– Malaysia meminta pertimbangan kerajaan Myanmar untuk membenarkan misi bantuan kemanusiaan memasuki wilayah Rakhine yang didiami masyarakat Islam Rohingya.
Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata, perkara itu telah ditekankan oleh bekas Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Kofi Annan semasa melawat kawasan bergolak itu awal bulan ini.
Menurut beliau, beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dari Malaysia juga bersedia membantu kerajaan Myanmar dari segi penyaluran bantuan kemanusiaan.
“Kami turut mencadangkan agar ASEAN menyelaraskan misi bantuan kemanusiaan ke Rakhine seperti yang dilakukan semasa bencana taufan Nargis pada 2008.
“Pertubuhan bantuan kemanusiaan antarabangsa seperti Persekutuan Antarabangsa Palang Merah dan Bulan Sabit Merah (IFRC) juga perlu dibenarkan memasuki kawasan terbabit bagi menilai situasi di sana dan membantu penyaluran bantuan,” katanya ketika berucap pada Sesi Pemukiman Menteri-menteri Luar ASEAN di Yangon, Myanmar hari ini.
Selain itu, Anifah menambah, Malaysia mengesyorkan supaya ASEAN menubuhkan pasukan penyiasat bebas dianggotai sekumpulan pakar dan tokoh terkemuka bagi menyiasat serta melaporkan situasi yang berlaku di Rakhine.
Beliau memberitahu, pasukan tersebut seterusnya akan mengemukakan cadangan bagi tindakan selanjutnya kepada ASEAN.
“Langkah ini akan membantu kita untuk mencari jalan penyelesaian jangka panjang yang mapan bagi menangani situasi di Rakhine,” jelasnya.
Anifah turut menegaskan pendirian Malaysia yang menggesa kerajaan Myanmar mengambil langkah yang perlu bagi mengembalikan keamanan dan kestabilan di kawasan konflik.
“Kami berharap kerajaan Myanmar berupaya menangani situasi tersebut secara adil dan saksama dengan berlandaskan kepada prinsip-prinsip antarabangsa tentang perlindungan hak asasi manusia seperti yang termaktub dalam Piagam ASEAN serta Deklarasi Hak Asasi Manusia ASEAN,” katanya.
Beliau berkata, janji yang diberikan oleh Kaunselor Negara Myanmar, Aung San Suu Kyi untuk menangani punca konflik di Rakhine seperti isu kewarganegaraan akan membantu meredakan ketegangan serta merintis jalan penyelesaian yang realistik dan mapan.
Anifah memberitahu, pihak berkuasa Myanmar seharusnya bertindak melindungi setiap penduduk tanpa mengira latar belakang etnik atau agama mereka manakala dakwaan berhubung pencabulan hak asasi manusia di Rakhine mesti disiasat.