Pengerusi Jawatankuasa Mig­ran, Pelarian dan Imigresen, Datuk Seri M. Ramachelvam memberitahu, wang tersebut telah digunakan secara eksklusif untuk kajian penyelidikan termasuk mengenai pekerja asing di Malaysia serta bayaran bagi penyelidik, rundingan dengan pihak berkepentingan dan per­be­lanjaan di luar jangkaan.

“Walau bagaimanapun, geran itu tidak digunakan oleh Majlis Peguam untuk pelaksanaan operasi atau perbelanjaan pentadbiran,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.

Sebuah dokumen mengenai rancangan campur tangan asing terhadap sistem demokrasi Malaysia yang didedahkan oleh laman web DC Leaks mendakwa Soros berminat mencampuri uru­san pilihan raya negara.

Dokumen tersebut turut menyebut usaha OSF mencampuri urusan politik negara bermula pada 2010, selepas Datuk Seri Najib Tun Razak memulakan tugas sebagai Perdana Menteri.
Antara yang disenaraikan menerima dana melalui OSF adalah Majlis Peguam dan Penang Institute.

Dalam pada itu, portal berita propembangkang, Malaysiakini da­lam laporan bertajuk Zahid: Siasat dakwaan Soros biaya Bersih, Merdeka Center dan Mkini yang disiarkan hari ini, turut mengaku menerima geran daripada Open Society Institute (OSI),
OSI yang ditubuhkan pada 1993 telah ditukarkan nama menjadi OSF pada 2010.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, C. Premesh berkata, dana tersebut digunakan untuk menghasilkan program realiti Sarawak dan Sekilas Bumi Kenyalang yang disiarkan melalui KiniTV.

“Dana yang disebut itu digunakan bagi KiniTV bagi menghasilkan lebih banyak buletin dan berita berkaitan Sarawak. Ini kerana Malaysiakini menghadapi kesukaran untuk membuat liputan di kawasan yang besar kerana melibatkan kos yang tinggi,” katanya.
Walau bagaimanapun beliau memberitahu, dana itu hanya se­bahagian kecil sumber kewa­ngannya kerana sebahagian besar pendapatan portal itu bergantung kepada langganan iklan.

“Bagi memastikan ketidakbergantungan kepada satu sumber da­na sahaja, kesemua bantuan di­te­tapkan di bawah 10 peratus daripada bajet keseluruhan,” ujarnya.

Selain OSI, beliau memberitahu, Malaysiakini juga menerima geran daripada Canadian International Development Agency (CIDA), Kedutaan Belanda di Malaysia dan International Center for Journalists (ICFJ).

Sementara itu, usaha Utusan Malaysia untuk mendapatkan komen daripada Ketua Pegawai Eksekutif Penang Institute, Dr. Lim Kim Hwa gagal kerana beliau enggan memberi sebarang kenya­taan mengenai isu itu.