Menurut Naib Presidennya, Datuk Huan Cheng Guan, keada­an itu sudah berlanjutan sejak tahun lalu meskipun aduan sudah dibuat penghuni pangsapuri berkenaan yang kurang selesa dengan perkara tersebut.

Sehubungan itu, beliau mendesak Kerajaan DAP Pulau Pinang menjelaskan bagaimana rumah kos rendah tersebut yang sepatutnya ditawarkan kepada golongan miskin boleh dijadikan inap desa oleh pemiliknya yang sudah tentu merupakan golongan berkemampuan.

“Sebelum ini, pendedahan kita mengenai terdapat unit rumah kos rendah ini dibeli golongan kaya pun masih belum mendapat tindakan kerajaan negeri.

“Sekarang rumah ini turut dijadikan inap desa sekali gus me­nunjukkan pembelinya tidak berminat untuk tinggal di situ yang dikhususkan kepada orang miskin. Jadi apa penjelasan kerajaan negeri berhubung perkara ini?,” katanya.

Beliau ditemui pemberita di luar bangunan Dewan Unda­ngan Negeri (DUN) di sini hari ini selepas menyerahkan memorandum berkenaan perkara itu kepada Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo yang diterima pegawainya, Fakhurrazi Ibnu Omar.



Sebelum ini, PCM mempertikai ketelusan Kerajaan DAP Pulau Pinang dalam memilih pembeli unit pangsapuri berkenaan yang dikhususkan kepada golongan miskin selepas didakwa turut dibeli golongan kaya.

Malah, PCM turut melahirkan rasa hairan selepas unit pangsapuri itu diiklankan untuk disewa serta dijual sedangkan mengikut syarat pemiliknya yang merupakan golongan miskin perlu mendiami rumah berkenaan.

Sementara itu, penghuni pangsapuri itu, K. L. Soh, 50, berkata, dia berasa terganggu selepas unit bersebelahan rumahnya di tingkat enam pangsapuri berkenaan dijadikan inap desa oleh pemiliknya.

Menurutnya, sebagai golongan orang kurang upaya (OKU), dia bimbang dengan keselamatannya serta keluarga selepas unit yang dijadikan inap desa tersebut di­sewakan kepada orang asing.

“Mereka yang menyewa inap desa itu pula bebas berbuat sesuka hati termasuk bising ketika tengah malam dan tidak mengurus sampah-sarap dengan baik sehingga menganggu jiran lain,” katanya.

Menurutnya, dia dan beberapa jiran lain sudah membuat beberapa aduan kepada pihak pe­ngurusan dan Kerajaan DAP Pulau Pinang sejak tahun lalu, namun sehingga kini pemilik berkenaan masih bebas mengiklan unit itu untuk disewa menerusi internet.