Serentak dengan itu, Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak berpesan kepada kira-kira tiga juta ahli UMNO agar jangan sesekali beralih daripada landasan perjuangan parti, kerana dokongan setiap ahli menjadi kekuatan untuk UMNO terus membela Alif (agama), Ba (bangsa) dan Taa (tanah air).




Sambil mengungkapkan peribahasa ‘Bersatu kita teguh dan bercerai kita roboh’, Presiden UMNO itu berharap agar semua ahli yang akan mengambil dalam persidangan melibatkan 191 bahagian tersebut, memainkan peranan sebaik mungkin bagi menjamin kelangsungan perjuangan parti.

“Kepada semua yang akan ambil bahagian dalam Persidangan Perwakilan Bahagian UMNO bermula hari ini sehingga 15 September kelak, ingatlah bahawa setiap seorang daripada kita mempunyai peranan penting dalam menentukan hala tuju kelangsungan perjuangan parti.


“Bahawasanya dengan bersatu kita kekal teguh, andai bercerai kita akan roboh. Selamat bersidang saya ucapkan,” pesan Najib melalui laman Facebooknya hari ini.

UMNO ketika ini sedang melalui tempoh mencabar kerana terpaksa berdepan dengan kumpulan bekas pemimpin diketuai Tun Dr. Mahathir Mohamad yang disokong bekas Timbalan Presiden, Tan Sri Muhyiddin Yassin, bekas Naib Presiden, Datuk Seri Mohd. Shafee Apdal dan bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Tun Mahathir.

Keadaan tersebut tentunya memberi kesan kepada beberapa bahagian terutamanya Pagoh, Samporna dan Ayer Hitam, tetapi meskipun deras arus yang membadai, UMNO sentiasa sahaja tampil dengan kematangan politik setiap kali kemelut dalaman melanda.

Jumaat lalu, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor turut menasihatkan kepada ahli UMNO agar menumpukan kepada aspek perpaduan parti dan bukannya terlalu mengambil kira soal isu semasa yang dibangkitkan pihak tidak bertanggungjawab. - UTUSAN ONLINE