..

..

4 KEBAIKAN KEPADA MALAYSIA SELEPAS LAWATAN RAJA SALMAN

on Friday, March 3, 2017 by Generasi Pejuang Bangsa
 - No Comments


Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan lawatan Raja Arab Saudi, Raja Salman Abdulaziz Al-Saud ke Malaysia baru-baru ini merupakan kejayaan bagi kedua-dua negara serta memberi manfaat kepada rakyat dalam empat perkara utama.

 Perdana Menteri berkata, empat perkara itu adalah pemberian biasiswa untuk rakyat negara ini, penambahan kuota haji serta dua pusat jemaah haji Malaysia di Mekah dan Madinah, aspek pekerjaan dan pelaburan serta membuka pelbagai jenis peluang untuk perniagaan dan usahawan Malaysia di Arab Saudi. Beliau turut menyatakan komitmennya selama ini untuk membantu lebih ramai umat Islam di negara ini beroleh peluang mengerjakan haji memandangkan sebahagian mereka terpaksa menunggu giliran sehingga 40 tahun untuk menunaikan Rukun Islam kelima itu.

 “Alhamdulillah, berkenaan permohonan saya untuk mening­katkan kuota haji, Raja Salman telah memberikan maklum balas positif dan akan memberi pertimbangan secara mendalam, selain permohonan untuk membina dua pusat jemaah haji iaitu satu di Mekah berdekatan Masjidilharam dan satu lagi di Masjid Nabawi di Madinah,” katanya dalam kenyata­an menerusi laman ­Najib­Razak.com hari ini.

 Raja Salman yang juga Penjaga Dua Masjid Suci melakukan lawatan sulung ke Malaysia atas jemputan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V selama empat hari bermula 26 Februari lalu dengan mengadakan mesyuarat dua hala bersama Najib berkaitan hubungan diplomatik dan ekonomi serta dianugerahkan dua Ijazah Kehormat Doktor Falsafah dari Universiti Malaya (UM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

 Najib memberitahu, selain itu, kesediaan kerajaan Arab Saudi menambah jumlah biasiswa untuk pelajar Malaysia sehingga tiga kali ganda berbanding hanya 100 orang sebelum ini membuka peluang kepada lebih ramai boleh melanjutkan pelajaran ke universiti-­universiti terkemuka di negara berkenaan. Perdana Menteri menambah, komitmen pelaburan dari Saudi Aramco berjumlah RM31.08 bi­lion dalam Projek Pembangunan Loji Bersepadu Penapisan Mi­nyak dan Petroki­mia (RAPID) di Pengerang, Johor akan mewujudkan banyak peluang kepada rakyat seperti pekerjaan di sam­ping pembangunan dalam industri sokongan seperti runcit, kewangan, pembinaan dan per­khidmatan. 

Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, pelaburan besar itu telah memberikan perubahan dalam hubungan kedua-dua negara yang sebelum ini hanya berkisar kepada isu berkaitan ibadah umrah dan haji, sekali gus berupaya meningkatkan nilai perdagangan dua berbanding seba­nyak RM13.99 bilion tahun lalu.

 “Selain itu, terdapat banyak peluang di Arab Saudi bagi industri dan usahawan kita. Sebagai contoh, salah satu sasaran utama negara itu adalah meningkatkan jangka hayat daripada 74 hingga ke 80 tahun. Ini akan membuka peluang kepada industri kesihatan terutamanya perkhidmatan penjagaan penduduk warga emas,” jelasnya.

 Dalam pada itu, Perdana Menteri menyelar tuduhan liar pihak tertentu yang menyebarkan berita negatif berhubung kedudukan ekonomi negara dengan mendakwa negara akan muflis dan kerajaan dikatakan akan menjual negara kepada pihak luar melalui pelaburan asing. Sebaliknya beliau memberitahu, pelaburan asing telah mewujudkan pekerjaan buat rakyat dan pada masa sama mengekalkan pemilikan dan kedaulatan negara sepenuhnya.

 “Kita kini menyasarkan untuk meningkat naik dalam nilai ran­taian, termasuk pekerjaan berpendapatan tinggi seperti arkitek, jurutera, akauntan, ahli kimia dan banyak lagi. Pelaburan sebegini daripada luar negara adalah tanda keyakinan yang tinggi terhadap ekonomi kita,” katanya.


Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Sebarang maklumat yang hendak diberikan boleh email kepada pbpejuangbangsa@gmail.com
Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.

Followers

Created by Generasi Pejuang Bangsa. Powered by Blogger.
© GENERASI PEJUANG BANGSA. Converted by Smashing Blogger for LiteThemes.com.