Perkara itu berikutan Guan Eng didakwa gagal menguruskan ekonomi Pulau Pinang dengan lebih berkesan sehingga meletakkan Pulau Mutiara itu pada kedudukan paling bawah antara semua negeri berdasarkan pengi­raan kadar pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) per kapita di Pulau Pinang pada 2007 ketika di bawah pemerintahan Barisan Nasional (BN) dan tahun lalu.
Setiausaha Agung Gerakan, Datuk Liang Teck Meng berkata, walaupun KDNK per kapita Pulau Pinang pada tahun lalu menyumbang sebanyak RM44,847 berbanding RM31,039 pada 2007, kadar pertumbuhan bagi dua tahun itu hanya mencatat peningkatan sebanyak 44.5 peratus, iaitu paling rendah daripada semua negeri jika dibuat perbandingan.
“Meskipun, KDNK per kapita Kelantan pada tahun lalu menyumbang pendapatan paling rendah iaitu sebanyak RM12,075 berbanding RM6,943 pada 2007, namun kadar pertumbuhan ekonomi negeri itu dilaporkan 73.9 peratus, jauh lebih tinggi daripada Pulau Pinang yang ha­nya mencatat 44.5 peratus bagi tahun 2007 dan 2015.
“Ini adalah perkara serius dan beliau (Guan Eng) dilihat tidak melaksanakan tugas Ketua Menteri dengan baik, khusus­nya dalam bidang pengurusan ekonomi negeri itu,” katanya dalam sidang akhbar di Menara PGRM, di sini hari ini.
Jelas Teck Meng, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua yang juga seorang pakar ekonomi, disaran memberi cadangan kepada Guan Eng berhubung perkara itu.
Dalam pada itu beliau berkata, statistik Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) juga menunjukkan prestasi pelaburan di Pulau Pinang semakin merosot sejak tahun 2010 sehingga sekarang.
“Kedudukan Pulau Pinang semakin jatuh dari tangga pertama pada tahun 2010 dan 2011 kepada tangga kelima pada tahun lalu. Pada masa sama, kami terkejut melihat kos pengurusan negeri naik mendadak berkali ganda daripada RM283.15 juta pada tahun 2008 hingga RM745.54 juta (2014).
“Justeru, saya menganggap Guan Eng merupakan Ketua Menteri yang berprestasi pa­ling rendah dalam pengurusan ekonomi negeri,” ujarnya.
Tambahnya, Guan Eng juga tidak patut menyalahkan kerajaan Persekutuan atas kelemahannya dalam menguruskan ekonomi Pulau Pinang kerana peruntukan sebanyak RM1.4 bilion pada 2008 dan RM5.7 bilion pada tahun lalu telah disalurkan bagi membantu membangunkan negeri tersebut.
Selain itu beliau turut mendakwa, kerajaan negeri Pulau Pinang menjual tanah-tanah kerajaan negeri bagi membantu mengekalkan pendapatan negeri tersebut.
“Ini bukan satu model yang baik. Mereka tidak harus terus menjual tanah negeri atau hutan simpanan untuk tujuan komersial,” katanya mengulas laporan sebuah akhbar tempatan hari ini yang mendedahkan sekurang-kurangnya dua hutan simpan di Pulau Pinang telah diceroboh dan dikhuatiri boleh mengancam habitat semula jadi.