..

..

TUDUHAN DUTA KOREA UTARA SATU PENGHINAAN TERHADAP MALAYSIA - WISMA PUTRA

on Tuesday, February 21, 2017 by Generasi Pejuang Bangsa
 - No Comments




JAWAPAN DARIPADA _YB DATO' SRI ANIFAH HAJI AMAN_ (MENTERI LUAR NEGERI) KEPADA KENYATAAN AKHBAR OLEH TYT DUTA BESAR REPUBLIK DEMOKRATIK RAKYAT KOREA KE MALAYSIA BERKAITAN DENGAN KEMATIAN SEORANG RAKYAT REPUBLIK DEMOKRATIK RAKYAT KOREA DI MALAYSIA*

*1.*Pada 20 Februari 2017, Duta Besar Republik Demokratik Rakyat Korea ke Malaysia telah mengedarkan satu kenyataan akhbar. Kenyataan akhbar tersebut mengandungi beberapa tuduhan terhadap siasatan kematian seorang warganegara negara tersebut yang berlaku pada 13 Februari 2017.

*2.*Tuduhan-tuduhan tersebut, yang bersandarkan khayalan, pembohongan dan perkara yang hanya separuh benar, telah menjadi asas kepada kesimpulan Duta Besar tersebut bahawa “penyiasatan tersebut didalangi oleh pihak yang berada di sebalik tabir” dan “penyiasatan yang dikendalikan bukan bertujuan untuk mendapat tahu punca kematian dan untuk mencari saspek, tetapi bermotifkan politik”.

*3.*Apabila Duta Besar dipanggil (summoned) oleh Kementerian Luar Negeri, Timbalan Ketua Setiausaha bagi Hal-Ehwal Duahala telah menekankan bahawa penyiasatan tersebut telah dijalankan tanpa memihak kepada sesiapa. Ia juga telah dijalankan mengikut undang-undang serta peraturan-peraturan Malaysia.

*4.*Apa jua tohmahan yang dibuat yang menyangkal hakikat ini, ataupun apajua tohmahan bahawa Malaysia bersekongkol dengan mana-mana negara asing merupakan penghinaan yang amat besar terhadap Malaysia.

*5.*Penyiasatan polis tersebut adalah berdasarkan kesemua petunjuk (leads) yang ada. Petunjuk-petunjuk ini akan disiasat sepenuhnya. Petunjuk-petunjuk tersebut mungkin melangkau, dan di dalam sesetengah kes, tidak ada hubungkaitnya dengan maklumat yang diberi pihak kedutaan mahupun entiti-entiti lain.

*6.*Di mana-manapun negara yang bertamadun, adalah menjadi amalan bahawa kes sedemikian rupa akan disiasat secara sekomprehensif mungkin. Adalah menjadi tanggungjawab kerajaan untuk berbuat demikian. Pihak awam juga akan menuntut perkara yang sama. Oleh yang demikian, maklumat kepada umum telah diberi apabila perlu.

*7.*Adalah juga menjadi kelaziman bagi pihak kedutaan untuk bekerjasama sepenuhnya dengan kerajaan negara hos untuk memastikan bahawa penyiasatan yang dijalankan adalah serapi mungkin, dan bukannya untuk menimbulkan syak-wasangka terhadap penyiasatan tersebut.

*Menteri Luar Negeri*
*_PUTRAJAYA_*
_20hb Februari 2017_


Leave a Reply

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...
Sebarang maklumat yang hendak diberikan boleh email kepada pbpejuangbangsa@gmail.com
Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.

Followers

Created by Generasi Pejuang Bangsa. Powered by Blogger.
© GENERASI PEJUANG BANGSA. Converted by Smashing Blogger for LiteThemes.com.