..

..

KUMPULAN ANTI MAHATHIR MUSUH BARU PAKATAN HARAPAN

on Friday, July 28, 2017 by Generasi Pejuang Bangsa
 - 1 Comment





PRU14: 'Musuh Baru'  getirkan pembangkang

Oleh: Ronasina

Setiap percaturan pastinya ada risiko malah hidup itu sendiri adalah suatu risiko. Strategi pembangkang (DAP, KEADILAN dan AMANAH) yang menawarkan pakej penjenamaan semula manifesto perjuangan dengan nama Pakatan Harapan telah meletakkan Dr Mahathir, sosok yang dilawan-dikritik-dikutuk bertahun-tahun itu nampaknya bakal memberikan laluan getir dalam pilihanraya umum akan datang jika tidak diselesaikan dengan segera kerana mereka terpaksa juga berhadapan dengan risiko serangan 'musuh baru' selain daripada musuh lama mereka Barisan Nasional. Gabungan terbaik dalam sejarah kerajaan Barisan Nasional suatu masa dahulu iaitu Mahathir dan Anwar kini kembali berpadu di luar kerajaan setelah hampir dua puluh tahun mereka berperang. Akibatnya Mahathir tercabut dari kerusi Perdana Menteri dan Anwar pula terperosok dalam jeriji besi. Barisan Nasional yang mereka pimpin bersama dahulu kini menjadi musuh yang mereka perangi pula dan ini dilihat oleh dunia sebagai suatu detik yang paling menarik untuk disaksikan. Dua tokoh yang paling berpengaruh dalam dunia politik Malaysia kini kembali bersatu setelah keduanya hilang talipinggang kejuaraan. Bergabung untuk menjatuhkan parti lama mereka yang masih kuat liat di tampuk takhta. Tidak hebatkah episod pertandingan kali ini?

Sebenarnya pilihanraya akan datang ini masing-masing terpaksa menghadapi 'musuh baru'. Umno dan Barisan Nasional yang menentang Pakatan Harapan kena berhadapan dengan bekas presiden mereka, Mahathir. PAS pula berhadapan dengan AMANAH yang keluar dari perut mereka sendiri pastinya bertempur sengit terutamanya di Kelantan. Pertarungan yang menurut pemerhati politik bakal menentukan salah satu yang tewas akan jadi parti nyamuk. Benar atau tidak, masa yang akan menentukan.

Tetapi fokus utama tentulah peperangan di antara Barisan Nasional dengan Pakatan Harapan. Najib sebenarnya cukup mudah untuk mematahkan serangan pembangkang kerana kekuatan jentera yang akan dimanipulasi olehnya sangat cukup seperti apa yang pernah dilakukan oleh Barisan Nasional dalam pilihanraya sebelum ini.

3M (Money, Media dan Machinery) adalah tonggak kekuatan Najib. Projek kilat, wang tunai dan saguhati untuk orang kampung,  peneroka tanah rancangan dan penghuni estet adalah 'pelaburan' yang mampu memberikan pulangan cukup lumayan. Gula-gula ini adalah formula yang cukup ampuh sebagai permainan 'silap mata' untuk menggambarkan kestabilan pemerintah sedia ada.

Ya! Kestabilan. Inilah kunci kepada sebuah sokongan. Jangan pandang remeh rakyat. Jangan pandang lekeh orang kampung dan estet. Mereka yang sudah mula sedar politik, tahu kebobrokan dan korup Barisan Nasional dan sangat ingin menjatuhkan Barisan Nasional akhirnya akan melihat kembali makna kestabilan. Kestabilan apa yang mereka lihat? Apakah jika kerajaan bertukar, kronisme dan rasuah sudah tiada? Apakah jika kerajaan baru mengambilalih pusat, salah guna kuasa tiada? Dan mereka melihat kerajaan negeri yang diperintah oleh Pakatan Harapan sebagai rujukan. Teluskah? Peduli rakyatkah seperti apa yang dijual di dalam manifesto pilihanraya dahulu? Banyakkah projek untuk rakyat atau sama juga sibuk dengan projek mewah untuk kroni? Kehidupan ahli politik ini juga selepas menjadi wakil rakyat bagaimana? Biasa saja atau semakin mewah? Rasuah tetap juga ada, barangkali. Tetapi bagaimana pula dengan ketuanan? Apa akan jadi dengan Bahasa Kebangsaan yang dilihat semakin tidak selamat? Bagaimana dengan kedudukan agama yang selalu diperlekehkan dan dipertikaikan oleh puak-puak yang dilihat rapat dengan pembangkang? Semua ini dilihat dan kembali dinilai oleh pengundi atas pagar. Ingat! Pengundi atas pagar bukan semuanya mudah lentok dengan BR1M, kain pelikat atau sekampit baja cap dacing. Pengundi atas pagar juga terdiri daripada golongan profesional, juga dari golongan yang celik politik.

Dan kini pembangkang datang lagi dengan menampilkan Mahathir yang dulu pernah mereka jaja seluruh negara skandal rasuah, bail-out,  pembunuhan menyayat hati di Memali, salahguna ISA dan segala macam kerosakan institusi angkara Mahathir. Apa yang sudah terjadi kali ini? Ini kalilah! Ke mana tuduhan yang dilemparkan dulu? Apakah rasuah adalah kesalahan jenayah yang ada tarikh luput, boleh diketepikan sementara atau segala tuduhan yang dijaja dahulu sebenarnya adalah 'pembohongan kami sebagai pembangkang'?

Untuk penyokong parti politik dan pemuja sosok atau bagi mereka yang menaruh harapan di dalam parti sama ada kedudukan jawatan ataupun peluang lain,  mungkin alasan 'kena bergerak ke hadapan', 'misi lebih besar adalah untuk jatuhkan dahulu pemerintah', 'bersatu sementara, lepas ini lain pula' atau segala teori dan sirah yang digunapakai untuk merestui pakatan cium-mulut antara pembangkang dan Mahathir ini mudah saja diterima. Kalau diajak berhujah pun sudah tentu ada sahaja teori politik yang boleh digunakan untuk menegakkan perlunya gabungan ini. Bukan tiada sejarah yang boleh dirujuk untuk mengabsahkan semua ini. Ada!

Tetapi 'musuh baru' yang perlu dihadapi oleh Pakatan Harapan ialah mereka yang terdiri daripada bekas penyokong sendiri yang sebenarnya masih menaruh harapan untuk melihat Barisan Nasional.tumbang. Mereka tidak boleh menerima bekas diktator ini duduk bersama dalam sebuah pakatan. Tidak ada alasan yang logik untuk berkompromi dengan seorang yang memusnahkan sistem. Ini bukan mereka cakap tetapi inilah yang dikatakan oleh pembangkang selama ini. Musuh baru Pakatan Harapan ini bukan hendakkan jawatan atau habuan peribadi jika menang pilihanraya, mereka sangat mahukan sebuah kerajaan yang telus tegak berdiri. Maka itu berkompromi dengan Mahathir yang bertahun dijaja kebobrokannya bagi mereka telah menelanjangkan warna sebenar Pakatan Harapan terhadap keseriusan mereka sendiri dalam menangani jenayah rasuah. Bagi penentang gabungan Mahathir dan pembangkang ini, Pakatan Harapan jelas hilang integriti! Tidak boleh dipercayai, oportunis dan bangkrup idea. Diulang, TIDAK STABIL, HILANG INTEGRITI DAN BANGKRUP IDEA! Perasuah lama boleh dimaafkan atas alasan untuk menjatuhkan perasuah yang sedang berkuasa. Walhal pegawai kerajaan yang didapati bersalah kerana rasuah walaupun nilainya kecil merengkok dalam penjara. Kompromi celah mana? Logik apa?

Kepercayaan yang diharapkan oleh aktivis dan sebahagian penyokong ini dirasakan oleh mereka telah dikhianati. Prinsip yang dilaungkan keras dan tegas di pentas ceramah bertahun-tahun sehingga penyokong ini cukup terpengaruh, telah digadai.

Pembangkang telah mensia-siakan peluang mendekati rakyat bawahan sepanjang penggal ini, gagal juga meneruskan perjuangan dengan konsisten mengatasi masalah dengan Suruhanjaya Pilihan Raya. Maka itu setiap kali hampir pilihanraya umum kita akan mendengar berulangkali tentang pendaftar pemilih, persempadanan dan sebagainya. Dan kali ini Mahathir yang dua puluh tahun menjadi Perdana Menteri pula merungut isu ini. Tentang Najib yang hampir kalah di Pekan pada 1999 tetapi jumlah pengundi tiba-tiba mendadak naik penggal depan sehingga Najib memang semula. Pilihanraya itu tahun 1999 ketika Mahathir di kerusi Perdana Menteri yang kita ingat beratus ribu orang 'pengundi kali pertama' tidak dapat didaftarkan. Golongan anti Mahathir dalam Pakatan Harapan tidak lupa hal ini. Sementara itu, Pakatan Harapan pastinya sudah cukup mengkaji dan menilai betapa relevannya sosok Mahathir dan Anwar pada hari ini terutamanya kepada anak muda yang mengundi untuk kali pertama bukan?

Barisan Nasional selaku musuh utama Pakatan Harapan dalam siri kempen pilihanraya mereka nanti, kerja menjadi lebih mudah di media yang dikawal sepenuhnya oleh mereka. Cukup dengan memutarkan kembali rakaman video ucapan dan ceramah lama pembangkang yang menghentam salahlaku Mahathir dengan menekankan maksud kestabilan. Juga memutarkan kembali rakaman ucapan Mahathir pula terhadap pembangkang. Gedegang!

Musuh baru Pakatan Harapan ini iaitu  mereka yang 'anti Barisan Nasional dan anti Mahathir dalam Pakatan Harapan' tidak boleh dipandang remeh. Sekali lagi diulang, mereka ini anti Barisan Nasional dan anti Mahathir dalam Pakatan Harapan! Mengabaikan mereka, mengutuk mereka seperti selalu mengutuk 'orang kampung yang dapat kain batik terus undi kerajaan' tak menyelesaikan masalah malah semakin memburukkan keadaan. Amat bangang, dangkal dan senteng jika menggunakan hujah 'menentang Pakatan Harapan bermakna menyokong Najib'. Bangang yang tidak boleh diubati jika keluar kenyataan tersebut dari mulut mereka yang mengaku bakal pemimpin negara. Bukan jawapan sebangang itu untuk mengelak dari masalah. Jalan penyelesaian dengan musuh baru ini perlu dicari. Bukan dengan berkata, "Sikap kamu ini telah memberikan peluru kepada Barisan Nasional. Perbuatan kamu ini merosakkan rancangan kita kerana musuh sebenar kita ialah Barisan Nasional." Siapa kamu yang pandai-pandai hendak menentukan musuh sebenar 'kita'? Titik persamaan perlu dicari tetapi bagi musuh baru Pakatan Harapan ini tiada kompromi dengan bekas diktator. Jika tidak, jangan mimpi kerajaan Barisan Nasional dapat ditumbangkan.  Melainkan beberapa politikus Pakatan Harapan ini memang tahu sebenarnya mustahil untuk menumbangkan kerajaan yang ada sekarang tetapi sebenarnya 'aku yang teringin sangat nak jadi YB' tapi menjual ilusi dengan memainkan sentimen mempergunakan rakyat untuk mencapai cita-cita peribadi.

Pertarungan pilihanraya umum akan datang pasti akan menjadi 'lain' andai sebelum ini ketika Mahathir yang sedang mengkritik keras pemerintahan Najib mengajak pembangkang bergabung dan pembangkang menjawab, "Kami memang lawan Najib tetapi kami tidak mahu bergabung dengan kamu sebaliknya kamu adalah orang pertama akan kami heret ke muka pengadilan jika kami memerintah nanti". Pasti lain! Tetapi episod semakin panjang. Plot sudah berubah, musuh telah bertambah, sokongan agak goyah dan laluan pula payah! Punggah!


One Response

  1. Anonymous says:

    Puak2 pembangkang ni dah termalu giller kerana dulu maki hamun madey tetapi sikalang terpaksa memuja dan menjilat madey pulak, harubiru betui kan3, kah3

Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Sebarang maklumat yang hendak diberikan boleh email kepada pbpejuangbangsa@gmail.com
Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.

Followers

Created by Generasi Pejuang Bangsa. Powered by Blogger.
© GENERASI PEJUANG BANGSA. Converted by Smashing Blogger for LiteThemes.com.