..

..

4 PEMIMPIN DAP TAK BERANI JAWAB PULAU PINANG MENUJU FAILED STATE

on Friday, June 16, 2017 by Generasi Pejuang Bangsa
 - No Comments




 Kami mengalu-alukan reaksi dari empat pemimpin kanan DAP terhadap kenyataan kami Ahad lalu yang mempersoalkan jika Pulau Pinang kini menuju ke kancah negeri yang gagal atau muflis.

2. Exco Pulau Pinang, YB Chow Kon Yeow hanya memberikan reaksi dengan berkata bahawa untuk menyatakan Pulau Pinang akan gagal, Kerajaan Persekutuan seharusnya membubarkan parlimen dan mengadakan pilihanraya umum secepat mungkin.

Bagaimanapun, kami tidak pasti bagaimana kenyataan itu dapat menjawab persoalan yang kami kemukakan.

3. YAB Lim Guan Eng yang kemudiannya memberi reaksi mendakwa Pulau Pinang hanya mencatatkan pendapatan sebanyak RM657.6 juta dari jualan tanah bagi tempoh 2008 hingga 2015.

4. Reaksi dari YAB Lim menimbulkan lebih banyak soalan apabila ramai yang pasti ingat kenyataan Ketua Menteri itu yang berbangga dengan penjualan tanah kerajaan negeri di Bayan Mutiara dengan harga RM1.07 bilion pada 2011. Atau penjualan tanah kerajaan negeri pada harga RM484 juta di Batu Kawan kepada Aspen Vision pada 2014 dengan berkata penyertaan IKEA bagi menjual perkasasan rumah untuk penduduk Pulau Pinang adalah satu lonjakan ekonomi untuk negeri itu.

5. Timbul juga persoalan di mana pada 16 Disember 2016, YAB Lim turut dilaporkan mengesahkan Perbadanan Kemajuan Pulau Pinang (PDC) berjaya menjual tanah berharga RM1.94 bilion bagi tempoh 2008 hingga 2015. Untuk rekod, DAP mula mengambil alih pentadbiran Pulau Pinang pada 2008.

6. Sebagaimana yang kita fahmi, PDC dimiliki 100 peratus oleh kerajaan Pulau Pinang, justeru ramai yang tertanya-tanya mengapa YAB Lim masih mendakwa Pulau Pinang hanya mencatatkan pendapatan RM657.6 juta sahaja daripada penjualan tanah kerajaan negeri.

7. Kami juga kecewa kerana YAB Lim tidak mempertikaikan persoalan kami bahawa sebanyak RM37 bilion nilai tanah kerajaan negeri, hak  pemilikan tanah dan aset sudah dijual atau diperdagangkan sejak 2008 dan menerima tawaran kami bagi menunjukkan senarai itu kepada beliau sekaligus memberi peluang untuk dipertikaikan beliau.

8. Penasihat DAP, Lim Kit Siang pula memberikan reaksi dengan mendakwa Pulau Pinang tidak akan gagal namun Malaysia bakal menjunam dan gagal, satu tuduhan yang sudah dibuat Kit Siang berulangkali sejak 1960 termasuk melalui bukunya bertajuk ‘Timebombs in Malaysia’ (Bom Jangka Di Malaysia).

9. Rakyat Malaysia sudah menanti selama 50 tahun terhadap tilikan berulangkali Kit Siang kononnya Malaysia akan bankrap.

Bagaimanapun, soalan pokok sekarang ialah jika Malaysia bakal menjadi sebuah Negara gagal dan bankrap, bagaimana agaknya Kerajaan Persekutuan akan memberi jaminan kepada wang berbilion ringgit yang mahu dipinjam YAB Lim Guan Eng untuk Pulau Pinang daripada Bank Exim milik kerajaan China?
10. Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, YB P. Ramasamy turut memberi reaksi dengan mendakwa Pulau Pinang sudah diselamatkan oleh DAP. Sebagai bukti, YB P Ramasamy mendakwa DAP telah mengurangkan hutang kerajaan negeri sebanyak 95 peratus.

11. Bagaimanapun, YB P. Ramasamy secara ketara tidak memberikan penjelasan bahawa Kerajaan Persekutuan pada 2011 telah bersetuju untuk mengubah hutang kerajaan Pulau Pinang sebanyak RM655 juta kepada bayaran ansuran selama 45 tahun dan itu bermakna tiada perbezaan kepada jumlah hutang berkenaan namun membenarkan kerajaan Pulau Pinang untuk bermegah kononnya mengurangkan 95 peratus hutang negeri.

Malah, YAB Lim turut mengeluarkan satu kenyataan media untuk mengucapkan terima kasih kepada YAB Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Abdul Razak dan Kerajaan Persekutuan yang membantu kerajaan negeri itu.

12. Kami kecewa kerana disebalik empat pemimpin  kanan DAP memberikan reaksi sarat dengan retorik dan lencongan daripada persoalan diajukan kami, tiada sesiapapun yang menjawab soalan-soalan kami. Kami ulangi persoalan itu secara ringkas di bawah:

a) Adakah benar Kerajaan Pulau Pinang telah menjual atau memperdagangkan sekurang-kurangnya RM37 bilion nilai tanah, hak pemilikan tanah dan aset sejak DAP mengambil-alih pada 2008?

b) Adakah benar tidak banyak lagi tanah yang tinggal untuk dijual sebagaimana dinyatakan Exco Pulau Pinang, YB Chow Kon Yeow tahun lalu?

c) Adakah benar bahawa kos bagi projek Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PMTP) telah meningkat harganya dari RM27 bilion kepada RM46 bilion pada tahun sebelum ini sebagaimana dinyatakan YB Chow Kon Yeow?

d) Adakah benar Kerajaan Pulau Pinang akan mengambil langkah membuat pinjaman bagi menampung jurang berjumlah RM19 bilion sebagaimana dinyatakan YB Chow melalui temuramahnya dengan The Edge pada Julai tahun lalu?

e) Adakah Kerajaan Pulau Pinang baru-baru ini telah memindahkan dana sebanyak RM609 juta dari rizab kerajaan negeri dan diberikan sebagai pinjaman kecemasan kepada PDC, di mana agensi milik kerajaan Pulau Pinang itu mencatatkan penyusutan keuntungan sebanyak 80 peratus pada tahun sebelum ini dan sebanyak RM30 juta diberikan kepada Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBA)?

Kesemua soalan ini adalah bersangkut paut kepada masa depan Pulau Pinang dan penduduknya, terutama pada ketika pengesahan dibuat oleh Kerajaan Pulau Pinang bahawa perbelanjaan kerajaan negeri telah melonjak naik sebanyak 500 peratus sejak DAP mentadbir negeri itu pada 2008.

Unit Komunikasi Strategik Barisan Nasional (BNSC)
Putrajaya
13 Jun 2017


Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Sebarang maklumat yang hendak diberikan boleh email kepada pbpejuangbangsa@gmail.com
Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.

Followers

Created by Generasi Pejuang Bangsa. Powered by Blogger.
© GENERASI PEJUANG BANGSA. Converted by Smashing Blogger for LiteThemes.com.