..

..

Malaysia Mangsa Siasatan Kes Equanimity, 1MDB - Zahrain

on Tuesday, March 20, 2018 by Generasi Pejuang Bangsa
 - No Comments



1. Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Zahrain Mohd Hashim memberitahu media negara itu bahawa Malaysia hanyalah mangsa dalam siasatan berhubung kapal mewah Equanimity dan juga firma 1MDB.

2. Sedangkan, tiada kes yang mengaitkan syarikat pelaburan strategik itu dengan kapal mewah berkenaan dan juga ahli perniagaan Low Taek Jho atau Jho Low, katanya dalam wawancara dengan majalah berpengaruh Tempo.

_“Perdana Menteri (Najib Razak) marah dengan cerita ini. Ini cerita yang tak betul. Dia kata, 'saya sangat kecewa',”_ kata Zahrain.

3. Beliau berkata Malaysia menjadi mangsa kerana pembangkang negara ini menggunakan isu tersebut untuk menyerang kerajaan dalam menghadapi pilihan raya umum yang bakal menjelang.

_“Kami akan menghadapi pilihan raya umum. Pihak pembangkang memakai itu (isu 1MDB) untuk menyerang kerajaan,”_ katanya.

4. Zahrain berkata isu melibatkan 1MDB semakin kuat menekan kerajaan apabila dibangkitkan oleh bekas perdana menteri Dr Mahathir Mohamad yang kini memimpin pembangkang.

5. Beliau turut menepis siasatan oleh penyiasat Amerika Syarikat yang menurutnya hanya dibuat “atas laporan dan cerita”.

_“Jika FBI (Biro Siasatan Persekutuan AS) kata 1MDB melakukan pengubahan wang, mengapa CEO 1MDB (Arul Kanda) tidak pernah diperiksa. Saya rasa ini permainan politik. Ada orang yang ingin menjelikkan kerajaan Malaysia dan perdana menteri,”_ katanya.

6. Wartawan Tempo antara lain meminta Zahrain menjelaskan mengenai pemilikan kapal mewah tersebut dan juga hubungan Jho Low dengan penerbit filem Riza Aziz yang merupakan anak tiri Najib.

_“Itu bukan kapal Malaysia, bukan kapal yang kena-mengena dengan Malaysia. Bukan pula kapal rakyat Malaysia”_ kata Zahrain.

7. Wawancara itu muncul selepas penyiasat Amerika Syarikat menyita kapal Equanimity akhir bulan lalu di pulau Bali di perairan negara tersebut.

8. Kapal The Equanimity dirampas oleh pihak berkuasa Indonesia atas permintaan FBI yang membuka siasatan berhubung dakwaan penyelewengan berkaitan 1MDB.

9. Operasi itu dibuat selepas Jabatan DoJ menangguhkan samannya untuk merampas aset bernilai AS$4.5 bilion yang diperolehi dengan menggunakan dana didakwa dicuri dari 1MDB.

10. Ketika disoal lanjut, beliau menegaskan kapal tersebut bukan kepunyaan Jho Low dan tidak harus dikaitkan dengan 1MDB dan Najib. Jho Low yang disifatkannya sebagai seorang “tukang atur” atau “broker” juga tidak bekerja dengan kerajaan Malaysia, perdana menteri Malaysia mahupun dengan 1MDB.

11. Ketika disoal mengenai hubungan Jho Low dengan Riza Aziz, Zahrain secara ringkas menjawab Riza merupakan anak tiri Najib dan bukan perdana menteri. Mengulas mengenai dana RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun Najib, Zahrain seterusnya menegaskan wang itu dari kerajaan Arab Saudi.

12. Zahrain berkata sekiranya segala tuduhan yang dibangkitkan mengenai 1MDB adalah benar, maka tentu ada tindakan dan penangkapan dibuat. Beliau juga mempersoalkan tindakan pihak yang terus mengaitkan Najib dengan Jho Low kerana perdana menteri itu tidak terlibat dengan pengendalian 1MDB.

13. Beliau berkata sepanjang pengetahuannya, Jho Low juga tidak pernah ditangkap. Malah penyiasat Malaysia tidak menemui sebarang penipuan dalam 1MDB dan tiada penangkapan dibuat ke atas kakitangan tersebut serta ketua pegawai eksekutifnya, Arul Kandasamy.

_“Tiada kes. Polis dan lembaga anti rasuah dan peguam negara telah menyelidik dan tidak menemui unsur penipuan. Parlimen juga sama hasilnya. tidak ada pencurian, wang hilang, dan aliran wang haram dari 1MDB. 1MDB menjalankan bisnes secara formal.”_


Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Sebarang maklumat yang hendak diberikan boleh email kepada pbpejuangbangsa@gmail.com
Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.

Followers

Created by Generasi Pejuang Bangsa. Powered by Blogger.
© GENERASI PEJUANG BANGSA. Converted by Smashing Blogger for LiteThemes.com.