 'ultra Malay' dan 'Young Turk'.

Sebaliknya, Lee Kuan Yew mewar-warkan konsep "Malaysian Malay" dan mendapat sambutan banyak parti di Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak, kecuali MCA. Gagasan Lee Kuan Yew meliputi Singapura, Pulau Pinang, Melaka, Sabah dan Sarawak.

Sebelum 1963, PAP hanya bertanding di Singapura sahaja dan Perikatan bertanding di Semenanjung Malaysia sahaja. Tapi pada 1963, Tan Siew Sin mendesak Perikatan bertanding di Singapura, namun UMNO kalah teruk. Tan Siew Sin merupakan Presiden MCA dan Menteri Kewangan Malaysia ketika itu. Pada 1964, Lee Kuan Yew mengarahkan PAP bertanding dalam pilihan raya kebangsaan di Semenanjung Malaysia bagi menentang MCA.

UMNO mahu Perlembagaan Singapura diubah bagi menjamin masa depan orang Melayu. Sedangkan Lee Kuan Yew sebagai pemimpin Singapura yang ada autoriti dalam pentadbiran negeri Singapura enggan berbuat demikian. Sebaliknya Lee Kuan Yew berjanji akan memperbaiki kehidupan orang Melayu melalui peluang pekerjaan, pendidikan dan skim perumahan.

Dalam projek perumahan, perkampungan Melayu di Singapura telah dihapuskan. Akibatnya, beberapa pergaduhan berlaku. Julai 1964, kira-kira 114 persatuan orang Melayu bertemu dengan Othman Wok iaitu Menteri Hal Ehwal Sosial Singapura bagi membincangkan kepincangan orang Melayu Singapura.

Tatkala itu, 12,000 orang Melayu mengadakan perarakan di jalan raya Singapura. Akhirnya tercetus rusuhan kaum antara Melayu dengan Cina di Singapura . Lebih 22 orang terbunuh, 200 cedera dan 1130 ditangkap. Bulan Ogos pula, sekali lagi pergaduhan berlaku. 8 terbunuh dan 60 cedera.

Kejadian ini meyakinkan Tunku bahawa dengan mengekalkan Singapura dalam Malaysia bakal mengundang rusuhan perkauman yang lebih dashyat lagi.

ulasan-Tindakan Tunku telah menyelamatkan Malaysia dari menjadi huru hara.Buku 13 MEI 1969 Sebelum & Selepas hasil karya Tunku banyak menceritakan kisah sejarah bermulanya bunga2 punca 13 Mei ini dan perasaan seorang Perdana Menteri jika negaranya dalam keadaan darurat. Jasamu akan sentiasa dikenang.

default

Isu Datuk Ahmad dan Melayu dituduh perkauman

on Wednesday, September 3, 2008 by Generasi Pejuang Bangsa
 - No Comments



Sep 2, 08 5:41pm
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini memohon maaf atas kenyataan yang dibuat oleh ketua Umno Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail yang telah menimbulkan kemarahan di kalangan kaum Cina.

Najib berkata, Umno akan bermesyuarat untuk menentukan tindakan yang akan diambil terhadap Ahmad.

Beliau yang juga timbalan presiden Umno memberitahu pemberita di Kuala Lumpur hari ini.

Minggu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi berkata beliau akan mengarahkan Ahmad supaya tidak mengulangi kenyataannya pada masa depan.

Bagaimanapun, jaminan beliau yang juga presiden Umno itu gagal menyelesaikan isu tersebut.

Ekoran itu beberapa laporan polis telah dibuat terhadap Ahmad berhubung kenyataannya itu.

Ahmad didakwa membuat kenyataan berunsur hasutan itu sewaktu berceramah di Kampung Belah Dua pada 25 Ogos lalu ketika pilihanraya kecil Parlimen Permatang Pauh.

Dalam ceramah tersebut, Ahmad didakwa berkata, orang Cina adalah pendatang yang menumpang di Malaysia dan oleh itu mereka boleh mengharap mendapat layanan sama rata.

Ahmad tidak dapat dihubungi untuk mendapatkan komennya sejak tercetusnya kontroversi tersebut Isnin lalu.

Pemuda DAP (Dapsy) telah membuat laporan polis di Perak, Selangor, Melaka, Pulau Pinang dan Negeri Sembilan terhadap

Parti-parti komponen BN - MCA dan Gerakan - juga telah membuat laporan polis berhubung isu yang sama beberapa hari yang lalu

ulasan- Jelas perkara kecil ini telah diperbesarkan oleh DAP,Gerakan,MCA untuk menjuarai isu ini. Saya amat bersimpati dengan Datuk Ahmad Ismail dan amat mengenali beliau dan mengagumi ketokohannya kerana beliau ialah Bapa Angkat bagi UMNO Cawangan Kg Pelet dalam pilihanraya kecil lepas. Saya rasa beliau tidak bermaksud begitu semasa kempen dan perkara sekecil ini telah diperbesarkan oleh kelompok chauvanis Cina dari DAP dengan membuat laporan polis.

Apa yang menghairankan , perkara ini tidak begitu serius beberapa tahun lalu, tetapi setelah kembalinya Anwar Ibrahim ke dalam pentas politik tanah air telah membawa kepada Melayu sering dituduh bersifat perkauman dan sebagai parti yang mewakili bangsa Melayu sudah tentu UMNO yang sering dipersalahkan. Isu Ketua UMNO Bahagian Bukit Bendera yang mengatakan "adalah mustahil untuk memberi kesamarataan kerana kaum cina adalah penduduk sementara" tindakan beliau juga seperti biasa akan dicop perkauman oleh bangsa lain dan membawa kepada kenyataan Dato Seri Najib yang memohon maaf di atas tindakan Ketua Bahagian UMNO Bukit Bendera itu. Sekali lagi membuktikan "orang Melayu" mengalah lagi tetapi ia tetap dikira perkauman.

Mengapa Melayu selalu dianggap bersifat perkauman apabila cuba mempertahankan hak mereka atau dengan kata lain hak istimewa Melayu. Apabila seorang Melayu berucap atau melakukan ritual menjadi kebiasaan bagi adat-adat Melayu pun turut dituduh bersifat perkauman, apabila Melayu menentang projek Ladang Babi pun turut dikira sebagai 'perkauman' oleh bangsa lain

Saya kadang-kadang tertanya juga, sekiranya kaum lain yang berucap secara perkauman akan sukar dikesan oleh Melayu contohnya DAP yang sering berucap semasa kempen pilihanraya umu lalu di hadapan kaum mereka dengan bahasa yang sukar difahami oleh kaum Melayu dan bolehkah kita menjamin tiada kenyataan yang berunsur perkauman yang dikeluarkan oleh mereka?

Persoalannya saya ingin tanya kepada bangsa-bangsa lain di Malaysia ialah kenapa Melayu sering dituduh bersifat perkauman? Kenapa sekarang perkara itu baru ditimbulkan? Adakah ini dikatakan kesamarataan? Melayu yang selalu 'mengalah' sering dilontar najis oleh bangsa lain yang mengatakan Melayu bersifat perkauman. Inilah hakikatnya Melayu kini sudah ditekan oleh bangsa lain ..

default

Najib, Muhyiddin sentuh strategi selamatkan BN

on Monday, September 1, 2008 by Generasi Pejuang Bangsa
 - 1 Comment



30-08-2008 03:26:39 PM
PEKAN: Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, Barisan Nasional (BN) akan mendengar dan menilai suara rakyat sebelum melakukan "apa yang patut" bagi mengembalikan semula keyakinan rakyat kepada kerajaan pimpinan BN.

Timbalan Perdana Menteri berkata, BN akan mengkaji semua aspek termasuk strategi berkempen dan melakukan apa yang sepatutnya selepas mengalami kekalahan pada pilihan raya kecil Permatang Pauh baru-baru ini.

"Kita mengambil iktibar dan menghormati keputusan rakyat, itu pertama, dalam demokrasi kita kena dengar suara rakyat, dan BN pun sebagai sebuah parti kalau kita hendak bertahan lama, kita kena menilai suara rakyat," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan kepada masjid dan surau Parlimen Pekan bersempena menjelang Bulan Ramadan, di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan mantan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang berpendapat "pembangkang tidak menang, sebaliknya BN tewas di Parlimen Permatang Pauh" pada pilihan raya kecil kawasan itu 26 Ogos lepas.

"Maknanya BN kena buat apaapa yang perlu untuk tambah keyakinan rakyat kepada BN dan InsyaAllah ini akan dilakukan supaya kita dapat sokongan yang bertambah,
Macam-macam komen (telah disuarakan), sebab itu kita mesti buat sesuatu untuk kembalikan keyakinan rakyat kepada BN, kita tak boleh lihat BN dalam sudut satu pilihan raya kecil sahaja, kemuncaknya pada pilihan raya umum akan datang," kata Najib.

Pada pilihan raya kecil itu, Penasihat Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim menewaskan calon BN Datuk Arif Shah Omar Shah dan calon Angkatan Keadilan Insan Malaysia (AKIM) Hanafi Mamat dengan majoriti 15,671 undi.

"Kita kaji semua aspek, apa yang patut kita lakukan, kita akan lakukan," kata Najib.
Najib juga berkata beliau ternanti0nanti jawapan pihak pembangkang apabila dakwaan mereka kononnya untuk menubuhkan kerajaan pada 16 September ini tidak tercapai.

"Insya-Allah kerajaan BN boleh bertahan, kita tunggu apa jawapan parti pembangkang kalau tidak jadi 16 September ini (untuk tubuhkan kerajaan)," katanya.

Mengulas mengenai pengakuan tidak berbelah bagi wakil rakyat Sabah kepada kerajaan, Najib berkata, beliau yakin wakil rakyat Sabah akan terus menyokong kepimpinan kerajaan BN.

"Mereka beri pengakuan untuk sokong, ada yang tandatangani, ada yang tidak menandatangani tapi berhubung secara langsung dengan saya (nyatakan sokongan), tapi mereka tidak setuju kaedah ini (tandatangani sokongan), seolah-olah kita tidak yakin pada mereka, seolah-olh mereka hendak menyeberang kepada pihak pembangkang," kata Najib.

Di KUALA LUMPUR, Naib Presiden UMNO, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, UMNO memerlukan sokongan daripada parti-parti komponen Barisan Nasional (BN) bagi mempertahan kedudukannya dalam menentukan perikatan itu terus berkuasa di negara ini.

"Sebab itu konsep perikatan BN kita terima tapi mesti ada satu pembaharuan yang sesuai mengikut keadaan semasa tanpa mengorbankan prinsip perjuangan parti-parti di dalamnya," katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu, Muhyiddin melepaskan konvoi 20 buah kereta di bawah program Hijrah

Merdeka anjuran Persatuan Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) Wilayah Persekutuan.

Konvoi kembara berkenaan, yang akan singgah di beberapa pusat pengajian tingi di sepanjang jalan ke Melaka, adalah yang pertama anjuran persatuan itu dalam mengisi aktiviti Hari Kebangsaan yang akan disambut serentak di seluruh negara, esok.

Muhyiddin berkata, hasrat yang disuarakan oleh pemimpin parti komponen BN untuk meninggalkan parti itu walaupun mungkin "main-main" tetapi ia merupakan "bunga-bunga tidak sihat" yang perlu ditangani segera.

Beliau turut mengulangi pandangannya tentang perlunya mewujudkan BN "baru" bagi mengekalkan sokongan dan kesetiaan orang ramai kepada parti itu.

"BN perlu berani mewujudkan sebuah BN baru dalam konteks pemikiran baru dan harapan baru supaya ia terus relevan dan sehaluan dengan kehendak serta matlamat pengundi muda," katanya.

Mengenai usaha Timbalan Pengerusi Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal yang hendak mengumpul tandatangan mengikrarkan taat setia semua 58
Ahli Parlimen BN dari Sabah dan Sarawak kepada BN, Muhyiddin berkata, beliau menyerahkan perkara itu kepada pihak yang terlibat.

Beliau berkata, kenyataan mereka untuk kekal bersama BN sebelum ini sudah memadai.

Beliau berkata, Anggota Parlimen BN dari Sabah dan Sarawak adalah orang-orang yang bijak.

"Mereka sendiri sudah mengatakan mereka bukan barang yang boleh dijual beli, mereka ada prinsip, jadi saya fikir itu cukup penting dalam kita nak terima itu sebagai satu kenyataan," katanya.

"Kalau tak buat pun tidak apa, kita dah terima ikrar mereka kerana kalau ia sudah dinyatakan secara terbuka dalam media bukan sekali tapi beberapa kali, jadi kita terima kenyataan itu, kita tidak perlu surat," katanya.


ulasan -saya tertarik dengan kenyataan Muhyidin yang mengatakn BN perlu format baru dan kempen juga baru bagi menarik semua rakyat bersama BN terutama golongan muda. Najib-Muhyidin perlu berfikir formula baru dan saya rasa pendapat dari Puad Zakarshi juga perlu diterima pakai juga. Kritikan beliau dalam Utusan sangant membina untuk kebaikan UMNO khususnya. Ini yang perlu difikirkan pemimpin UMNO sekarang bukan dalam masa terdekat lagi .kita hanya mempunyai 4 tahun shj lagi PRU13 dan kita perlu bertindak dari sekarang.

default

ADUN N.Sembilan ditahan BPR

by Generasi Pejuang Bangsa
 - No Comments

Oleh Hussain Said dan Zulhilmi Hat
bhnews@bharian.com.my
SEREMBAN: Seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) ditahan Badan Pencegah Rasuah (BPR) di sebuah restoran di Mantin, dekat sini petang semalam selepas disyaki menerima suapan RM2,000 daripada seorang kontraktor.

Adun berusia dalam lingkungan 40-an dan pertama kali dipilih selepas memenangi pilihan raya umum lalu ditahan oleh sepasukan anggota BPR ketika menerima suapan itu jam 4.30 petang.

Difahamkan, ketika kejadian, dia yang juga ahli jawatankuasa Umno bahagian Seremban cuba melarikan diri tetapi terjatuh sebelum berjaya dicekup anggota BPR yang mengejarnya.



Dia yang digari kemudian dibawa ke Ibu Pejabat BPR negeri di Jalan Dato' Kelana Maamor, di sini bagi membantu siasatan. Sehingga jam 8 malam tadi, Adun terbabit masih disoal siasat di Ibu Pejabat BPR negeri.


Pengarah Siasatan BPR, Datuk Mohd Shukri Abdull, mengesahkan penangkapan Adun berkenaan, namun enggan mengulas lanjut.

“Saya menerima maklumat mengenai penahanan ini dan mengesahkannya. Tetapi, saya enggan memberi ulasan lanjut,” katanya.

adalah kejadian pertama tahun ini seorang Adun negeri ini ditahan kerana disyaki menerima suapan.

Pada 2 Ogos lalu, seorang pemimpin Umno Seremban ditahan BPR dipercayai menyogok seorang ketua cawangan sebanyak RM500 sebagai dorongan mencalonkannya sebagai Ketua Bahagian pada pemilihan bahagian itu, Oktober ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Hasan yang tidak berkompromi dengan rasuah bagaimanapun gagal dihubungi bagi mengulas penahanan Adun terbabit.

Beliau pernah menegaskan individu yang terbabit dalam perbuatan itu perlu menanggung akibatnya.



dan menyerahkan sepenuhnya kepada BPR untuk menjalankan siasatan serta mengheret mereka yang terbabit ke mahkamah.

Ulasan: Ini kali kedua ahli Umno di tahan BPR. Tak adapun MB Negeri Sembilan nak tuduh BPR menfitnah dan sengaja mengadakan konspirasi. dan MB N. Sembilan tak akan saman BPR.

Bukan seperti seorang MB tu, Bercakap soal ketelusan, kerajaan bersih, kerajaan rakyat tetapi bila dua exco kena tahan BPR melatah tak bertempat
.

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Sebarang maklumat yang hendak diberikan boleh email kepada pbpejuangbangsa@gmail.com
Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.

Followers

Created by Generasi Pejuang Bangsa. Powered by Blogger.
© GENERASI PEJUANG BANGSA. Converted by Smashing Blogger for LiteThemes.com.