Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Zainal Abidin Osman berkata, hasrat PFP mahu bertanding di kesemua kawasan dewan undangan negeri (DUN) negeri ini termasuk menentang calon BN sendiri jelas bertentangan dengan konsep sebuah parti yang mesra BN.
Malah, beliau turut mendakwa penubuhan PFP dan pelantikan Ahli Parlimen Padang Besar, Datuk Zahidi Zainul Abidin tidak pernah dirujuk kepada mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO atau Badan Perhubungan UMNO negeri.
“Zahidi sama se­ka­li tidak mewakili UMNO, malah tiada persetujuan diberikan UMNO untuk beliau dilantik sebagai Penasihat PFP.
“Ekoran itu, kita kesal dan ke­cewa dengan tindakan Zahidi yang seolah-olah membenarkan diri beliau dipergunakan oleh PFP yang mampu menggugat kerjasama dan persefahaman antara parti-parti komponen BN yang sekian lama terjalin di negeri ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Beliau mengulas mengenai penubuhan PFP yang diumumkan minggu lalu yang mendakwa mahu menjadi parti alternatif kepada penduduk negeri ini seterusnya menentang kerajaan DAP Pulau Pinang dalam pilihan raya umum akan datang.
Dalam pada itu, Zainal Abidin turut menyifatkan persetujuan Zahidi menjadi Penasihat kepada PFP yang bercadang mewujudkan sebuah kasino di negeri ini adalah tindakan yang tidak wajar dan tidak beretika bagi seorang Ahli Parlimen UMNO.
Menurut beliau, Zahidi sepatutnya lebih peka dengan kea­daan dan sensitiviti umat Islam khususnya dan rakyat penduduk negeri ini amnya berhubung cadangan tersebut.
“UMNO negeri tetap dan tegas dengan pendirian menolak sekeras-kerasnya cadangan untuk mewujudkan kasino di negeri ini dan cadangan PFP itu tidak ada kena-mengena dengan UMNO,” katanya.