Beliau berkata, langkah itu merupakan inisiatif kerajaan bagi menangani isu kemiskinan bandar membabitkan masalah penempatan bagi meringankan beban rakyat.

Menurutnya, dalam usaha meringankan beban golongan miskin bandar, Kementerian Wilayah Persekutuan diarah untuk turut memberikan perkhidmatan bas sekolah percuma kepada anak-anak penghuni PPR.

“Saya dengan ini mengarahkan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor supaya melaksanakan (kemudahan itu) melalui DBKL supaya semua PPR dibuat sewa beli tanpa bayar deposit.

“Untuk anak-anak sekolah di semua rumah PPR, saya arahkan supaya berikan bas sekolah secara percuma,” katanya ketika merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Lembah Pantai, di sini.

Yang turut hadir ialah Tengku Adnan merangkap Setiausaha Agung UMNO; Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Ketua UMNO Bahagian Lembah Pantai, Datuk Seri Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin.
Jumlah PPR di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur meliputi 33 kawasan selain Perumahan Awam (PA) DBKL yang dibina di 37 kawasan membabitkan jumlah penghuni seramai 180,000 orang.

Ahmad Zahid yang juga Naib Presiden UMNO berkata, masalah kemiskinan bandar merupakan isu realiti yang dihadapi semua rakyat tanpa mengira kaum, agama dan keturunan.

Maka, kata beliau, kerajaan perlu adil dalam menyelesaikan masalah berkenaan dan perlu segera mena­nganinya kerana mereka yang tinggal di bandar sudah sekian lama dihimpit kesusahan akibat kenaikan kos sara hidup.

“Soal kemiskinan bandar merupakan satu realiti, bukan sahaja orang Melayu menghadapi masalah ini. Maka dasar kerajaan perlulah adil kepada semua kaum dan masalah kemiskinan bandar mesti diatasi.

“Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak amat prihatin terhadap masalah masyarakat miskin bandar tanpa mengira bangsa, agama dan keturunan. Jadi sudah tiba masanya kerajaan menyelesaikannya kerana sudah lama rakyat ini dihimpit kesusahan,” katanya.