..

..

ISU 1MDB SEBENARNYA MAINAN GEOPOLITIK KUASA ASING - PROF AZMI

on Thursday, August 4, 2016 by Generasi Pejuang Bangsa
 - 3 Comments




NEGARA Islam termasuk Malaysia kini perlu lebih berhati-hati terhadap campur tangan kuasa asing yang cuba ‘memulas tangan’ pemimpin tempatan dengan menggunakan taktik secara halus bagi memenuhi agenda mereka. Geostrategis Prof Dr Azmi Hassan berkata ancaman kuasa asing yang mencampuri urusan dalaman sesebuah negara dilihat lebih berbahaya berbanding campur tangan secara fizikal atau ketenteraan seperti yang pernah dihadapi beberapa negara Islam seperti di Syria dan Iraq.

 “Contohnya isu saman sivil oleh Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat (AS) berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), walaupun mereka menggunakan alasan menegakkan keadilan untuk membanteras salah guna wang, tetapi sebenarnya ia adalah permainan geopolitik untuk ‘memulas tangan’ pemimpin negara ini.

 “Sepatutnya tidak perlu negara luar campur tangan dalam kes ini kerana Jabatan Peguam Negara, SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia) dan PDRM (Polis Diraja Malaysia) sedang mengambil langkah menyelesaikan masalah ini,” katanya.

 Pakar dari Universiti Teknologi Malaysia itu berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai saranan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak yang menyatakan dunia Islam perlu menolak campur tangan asing, memandangkan ia jelas menjurus kepada kemusnahan seperti yang berlaku di banyak negara.

 Ketika menyampaikan ucapan khasnya pada pembukaan Forum Ekonomi Islam Dunia (WIEF) ke-12 di Jakarta, semalam, Najib berkata dunia Islam mesti jelas menolak campur tangan asing, yang biasanya berasaskan maklumat yang tidak lengkap, salah dan berpihak.

 Dalam pada itu Azmi berkata campur tangan kuasa asing turut menular melalui agensi-agensi antarabangsa termasuk kononnya mendakwa penahanan bekas ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dibuat secara sembarangan dan bermotifkan politik.

 “Tetapi kerajaan Malaysia berjaya menjaga kedaulatan negara dan menolak campur tangan asing itu dengan menyatakan proses penahanan ketua pembangkang itu telah melalui proses kehakiman sepenuhnya,” katanya.

 Sementara itu, Penganalisis Politik dan Hal Ehwal Antarabangsa dari Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Madya Dr Ahmad Marthada Mohamed berkata saranan Najib itu sealiran dengan dasar-dasar kerajaan selama ini yang tidak mencampuri urusan negara lain. Antaranya dasar tidak campur tangan yang selama ini diamalkan ASEAN terhadap urusan dalaman negara-negara anggotanya wajar dicontohi, katanya.

 Ahmad Marthada berkata Malaysia, walaupun merupakan antara negara pencetus gugusan ASEAN, namun tidak mencampuri urusan pentadbiran kerajaan Myanmar dalam menyelesaikan isu pelarian etnik Rohingya, walaupun turut terkesan dengan permasalahan itu.

 “Hal ini kerana kita (ASEAN) mengamalkan pendekatan diplomasi secara ‘constructive engagement’ yang tidak mengkritik atau menghukum secara lantang dan perkara ini menjadikan ASEAN dalam keadaan kukuh seperti sekarang ini. “Jadi dalam konteks ini sekiranya negara ASEAN sendiri pun tidak mencampuri urusan negara rakan-rakan anggotanya, apatah lagi kuasa asing yang bukan ASEAN,” katanya.

 Katanya sejarah membuktikan campur tangan asing atas sesebuah negara bukan membawa penyelesaian malahan lebih memburukkan lagi keadaan.

 Seperti yang berlaku di Iraq, penjajahan asing di negara itu untuk menggulingkan Presiden Saddam Hussein menjadi punca pergolakan negara Timur Tengah itu, katanya.

 “Begitu juga di Libya apabila pemimpinnya Muammar Ghaddafi digulingkan dengan kerjasama Barat, kita dapat lihat Libya pada hari ini juga tidak berada dalam keadaan yang lebih baik daripada sebelum ini,” katanya.


3 Responses

  1. Apa punya kangkung la Prof ni. Kupas mula tengah jalan..kuasa asing tu bukan rela hati tapi dijemput oleh petualang2 dalam negeri..

  2. Anonymous says:

    Hilang akal Prof ni..

  3. Haprak pnya prof...dh tlambat bangkitkn sentimen agama dn kemusnahan iraq dll ti. Pi la sangkal hujah2 AG AS tu...AG kta apa kurang hebatnya.

Leave a Reply

Sebarang maklumat yang hendak diberikan boleh email kepada pbpejuangbangsa@gmail.com
Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.

Followers

Created by Generasi Pejuang Bangsa. Powered by Blogger.
© GENERASI PEJUANG BANGSA. Converted by Smashing Blogger for LiteThemes.com.