Khairy berkata, beliau memandang serius perkara tersebut dan perjumpaan dengan pemilik JDT itu akan diadakan dalam masa terdekat.

Beliau berkata, perjumpaan dengan Tunku Ismail yang juga Tunku Mahkota Johor (TMJ) itu adalah penting bagi mengetahui punca sebenar empat pemain berkenaan mengambil keputusan sedemikian dalam tempoh kira-kira 48 jam.

"Jangan kita terlalu cepat menghukum mana-mana pihak dalam kes ini sebab saya tengok dalam media sosial banyak komen negatif terhadap keputusan pemain berkenaan serta FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia).

"Tugas saya adalah mencari penyelesaian kepada isu yang dibangkitkan TMJ untuk kita atasi dan sekiranya dapat diatasi, kita boleh memilih pemain terbaik bagi menghadapi Piala AFF (Persekutuan Bola Sepak ASEAN) nanti," katanya.

Khairy berkata, demikian ketika ditemui pemberita pada Rumah Terbuka Hari Raya Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) di Pusat Kecemerlangan Sukan Paralimpik di Kampung Pandan, di sini, hari ini.

Turut hadir, bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi, isterinya yang juga penaung MPM Tun Jeanne Abdullah, isteri, Khairy Nori Abdullah dan barisan kepimpinan MPM.

Pemain sayap, S Kunanlan dan Mohd Amirulhadi Zainal hari ini mengumumkan keputusan untuk bersara daripada mewakili skuad kebangsaan menerusi kenyataan dalam laman Facebook rasmi JDT; The Southern Tigers.

Tindakan itu hadir dua hari selepas Safiq Rahim yang juga kapten skuad kebangsaan dan pemain pertahanan Aidil Zafuan Abdul Radzak turut mengambil keputusan bersara daripada skuad kebangsaan kerana dikatakan mahu memberi peluang kepada pemain muda.

Khairy berharap pertemuan dengan TMJ membolehkannya melihat secara mendalam mengenai dakwaan Tunku Ismail bahawa pemain JDT mengalami kecederaan sekembalinya daripada mewakili skuad kebangsaan selain mendakwa tempoh latihan yang singkat mendorong kepada kecederaan tersebut.

"Kalau itu adalah pandangan TMJ, maka perlu kita buat perubahan kepada sesi latihan untuk skuad kebangsaan tapi beri masa kepada saya untuk buat kajian dengan lebih mendalam bagi mencari apa sebenarnya yang menjadi masalah," katanya.-


*** Satu tindakan yang bijak dibuat YB KJ dalam menyelesaikan  kemelut pemain JDT bersara dari skuad kebangsaan .