Naib Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun berkata, persoalan besar timbul sama ada Dr. Mahathir telah menerima Anwar sebagai rakan politik walaupun pernah memecat bekas Timbalan Perdana Menteri itu daripada kerajaan.

“Saya melihat Dr. Mahathir seorang mengamalkan politik murahan dan picisan walaupun mendakwa pergi ke mahkamah demi menyatakan sokongan terhadap prosiding injuksi saman bantahan pelaksanaan Akta Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang dikemukakan Anwar.

“Adakah pertemuan itu hanya membabitkan Akta MKN semata-mata sedangkan undang-undang ini telah melalui proses demokrasi dengan kelulusan Parlimen untuk dilaksanakan,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Kelmarin, Dr. Mahathir mengadakan pertemuan dengan Anwar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berikutan bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh tersebut membuat permohonan injuksi sementara terhadap pelaksanaan Akta MKN.\Walau bagaimanapun, Dr. Mahathir menafikan pertemuannya dengan Anwar sebagai tanda berdamai selepas 18 tahun memecat bekas timbalannya itu.
Pada masa sama, Khairul Azwan menjelaskan, rakyat tidak mudah tertipu dengan tindak-tanduk Dr. Mahathir yang dilihat satu permainan wayang politik dengan matlamat menghalalkan cara demi kepentingan agenda peribadi.