..

..

NELAYAN KECEWA DIPERDAYA KERAJAAN DAP TERIMA PAMPASAN

on Friday, July 28, 2017 by Generasi Pejuang Bangsa
 - No Comments




Kerajaan DAP Pulau Pinang didakwa menggunakan helah untuk memperdaya golongan nelayan bagi menerima pampasan projek pembangunan Seri Tanjung Pinang Fasa II (STP2).
Seorang nelayan Tanjung Tokong, Mohd Shariff Abdul, 57, berkata nelayan di kawasan Tanjung Bungah, Tanjung Tokong, Unit Paramount dan Persiaran Gurney kecewa dengan undangan untuk menghadiri satu majlis yang dikatakan sebagai Majlis Penyampaian Bayaran Sagu Hati dua minggu sebelum hari raya pada tahun 2015 yang sebenarnya adalah majlis bayaran pampasan.
"Siapa tak nak duit bila diberikan sebagai sagu hati kerana masa itu dua minggu sebelum raya puasa. Kami ingat itu sagu hati daripada pihak pemaju projek STP2," katanya pada sidang akhbar anjuran Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang di sini hari ini.
Beliau berkata bagaimanapun berdasarkan satu surat daripada Unit Perancang Ekonomi Negeri (UPEN) kepada Pengarah Eksekutif Tanjung Pinang Development Sdn Bhd pada 5 Okt 2016, bayaran itu merupakan pembayaran pampasan.
Nelayan Unit Paramount, R.Selvaraju, 60, pula berkata projek STP2 yang bermula tahun lepas itu telah menjejaskan punca pendapatan nelayan di perairan kawasan itu berikutan aktiviti tebus guna tanah telah menyebabkan banyak tempat pembiakan hidupan marin musnah.
Beliau berkata sebelum ini pendapatannya mencecah lebih RM2,000 sebulan hasil tangkapan ikan, kerang dan ketam tetapi kini akibat aktiviti tebus guna berhampiran kawasan berkenaan, pendapatannya telah berkurang.
"Kini pendapatan saya paling banyak sebulan pun RM1,000 sahaja. Saya amat kecewa dengan tindakan kerajaan negeri yang gagal membantu nelayan-nelayan di kawasan yang terjejas teruk akibat projek STP2," katanya.
Ahli Jawatankuasa Barisan Nasional (BN) Pulau Pinang Datuk Dr Shaik Hussein Mydin menggesa kerajaan negeri menangani masalah itu seperti yang dicadangkan dalam Laporan Penilaian Kesan Alam Sekeliling (EIA) iaitu menyediakan satu kaedah pampasan yang dipersetujui bersama.
Sementara itu, Pengurus Besar (Pengurusan Pembangunan dan Pembinaan) Eastern & Oriental Bhd Datuk Zawawi Yusop dalam satu kenyataan berkata, kumpulan itu sentiasa berhubung dan mengadakan perbincangan dengan golongan nelayan di kawasan projek itu.
Katanya pada tahun lepas syarikat telah meluluskan  peruntukan untuk membina tembok penahan ombak serta jeti, tempat bot mendarat dan tempat menyimpan peralatan seperti dicadangkan oleh Jabatan Perikanan.
"Sebaik menerima surat desakan itu, kami turut membantu mengaturkan beberapa mesyuarat  antara jawatankuasa nelayan dan pihak berkuasa relevan bagi menangani kebimbangan mereka.
“Selepas beberapa pusingan perbincangan, kami sedang menunggu pengesahan bagi reka bentuk kemudahan berkenaan yang perlu mendapat persetujuan nelayan sebelum keputusan dibuat untuk memulakan kerja pembinaan," katanya.
-- BERNAMA


Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Sebarang maklumat yang hendak diberikan boleh email kepada pbpejuangbangsa@gmail.com
Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.

Followers

Created by Generasi Pejuang Bangsa. Powered by Blogger.
© GENERASI PEJUANG BANGSA. Converted by Smashing Blogger for LiteThemes.com.