Ketuanya, Datuk Ismail Kijo berkata, bagaimana dalam usia yang begitu muda iaitu 28 tahun, Adam mampu memiliki sebuah banglo mewah di Ampang yang dianggarkan bernilai antara RM3 juta dan RM4 juta sedangkan sebelum terlibat dalam kancah politik pernah menetap di kawasan setinggan Kampung Pinggir Lembah Jaya.

Tegasnya, berdasarkan laporan portal Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin, Adam bukan sahaja memiliki banglo mewah berkenaan tetapi turut mempunyai beberapa buah rumah di tempat lain.

Katanya, UMNO Ampang juga mempersoal sama ada Adam yang merupakan Pembantu Khas kepada Zuraida itu membayar cukai dan menggesa Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) melakukan siasatan berhubung perkara tersebut.

“Kita tak kisah dia kaya dan apa yang dia nak beli, tetapi macam mana tiba-tiba boleh menjadi kaya sehingga mampu membuat rumah besar. Dari mana datangnya duit? Kita buat laporan kepada SPRM hari ini dan minta siasat dari mana dia mendapat wang,” katanya ketika ditemui di hadapan rumah Adam di Ampang dekat sini hari ini.



Sebelum itu, Pengerusi Gabu­ngan NGO Malaysia, Datuk Seri Jamal Md. Yunos membawa enam anggota media menaiki helikopter bagi melihat rumah banglo mewah Adam dari udara kira-kira 30 minit.

Jamal turut mendesak Adam untuk tampil memberi penjelas­an berhubung perkara tersebut.

Katanya, jika Adam gagal berbuat demikian satu laporan polis akan dibuat berhubung kekayaan luar biasa Ketua AMK tersebut.

Sementara itu, Adam menerusi mesej yang dihantar melalui aplikasi WhatsApp kepada Utusan Malaysia memberitahu, beliau akan mengadakan sidang akhbar khas dalam masa terdekat bagi menjelaskan perkara tersebut.