..

..

KILANG HARAM LEBIH BERHARGA DARI NYAWA RAKYAT P.PINANG ?? @dzainalabidin

on Tuesday, August 15, 2017 by Generasi Pejuang Bangsa
 - No Comments



*Isu Kilang-Kilang Haram : Kerajaan Negeri Pulau Pinang  Perlu Lebih Tegas Dan Lebih Berani Untuk Mengambil Tindakan Ke Atas Kilang-Kilang Haram Yang Masih Ujud Di Seluruh Pulau Pinang Terutamanya Yang Membahayakan Dan Mengancam Keselamatan Dan Kesihatan Awam.*

YAB Ketua Menteri dilaporkan berkata Kerajaan Negeri Pulau Pinang tidak boleh mengambil tindakan ke atas kilang haram yang dibina di atas tanah persendirian. Pernyataan oleh YAB Ketua Menteri ini jelas bercanggah dengan jawapan YB Chow Kon Yeow kepada satu soalan pada Mesyuarat Pertama Penggal Kelima Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang Keduabelas (30/04/2012).

Dalam jawapan tersebut, YB Chow menyatakan Kerajaan Negeri melalui MPPP dan MPSP telah mengambil tindakan ke atas kilang-kilang haram atas tanah persendirian, di bawah Seksyen 72, Akta Jalan, Parit & Bangunan 1974 dengan mengeluarkan notis kepada pemilik untuk meroboh bangunan haram tersebut; manakala untuk kilang-kilang atas tanah Kerajaan, tindakan akan diambil oleh Pejabat Daerah dan Tanah melalui notis di bawah Seksyen 425 dan 426A, Kanun Tanah Negara.

YAB Ketua Menteri berkata menjadi dasar Kerajaan Negeri Pulau Pinang untuk tidak mengambil tindakan terhadap semua bangunan, rumah ibadat atau penjaja yang beroperasi secara haram dan wujud sebelum 2008 kecuali jika ia mengganggu orang awam dan aliran trafik sehingga satu penyelesaian dapat dicapai.

Sehubungan dengan pernyataan itu, saya ingin mengajukan beberapa soalan kepada YAB Ketua Menteri; (1) Bilakah dasar itu diluluskan oleh Majlis Mesyuarat EXCO Negeri Pulau Pinang dan (2) Bolehkah Ketua Menteri memberikan cabutan Minit Mesyuarat EXCO yang meluluskan dasar tersebut?

Merujuk kepada kes kilang haram memproses habuk kayu di Sungai Lembu, bukankah terdapat banyak aduan daripada rakyat dan penduduk di berdekatan terhadap kilang haram tersebut yang mengancam kesihatan dan menganggu-gugat keselamatan mereka, malahan aduan juga telah dibawa oleh YB ADUN PKR-Penanti ke Sidang DUN Pulau Pinang?

*Saya amat hairan kenapa Kerajaan Negeri yang Kompeten, Akauntabel dan Telus perlukan masa lebih SEMBILAN tahun untuk cari penyelesaian sebuah kilang haram tersebut yang mengancam keselamatan dan kesihatan awam. Apakah Kerajaan Negeri Pulau Pinang lebih “sayangkan kilang haram” daripada keselamatan dan kesihatan awam?*



Semalam, Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah mengambil tindakan memberhentikan operasi kilang haram berkenaan. Agak pelik kenapa tindakan serupa tidak diambil sebelum ini? Timbul persoalan, apakah sebelum ini ada sekatan atau campur tangan daripada pihak Kerajaan Negeri yang menghalang JAS mengambil tindakan menutup operasi kilang haram memproses habuk kayu tersebut?

*Saya ingin nasihatkan YAB Ketua Menteri Pulau Pinang supaya lebih tegas dan lebih berani untuk mengambil tindakan ke atas kilang-kilang haram yang masih ujud di seluruh Pulau Pinang terutamanya yang membahayakan dan mengancam keselamatan dan kesihatan awam.*

*Ketua Menteri dan Kerajaan Negeri sekarang ada kuasa untuk menutup kilang-kilang haram dan tidak perlu kaitkan Barisan Nasional dalam sebarang tindakan diambil Kerajaan Negeri. Tunjukkan bahawa Kerajaan Negeri sekarang Kompeten, Akauntabel dan Telus dan Tidak Takut untuk ambil tindakan ke atas kilang-kilang haram.*

Bukannya Kerajaan Pulau Pinang tidak pernah berbuat demikian sebelum ini. Di kawasan DUN Penanti sahaja Kerajaan Negeri melalui MPSP pernah ambil tindakan meroboh dan memberhentikan operasi DUA buah kilang haram, iaitu kilang pengeluar bumbung zink di Jalan Tanah Liat dan kilang memproses timah di Kubang Ulu.

Saya juga ingin ingatkan YAB Ketua Menteri, terdapat perbezaan antara KILANG-KILANG HARAM dan Struktur-struktur haram. Kilang-kilang haram, tidak berlesen, tiada permit atau kelulusan bangunan boleh dihentikan operasinya tanpa diambil tindakan meroboh bangunan kilangnya sementara Pihak Berkuasa mencapai penyelesiaan yang lebih baik.

*Ketua Menteri perlu hentikan terlalu banyak berpolitik dalam mengurus tadbir dan perlaksanaan dasar-dasar Kerajaan Negeri. Jangan hipokrit dan jangan terus membohongi Rakyat Pulau Pinang kerana sudah lebih 9 tahun DAP jadi Kerajaan Negeri di Pulau Pinang. Jika tidak mampu bawa perubahan, amat elok sekiranya rakyat Pulau Pinang sekali mengUBAH Kerajaan Negeri untuk Menyelamatkan Pulau Pinang*.


Datuk Seri Zainal Abidin Osman
Pengerusi Badan Perhubungan UMNO
Negeri Pulau Pinang


Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Sebarang maklumat yang hendak diberikan boleh email kepada pbpejuangbangsa@gmail.com
Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.

Followers

Created by Generasi Pejuang Bangsa. Powered by Blogger.
© GENERASI PEJUANG BANGSA. Converted by Smashing Blogger for LiteThemes.com.