Pasukan Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BN) dalam satu kenyataan berkata, rakyat negeri itu perlu diberi jaminan bahawa percaturan kerajaan negeri berkenaan adalah berbaloi dan tidak meletakkan negeri tersebut pada risiko yang akan ditanggung oleh generasi akan datang.
Katanya, percaturan itu melibatkan peningkatan 500 peratus perbelanjaan pentadbiran negeri sejak tahun 2008, penyusutan jumlah tanah dan aset negeri serta pengurangan rizab Pulau Pinang sebanyak RM1.5 bilion melalui pinjaman kepada syarikat kemajuan utama Pulau Pinang, Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC).

“Maklumat itu perlu mencakupi kerangka terperinci perkongsian, perolehan dan unjuran kos bagi projek serta aset masa depan PTMP seperti Transit Aliran Ringan (LRT), setelah mengambil kira kebanyakan pengangkutan awam lazimnya tidak mendatangkan keuntungan.
“Ini jelas menimbulkan kebimbangan berikutan jumlah kepadatan meliputi 700,000 penduduk sahaja di kawasan pulau di mana LRT itu akan beroperasi. BN bimbang pengurusan berhemat kewangan dan aset Pulau Pinang sebelum ini akan binasa dek perbelanjaan dan pinjaman kerajaan DAP secara semberono,” katanya di sini hari ini.
Kerajaan Pulau Pinang baru-baru ini meluluskan rang undang-undang yang memberi kuasa kepada Exco negeri untuk membuat pinjaman berbilion ringgit daripada China sehingga mencetus kebimbangan dalam kalangan rakyat negeri itu.
Bagaimanapun, Ketua Menterinya, Lim Guan Eng sejak itu menegaskan yang mereka hanya akan meminjam sebanyak RM1 bilion daripada Bank Exim China.
Menurut kenyataan itu, kerajaan negeri sebelum ini mendakwa mampu meraih RM1 bilion dengan menjual tanah negeri, sebagai contoh melalui penjualan 16.32 hektar tanah di Bayan Mutiara pada harga RM1.07 bilion pada 2011 dan kira-kira RM1 bilion lagi bagi penjualan tanah negeri seluas 75.2 hektar kepada Eco World.
Walau bagaimanapun, katanya, Exco Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dilaporkan sebagai berkata, tidak banyak lagi tanah negeri yang boleh dijual pada tahun lalu.
“Tindakan Guan Eng mempertahankan penjualan sebidang tanah di Peel Avenue secara runding terus dan tergesa-gesa pada harga RM156 juta dan keputusannya untuk meminjam RM1 bilion daripada Bank Exim China, juga menimbulkan kebimbangan.
“Kebimbangan ini turut dimudaratkan lagi ekoran kenyataan Guan Eng yang rakyat Pulau Pinang seharusnya berbangga kerana kerajaan negeri boleh meminjam daripada China,” katanya.