Sebagai contoh, moral bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad sendiri wajar dipersoal kerana beliau menyokong dan pernah terlibat dengan siri perhimpunan haram Bersih walaupun sumber kewangannya dikatakan disalurkan oleh George Soros.


Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ketika menjadi Perdana Menteri, Soros merupakan individu paling dibenci Dr. Mahathir sehingga beliau menggelar hartawan Amerika Syarikat itu sebagai penyangak mata wang.


Malah kata beliau, Dr. Mahathir turut ‘mendidik’ rakyat Malaysia supaya membenci Soros kerana cuba menjatuhkan beberapa negara, termasuk kerajaan Malaysia ketika itu.
“Hari ni Soros, kalau benar, dikatakan memberi bantuan kewangan kepada Bersih manakala Dr. Mahathir pula bersama Bersih berarak di atas jalan raya mengatakan inilah cara terbaik menumbangkan kerajaan.

“Dari segi moral, bagaimana kita boleh membuka negara kita kepada Soros? Dr. Mahathir mengajar kita Soros itu adalah orang paling tidak baik. Sekarang Soros beri sumbangan kepada Bersih dan Dr. Mahathir pula boleh sokong Bersih,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menghadiri Majlis Pemimpin Bersama Rakyat dan Pelancaran Jentera PRU-14 Parlimen Rantau Panjang yang turut dihadiri Ketua UMNO Bahagian Rantau Panjang, Datuk Abdullah Mat Yassin di Kampung Kubang Kuau di sini hari ini.

Perdana Menteri hari ini dilaporkan menyelar pihak yang menyebarkan cerita kononnya Malaysia sedang dijual menerusi pelbagai perjanjian perniagaan bernilai lebih RM140 bilion dengan China semasa lawatan seminggu beliau ke negara itu.

Ismail Sabri dalam pada itu berkata, pembangkang kini ke­tandusan idea apabila membuat tuduhan seumpama itu memandangkan pelaburan asing yang masuk ke negara ini sudah lama berlaku termasuk dari Amerika Syarikat dan Britain.