Pages

Thursday, May 31, 2018

FAKTA DISEBALIK PROJEK HSR ZAMAN BN YANG DIBATALKAN KERAJAAN HARAPAN




HSR: Kerajaan digesa bersikap telus dalam keputusan untuk membatalkan projek tersebut.
1. Projek keretapi laju HSR Singapura – Kuala Lumpur bukan diilhamkan hanya berdasarkan kepada keputusan yang dibuat oleh satu negara sahaja. Keputusan untuk projek ini dibuat berdasarkan kepada kajian terperinci terhadap manfaat dari kos yang dibuat oleh kedua-dua pihak bertahun lamanya yang turut membuktikan wujud manfaat sosial dan ekonomi bagi kedua-dua negara.
2. Projek ini mempunyai potensi untuk membentuk masa depan dan bagaimana kita dapat bekerjasama bagi faedah bersama. Kajian turut menunjukkan Malaysia adalah penerima manfaat utama bagi projek ini memandangkan majoriti landasan adalah di negara ini. Menggabungkan secara integrasi dua bandar utama dan ekonomi di Asia Tenggara akan menghasilkan manfaat yang besar yang melangkaui jualan tiket dan kos bagi infrastruktur itu.
3. Ia adalah sebahagian daripada agenda transformasi dan visi kita untuk Malaysia baharu yang akan mewujudkan industri baharu, kaedah baharu untuk kerjasama antara dua negara, meningkatkan pekerjaan berpendapatan tinggi dan gaya serta taraf hidup lebih baik untuk semua rakyat.
Ia juga akan mewujudkan satu pusat pertumbuhan baharu dan memberi nafas baharu kepada bandar seperti Batu Pahat, Muar, Ayer Keroh, Melaka dan Seremban di mana manfaat berganda daripada projek ini adalah sangat besar.
4. Pada ketika kita memahami bahawa ia adalah prerogatif kerajaan baharu Pakatan untuk membatalkan projek ini, saya kecewa dengan keputusan terburu-buru untuk membatalkan projek ini dan menggesa kerajaan untuk bersikap lebih telus dan mengadakan rundingan sebelum membuat apa-apa keputusan kerana ia akan memberi kesan kepada masa depan ekonomi, peluang pekerjaan dan jenis pekerjaan untuk rakyat Malaysia.
Saya turut merasakan adalah menjadi tanggungjawab saya untuk memberi pencerahan bagaimana keputusan dibuat kerajaan BN terdahulu bersama kerajaan Singapura bagi projek ini.
5. Pertama, kerajaan baharu mendakwa kos projek ini adalah RM110 bilion. Jawatankuasa bersama Malaysia – Singapura, sehingga awal tahun ini telah mengunjurkan kos bagi projek ini adalah kira-kira RM72 bilion, termasuk pengambilan tanah dibayar kepada rakyat Malaysia, berasaskan kepada penilaian antarabangsa yang dilakukan dan dikemukakan sebelum ini.
6. Kos sebenar hanya diketahui apabila tender sepenuhnya bagi merekabentuk, membina, pembiayaan dan penyelenggaraan kesemua stok guling (rolling stock) dan aset keretapi HSR, yang dijangka ditutup sepenuhnya pada 28 Disember, 2018.
7. Sehubungan dengan itu, kerajaan seharusnya memberitahu kita bagaimana mereka memperolehi angka RM110 bilion? Adakah angka ini juga dinaikkan atas dasar politik sebagaimana dilakukan terhadap angka RM1 trilion bagi ‘hutang negara?’
8. Saya juga terkejut dengan kenyataan Tun Mahathir yang menyatakan bahawa Malaysia tidak mendapat pulangan sesen pun daripada projek HSR.
9. Realitinya, projek infrastruktur seperti HSR ini, membawa pulangan dan manfaat dalam bentuk kenaikan nilai hartanah, kepesatan ekonomi setempat, pemindahan teknologi, peluang pekerjaan pendapatan tinggi, kemasukan tenaga pakar ke dalam negara dari Singapura serta pelancongan.
10. Saya mahu bertanya kepada Dr Mahathir apakah projek-projek Lebuhraya Pan Borneo dan Lebuhraya Central Spine Road yang tiada tol, projek LRT, MRT dan monorel mendapat pulangan dari hasil tiket sahaja? Sudah tentu tidak.
11. Projek-projek infrastruktur ini mendatangkan pulangan kepada negara dari segi kepesatan ekonomi. Kerajaan akan meraih pendapatan daripada cukai yang diperoleh daripada ekonomi yang lebih rancak. Manakala, rakyat pula mendapat kemudahan dan peluang pekerjaan kerana dapat berhubung dengan mudah.
12. Rasional yang sama digunakan dalam pembinaan HSR ini. Untuk pengetahuan rakyat Malaysia, laluan penerbangan Kuala Lumpur Malaysia adalah yang tersibuk di dunia. Terdapat permintaan yang luar biasa terhadap perjalanan Kuala Lumpur-Singapura ini. Kerana itulah HSR ini sebenarnya sangat menguntungkan negara.
13. Saya juga ingin bertanya adakah agensi terlibat dengan projek ini sudah diberi ruang untuk membentangkan kes mereka kepada kabinet dan Majlis Penasihat Kerajaan? Adakah kajian impak ekonomi dan penilaian impak alam sekitar sudah dibentangkan dan dipertimbangkan? Bolehkah kajian ini kini didedahkan kepada umum?
Unjuran yang terkandung dalam laporan berkenaan yang pernah saya lihat menunjukkan manfaat ekonomi sehingga RM650 bilion bagi GNI sehingga 2069. Manakala akan wujud 110,000 peluang pekerjaan dan ia diunjurkan akan meningkat sehingga 442,000 menjelang 2069. Untuk lebih telus, laporan ini seharusnya ditunjukkan kepada orang awam sebagaimana dilakukan kerajaan BN sebelum ini ketika laporan dipamerkan kepada orang ramai untuk maklum balas.
14. Adakah pembatalan ini adalah keputusan seorang sahaja? Saya difahamkan Menteri Pengangkutan baharu telah membuat kenyataan bahawa projek HSR ini tidak pernah dibincangkan dalam kabinet manakala Menteri Kewangan baharu enggan memberi ulasan tentang pembatalan projek HSR ini.
15. Projek HSR ini adalah projek jangka panjang dengan pelaburannya akan dapat diperolehi kembali pada dekad mendatang, dari pertumbuhan trafik selain kesan limpahan manfaat ekonomi berkaitan projek ini.
16. Impak ekonomi dari projek HSR ini juga turut mengambil kira analisa kewangan dan laporan Bank Dunia bagi unjuran pertumbuhan KDNK Malaysia tahun ini dan beberapa tahun akan datang.
17. Dengan pembatalan projek ini, prospek pertumbuhan KDNK Malaysia akan menyusut dan pertumbuhan peluang pekerjaan akan terencat? Kerajaan baharu perlu mengambil kira faktor ini dan mempunyai langkah pilihan bagi mengisi jurang kekurangan ini.
18. Zaman kini sudah berubah dan ekonomi hari ini lebih sofistikated dari dulu dan adalah mengecewakan jika Perdana Menteri gagal melihat pulangan projek ini sebagai pemangkin ekonomi seperti HSR ini di luar skop hasil jualan tiket sahaja. Jangan membuat keputusan semata-mata kerana dendam kesumat terhadap individu ataupun Kerajaan Barisan Nasional. Keputusan yang dikaburi emosi hanya akan merugikan rakyat.

Wednesday, May 23, 2018

KJ DAPAT MANDAT RANGKA STRUKTUR PARTI UMNO & BN UNTUK WAJAH BARU


Hari ini MT UMNO telah membuat keputusan semua jawatan dalam parti dipertandingkan oleh sesiapa sahaja berkelayakan .
Ini jelas bertepatan hasrat akar umbi UMNO termasuk  Ketua Pemuda YB Khairy Jamaluddin .
Akar umbi UMNO mahukan perubahan. Mereka  sememangnya mahukan UMNO yang baharu yang bukan lagi dikongkong atau mengikut telunjuk secara membabi buta pemimpin atasan.
Malah  KHAIRY JAMALUDDIN dilantik MT UMNO ketuai jawatankuasa struktur semula UMNO dan BN . Cadangan oleh beliau perlu dikemukakan kepada MT dalam masa sebulan iaitu bermakna sebelum Mesyuarat Bahagian seluruh negara pada 30 Jun . 
Hasil cadangan jawatankuasa struktur semula  cukup penting bagi mempastikan  parti UMNO dan BN terus kekal untuk dipilih rakyat semula di PRU15. 
UMNO dan BN juga perlu  keluar dari zon selesa dengan memahami mereka kini berada di blok pembangkang dan tidak oleh bergantung kepada Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan untuk meraih undi . 
Strategi pemikiran di luar kotak yang bertepatan arus politik semasa perlu digarap dan dijadikan kerangka untuk mengstruktur semula UMNO dan BN . 
Mengenai soal pemilihan , DS Zahid dan DS Hishamuddin kini dilihat  hanya menjalankan amanah dan tanggungjawab bagi memulihkan parti terlebih dahulu hingga ke mesyuarat Bahagian selesai pemilihan . 
Amanah mereka kepada KJ cukup besar dan bukan sahaja merangka struktur UMNO dan BN yang baru tetapi lebih dari itu .  

Terima kasih DS Zahid & DS Hisham ...




Semua jawatan dalam UMNO terbuka dan bebas untuk dipertandingkan termasuk jawatan Presiden, Timbalan Presiden, Naib-naib Presiden serta ketua-ketua bagi kepimpinan sayap parti, kata Naib Presiden yang menjalankan tugas-tugas Presiden, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Katanya, tidak timbul soal tidak ada pertandingan bagi jawatan-jawatan tertentu dalam pemilihan UMNO.
“Saya bersama Datuk Seri Hishammuddin secara berlapang dada dan berfikiran terbuka mahu supaya jawatan ini ditandingi oleh sesiapa sahaja yang berkelayakan dan mengikut peraturan yang telah ditentukan.”
“Kami juga telah diberi pertanggungjawaban dan amanat untuk menyelesaikan beberapa permasalahan dan isu-isu yang sedang dihadapi sekarang ini,” katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO, di Menara Dato’ Onn hari ini.
Jelasnya, MT juga telah mengambil keputusan supaya ahli-ahlinya diberikan tanggungjawab untuk menjaga bahagian-bahagian tertentu dengan turun ke bawah bertemu kepimpinan di bahagian-bahagian dan cawangan-cawangan di bahagian berkenaan.
“Jawatankuasa bertindak ini akan dipengerusikan oleh Tan Sri Annuar Musa dan beliau akan melakukan penyelarasan terhadap aktiviti ini.”
Kemudiannya, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor telah memaklumkan bahawa tarikh persidangan tahunan Cawangan dan Pergerakan sayap Wanita, Pemuda serta Puteri UMNO bermula Sabtu, 19 Mei 2018 sehingga Ahad, 10 Jun 2018 sementara di peringkat bahagian pada Sabtu, 30 Jun 2018.
Katanya, ahli-ahli UMNO yang ingin bertanding boleh mendaftar secara ‘online’ bermula 1 Jun 2018 (Jumaat) dan pencalonan akan ditutup pada 17 Jun 2018 (Ahad), jam 5.00 petang bagi semua peringkat pemilihan MT, bahagian dan pergerakan sayap Wanita, Pemuda dan Puteri UMNO.
Jelasnya lagi Jawatankuasa pemilihan yang dibentuk di peringkat bahagian juga akan berfungsi di semua peringkat pemilihan sepanjang proses pemilihan berlangsung. – MediaUMNO

Tuesday, May 22, 2018

LUAHAN KETUA BAHAGIAN UMNO SHAH ALAM TENTANG SUARA RAKYAT PASCA PRU14




SUARA RAKYAT...
Pilihan raya ke-14 tidak dinafikan antara pilihan raya yang boleh dibukukan dalam sejarah. Tumbangnya Barisan Nasional kerana Tsunami suara rakyat. Tetapi ramai mungkin tidak sedar bahawa UMNO masih lagi kuat dan utuh kerana jumlah kerusi yang dimenangi terpecah seperti berikut :
1) UMNO = 54
2) BERSATU = 13
3) PKR = 47
4) DAP = 42
5) PAN = 11
6) WARISAN = 8
7) PAS = 18
Suara rakyat yang rata-rata golongan muda tidak boleh menerima kerajaan yang dipimpin oleh DS Najib Razak. Bila kita tanyakan kepada golongan ini kenapa DS Najib Razak? Mereka akan katakan GST, minyak dan Rosmah. Tiga saja faktor ini yang membuatkan mereka pergi keluar mengundi. Bila kita bertanyakan tentang GST boleh saya katakan 70% mereka tidak dapat menjawab, bila saya bertanyakan tentang minyak 70% juga mereka tidak dapat menjawab tetapi bila bertanyakan Rosmah 100% mereka boleh menjawab.
Rakyat sebenarnya marah kepada DS Najib atas faktor isteri beliau. Kemarahan rakyat bukan tertumpu kepada UMNO dan BN tetapi lebih kepada individu. Oleh kerana itu PRU14 ini bukan lagi fokus kepada kehebatan calon-calon yang bertanding tetapi memang semata-mata logo dan bendera tanpa menghiraukan siapa saja calon di kawasan tersebut. Letak siapa saja yang bertanding mereka pasti akan menang (PH).
Perasaan dan emosi telah ditanam supaya menolak BN asalkan bukan lagi DS Najib. Ikhlas dan jujur saya katakan, keadaan ini amat tidak sihat malahan merbahayakan keadaan di kawasan masing-masing. Sebenarnya ramai juga calon BN yang lebih baik dari setiap sudut termasuk pendidikan, pengalaman, pencapaian dan kebolehan. Wakil Rakyat sebenarnya umpama CEO syarikat dimana rakyat memilih siapa yang akan dilantik untuk bekerja di syarikat (Parlimen & DUN) setiap kawasan . Sudah tentu kalau kita sendiri pengarah syarikat kita akan mengambil pekerja yang berpotensi untuk memajukan syarikat. Sama juga dalam konsep memilih pemimpin.
Akhirnya ramai calon-calon BN yang jauh lebih baik dari lawan masing-masing kalah dan ini akan merugikan kawasan tersebut kerana mereka memangkah undi melalui perasaan dan emosi dan bukan melalui akal dan hati. Ramai juga yang bersedih kerana kehilangan dan terkorban pemimpin tersayang dan ada juga yang menyesal disebabkan tidak memikir panjang impak hasil terlalu ingin fokus menjatuhkan individu bernama Najib Razak. Tetapi itu semua sudah terlambat.
Ya.Saya faham. Ada yang memaklumkan dengan cara ini saja boleh menumbangkan individu yang paling di atas iaitu DS Najib Razak. Balik pada pepatah Melayu "Marahkan seekor nyamuk, habis kelambu dibakar". Itu bukan cara yang sihat kerana kita tidak sedar bahawa isu-isu tempatan kawasan masing-masing lebih banyak untuk diselesaikan. Tetapi rakyat, lebih-lebih lagi yang berdarah muda telah ditanam dengan hanya cerita GST yang menjadikan kos hidup mereka terbeban. Isu agama, kesihatan, keselamatan, kemudahan dan pendidikan yang lebih baik ditolak hanya demi menumbangkan seorang individu.
Berjaya juga akhirnya Pakatan Harapan dengan taktik peralihan tumpuan kesalahan dalam sepanjang kempen mereka itupun dari bantuan Tun M. Bagi pendapat saya, suara rakyat sebenarnya perlu berlaku dari peringkat bawah dan mudah didengari oleh setiap kawasan terlebih dahulu untuk menyelesaikan masalah-masalah isu tempatan yang saya kira lebih penting bagi kesejahteraan dan keharmonian kawasan masing-masing. Permainan isu-isu negara yang belum kita pasti tepat dan benar tidak perlu kita lebih-lebihkan kerana boleh mengundang ke arah fitnah dan dosa.
Suara rakyat dan demokrasi ini merbahaya kalau tidak diimbangi sebaiknya. Jika sekiranya rakyat hanya menumpukan kepada isu nasional sahaja maka mereka tidak akan hirau sesiapa sahaja wakil rakyat mereka dilantik walaupun isu-isu tempatan mengalami masalah. Ini sebenarnya memang permainan strategi "peralihan tumpuan" PH dalam memenagi PRU14 kerena mereka akur calon-calon BN lebih ramai berpotensi dari mereka sehingga calon Menteri penuh pun susah untuk diutuskan. Mereka (PH) tidak menafikan bahawa kekurangan calon berwibawa untuk mentadbir negara.
Jujur saya maklumkan bagi golongan belia rata-rata yang menyokong PH adalah kerana trend terkini. Menjadi penyokong tanpa memahami misi dan visi. Menjadi penyokong tanpa kenal ahli tertinggi. Umpama menjadi penyokong Man City tetapi tidak tahu asal unsul pasukan dan mungkin tidak mengenali kesemua pemain tetapi menyokong atas dasar popular dan ikutan.
Akhir kata, jika mahu suara anda, suara rakyat dilandasan betul. Usah masuk dalam mana-mana parti politik dahulu. Kalau betul hendak menjadikan Malaysia negara aman dan damai Tanah Airku tercinta, cuba libatkan dalam persatuan penduduk atau JMB kawasan anda yang kecil dahulu. Kalau anda mampu mengubah tempat kawasan anda, InshAllah...anda mampu ubah daerah, seterusnya negeri dan barulah negara melalui sistem demokrasi yang betul. Jangan jadi masyarakat yang tidak ambil peduli tetapi bersorak secara tiba-tiba tanpa tahu apa erti perjuangan. Jangan jadi masyarakat yang tidak bercampur jiran tetapi bising seolah tahu masalah tempatan. Pilihlah wakil rakyat kawasan anda dahulu, yang tepat untuk mewakili kita kerana ianya lebih dekat. SUARA KITA, SUARA SETEMPAT. SUARA WAKIL, SUARA RAKYAT...
Sekian.
Wassalam...
-Azhari Shaari-