Menurutnya, jutaan ahli UMNO itu merupakan mereka yang setia sepanjang masa terhadap parti dan yakin terhadap jenama UMNO tanpa mengharapkan sebarang habuan atau pangkat.

‘‘Mereka ini tidak dapat apa. Tetapi mereka tetap setia dalam panas atau hujan. Mereka tidak dapat jawatan menteri atau menteri besar, mereka tidak dapat habuan tapi tetap kasih dan setia pada UMNO.

‘‘Itu sebab dalam hal kedudukan saya, ia bukan ditentukan oleh Tun Mahathir atau sesiapa. Saya ini bertanggungjawab pada tuan-tuan dan puan-puan. Tiga juta ahli UMNO yang boleh tentukan saya kekal sebagai presiden atau tidak,’’ katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Persidangan Perwakilan UMNO Bahagian Lumut di Dewan Merdeka Majlis Perbandaran Manjung (MPM) di sini hari ini.
Turut hadir, Menteri Besar yang juga Ketua UMNO Bahagian Lumut, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir; timbalannya, Datuk Rashidi Ibrahim dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan.

Tambah Perdana Menteri, tindakan Mahathir yang mahu menjadikan Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Besar dan Kuala Kangsar sebagai referendum kepada kepimpinannya juga gagal sebaliknya bertukar menjadi referendum lonjakan sokongan kepada Barisan Nasional (BN).

Tambah Najib, undi kaum Cina dan India semakin bertambah dalam kedua-dua PRK tersebut .

Perdana Menteri berkata, bagaimanapun UMNO dan BN tidak angkuh dengan kemenangan dalam dua PRK itu, sebaliknya mahu semua pemimpin dan ahli bekerja keras bagi memastikan kemenangan besar pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

‘‘Saya seru kita semua buatlah kerja, turun bawah, selesaikan masalah rakyat, buat baik. Orang tidak kisah isu nasional, mereka hanya nak tahu apa yang kita boleh buat untuk kepentingan rakyat dan kepentingan mereka,’’ katanya.

Najib seterusnya menegaskan, UMNO masih mampu bertahan sehingga kini berbanding beberapa parti lain di negara luar yang seusia atau lebih tua daripada UMNO.
‘‘Bayangkan dahulu kita kata parti Golkar dengan UMNO itu sama dominannya, kekuatannya. Hari ini Golkar tak macam kedudukan UMNO dalam konteks kekuasaan kita.’’ katanya