..

..

SAMI'NA WA ' ATO'NA PRINSIP PERLU DIHAYATI AHLI UMNO - @Zahid_Hamidi #UMNO71

on Thursday, May 11, 2017 by Generasi Pejuang Bangsa
 - No Comments




Setiap ahli parti wajar menghayati pesanan pemimpin-pemimpin terdahulu, iaitu ‘sami’na wa ‘ato’na’ yang juga menjadi pegangan dan amalannya sejak dahulu lagi, ujar Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Menurutnya, terdapat dua prinsip yang beliau pegang hingga kini berdasarkan kepada pesanan tersebut.

 “Kita harus bekerja kuat untuk kestabilan parti, ertinya ketaatsetiaan kita kepada institusi kepimpinan jangan berbelah bagi, dan kita juga mesti bekerja keras memberikan keutamaan kepada kepentingan parti dan negara daripada kepentingan diri sendiri. Itu prinsip pertama.

 “Prinsip yang kedua, jangan lupakan prinsip yang pertama. Ertinya hanya ada satu prinsip sahaja dan pesanan ini apabila saya berada di kampus, saya ikuti dengan baik, apabila saya mula bergerak di akar umbi saya dapati pesanan itu masih digunakan. “Bila saya berada di peringkat zaman kepemudaan, itulah yang sering dilontarkan dan kini tentunya lontaran, pandangan iaitu wala’ dan taat itu masih digunakan sama ada kita berwasatiyah atau bermoderasi, ianya masih didambakan,” ujarnya di dalam satu dialog khas sempena sambutan ulang tahun UMNO ke-71, di sini, hari ini. Sambutan Ulang Tahun UMNO Ke-71 yang bertemakan ‘Tujuh Dekad Memperjuang Bangsa’ diadakan di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur bermula pada hari ini dengan pelbagai acara seperti karnival Wow, karnival kerjaya dan ceramah agama. Manakala acara kemuncaknya pada 11 Mei dengan kehadiran dijangka melebihi dua ratus ribu orang.

 Tambah Timbalan Perdana Menteri itu lagi, ketaatsetiaan bukan bermaksud secara membuta tuli atau ketaatsetiaan yang tidak boleh berbeza pendapat, tetapi ianya mestilah diamalkan dengan cara hikmah dan hasanah. “Ada ‘wisdom’ (kebijaksanaan), mesti ada tatacara, ada ketertiban malah jika seseorang itu berada di atas persada kepimpinan, orang itu juga tidak suka jika orang yang memberikan percanggahan pendapat itu menyampaikan dengan pendekatan yang tidak mengikut prinsip tasauf atau akhlak, mesti ada adab-adab di dalam menangani perbezaan pendapat.


 “Jadi ertinya, mana-mana institusi kepimpinan masih menghargai ketaatsetiaan,” katanya. Dalam pada masa yang sama, beliau itu juga mengingatkan agar jangan ada pihak yang cuba mengambil kesempatan atas keterbukaan Perdana Menteri. “Ertinya, kita diizinkan untuk berbeza pendapat tetapi tidak semestinya perbezaan pendapat ini kita tidak boleh bersatu untuk bersetuju dan untuk tidak bersetuju, jadi dalam perkara ini saya fikir keterbukaan Yang Amat Berhormat Datuk Seri Najib.

 “Jangan diambil kesempatan apabila beliau seorang ‘good listener’, seorang pendengar yang baik, seorang yang terbuka hati dan fikiran terhadap kritikan-kritikan kepada kerajaan dianggap sebagai satu kelemahan.

 “Dan saya tidak fikir apa yang dilakukan oleh Yang Amat Berhormat Datuk Seri Najib boleh dikesampingkan kerana beliau adalah seorang yang mendengar kritikan, dan tidak memenjarakan seorang pun yang mengkritik beliau berbanding dengan ada pemimpin yang memenjarakan, termasuk diri saya apabila saya mengkritik pemimpin itu,” ujarnya.

 Mengulas lanjut mengenai sambutan ulang tahun UMNO ke-71 ini, beliau yang kini menjalankan tugas sebagai Timbalan Presiden parti berharap agar semua ahli bersama-sama kembalikan ruh sebenar perjuangan UMNO.

“Sebarang kelemahan-kelemahan yang kita pernah lalui dulu, sama-sama kita bina untuk perkukuhkan ruh perjuangan kita.

 “Jika ada perbedaan pendapat, perbalahan di kalangan kita, terutama kepada perkara-perkara yang furu’ (cabang), kita ketepikan buat sementara waktu,” tegasnya. Beliau juga berazam untuk bersama-sama dengan presiden parti bagi memperkukuhkan saf kepimpinan UMNO di semua peringkat demi kemenangan parti di dalam pilihan raya umum (PRU) ke-14 nanti.

 “Cukuplah dua pukulan di dalam dua pilihan raya yang terdahulu, kedua belas dan ketiga belas untuk mengajar kita bangkit dari lena kita, kita terlalu selesa dengan pencapaian terbaik di dalam pru yang kesebelas.. yang belum dipecahkan rekodnya. “Dan insyaAllah itu (keputusan PRU11) adalah merupakan satu penanda aras, yang kita perlu bekerja ke arah mencapai seperti itu, tidak mustahil jika kita bekerja keras,” katanya. – Media UMNO.





Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Sebarang maklumat yang hendak diberikan boleh email kepada pbpejuangbangsa@gmail.com
Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.

Followers

Created by Generasi Pejuang Bangsa. Powered by Blogger.
© GENERASI PEJUANG BANGSA. Converted by Smashing Blogger for LiteThemes.com.