Sehubungan itu, menurut Perdana Menteri, beliau memilih menjadi pemimpin yang mendengar kehendak rakyat dan parti, berbanding mengikut telunjuk seorang pemim­pin.
Mengakui dasar kerajaan hari ini tidak sempurna sepenuhnya, namun menurut beliau, perkara itu tidak bermakna kerajaan Barisan Nasional (BN) perlu diruntuhkan apatah lagi oleh bekas pemimpin parti sendiri.

“Sampai bila kita mahu hidup dalam keadaan sedemikian (mengikut telunjuk)? Mana mungkin hanya seorang individu yang mahu menentukan dasar negara?

“Meskipun ada rasa tidak puas hati sesama kita, jangan hampakan seramai tiga juta ahli UMNO yang selama ini berjuang setiap hari mempertahan parti,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap melancarkan Bulan Kemerdekaan dan merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Tasek Gelugor di sini hari ini.

Yang turut hadir, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Zainal Abidin Osman dan Ketua UMNO Bahagian Tasek Gelugor, Datuk Shabudin Yahaya serta barisan pemimpin UMNO dan BN ne­geri.

Lebih 3,000 orang menghadiri majlis itu yang mencatat sejarah tersendiri selepas buat pertama kali Presiden UMNO merasmikan Persidangan UMNO Bahagian Tasek Gelugor.
Majlis itu turut menyaksikan seramai 10 veteran UMNO Tasek Gelugor diberi penghargaan sempena sambutan Bulan Kemerdekaan.

Dalam majlis sama, Najib turut meluluskan bantuan pembinaan masjid baharu di dua kawasan Parlimen Tasek Gelugor iaitu di Kampung Banggol, Pokok Sena dan di Permatang Bogak, Sungai Dua.

Dalam pada itu, Najib menggesa barisan pemimpin BN ne­geri supaya terus memainkan peranan membela kepentingan dan kebajikan rakyat negeri ini meskipun atas kapasiti sebagai parti pembangkang.

Sementara itu, Najib berkata, sambutan Bulan Kebangsaan bukan sekadar mengibarkan Jalur Gemilang semata-mata tetapi mempunyai makna yang lebih besar.

Jelas Perdana Menteri, setiap rakyat perlu menyemat semangat mempertahan kedaulatan dan kemerdekaan negara dalam apa jua keadaan sekali pun dan tidak sesekali membenarkan pihak luar campur tangan dalam urusan negara.

Kata beliau, semangat patriotisme yang dipertahankan rakyat keseluruhannya sehingga kini menjadi antara tonggak dalam memastikan kestabilan negara seperti dikecapi hari ini.
“Kita perlu berdiri tegak sebagai bangsa yang bermaruah, jangan sampai ‘misai’ terkena bumi. Inilah nilai patriotisme yang wajib kita pertahankan,” katanya