Pendirian muktamad Pas se­perti yang dinyatakan oleh Ketua Penerangannya, Nasrudin Hassan dalam kenyataan hari ini sekali gus meranapkan harapan pakatan pembangkang untuk menarik sokongan orang Melayu dan Islam terhadap perhimpunan berkenaan.
Terdahulu, Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan pada 2 Oktober lalu berkata, parti itu memutuskan tidak me­nyertai Bersih 5.0 yang dilihat mempunyai matlamat yang tidak selari dengan Pas.
Nasrudin menegaskan semula pendirian Pas tersebut sehari selepas Setiausaha Agung DAP yang belum di­sahkan jawatan, Lim Guan Eng se­olah-olah merayu kepada bekas sekutunya dalam pakatan pembangkang itu untuk menyertai Bersih 5.0.
Pas sebelum ini enggan menyertai Bersih 4.0 yang diadakan pada 29 dan 30 Ogos tahun lalu lantas mengakibatkan jumlah peserta perhimpunan ber­kenaan dalam kalangan orang Melayu merosot dengan mendadak.
Perhimpunan Bersih 4.0 yang penuh dengan perbuatan biadab menghina pemimpin-pemimpin Melayu dan Islam serta mengotorkan ibu negara itu lebih banyak disertai kaum Cina serta penyokong DAP.
Senario berbeza berlaku semasa penganjuran Bersih 1.0, 2.0 dan 3.0 di mana dapat di­lihat lebih ramai ‘muka Melayu’ yang rata-ratanya ahli atau penyokong Pas.
Kegagalan menarik penyer­taan Pas kali ini juga akan menyebabkan Bersih 5.0 yang sememangnya tidak mendapat sokongan majoriti rakyat menjadi satu perhimpunan ‘syok sendiri’.
Sikap Pas itu juga boleh ditafsirkan sebagai tanda parti tersebut tidak mahu lagi diperalatkan untuk kepentingan pakatan pembangkang yang dianggotai DAP, PKR dan PAN.
Pas kini sedar bahawa sebarang bentuk kerjasama dengan DAP hanya merugikan parti itu sendiri justeru mereka tidak akan mengulangi kesilapan serupa dengan menyertai Bersih 5.0