..

..

SAMAN SIVIL DOJ : KITA AKAN DAPAT ATASI MASALAH 1MDB - @Zahid_Hamidi

on Monday, July 25, 2016 by Generasi Pejuang Bangsa
 - No Comments



Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata kerajaan memandang serius tindakan Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat memfailkan saman pelucutan hak sivil yang berkaitan dengan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Beliau berkata Malaysia menyambut baik usaha DOJ Amerika Syarikat dalam memerangi rasuah antarabangsa dan menggesa semua pihak terlibat supaya memberi kerjasama sepenuhnya supaya proses undang-undang dapat dilaksanakan.
Katanya Malaysia, sebagai anggota bertanggungjawab Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) dan masyarakat global, menghormati proses perundangan bagi bidang kuasa yang berbeza dan kekal komited sepenuhnya dalam menegakkan kedaulatan undang-undang.
“Seperti yang dinyatakan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, ini adalah selaras dengan komitmen kami untuk menggalakkan tadbir urus yang baik, terutamanya dari segi ketelusan dan akauntabiliti.
“Dalam kapasiti saya sebagai Menteri Dalam Negeri, saya boleh mengesahkan bahawa siasatan itu masih dijalankan dalam negara oleh pihak berkuasa yang berkaitan terutamanya Polis DiRaja Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.
DOJ Amerika Syarikat telah menfailkan saman sivil itu bagi mendapatkan kembali aset yang diperoleh melalui dana 1MDB, yang didakwa diselewengkan.
Ahmad Zahid menegaskan bahawa mana-mana individu atau syarikat Malaysia yang didapati terlibat dalam kegiatan yang menyalahi undang-undang di mana-mana sahaja di dunia, bakal berdepan dengan tindakan perundangan.
Menurutnya kerajaan Malaysia komited menyelesaikan isu itu sepenuhnya dan keutamaan diberikan kepada usaha menegakkan keadilan bagi memastikan kepentingan rakyat dilindungi sepenuhnya.
“Apa yang lebih penting ialah kita tidak boleh membiarkan diri kita terjejas dengan tindakan undang-undang itu.
“Rakyat Malaysia perlu terus bersatu dan memberi tumpuan dalam menghadapi cabaran yang mendepani negara kita sama ada di tanah air atau di luar negara.
Saya yakin, kita dapat mengatasi masalah 1MDB tidak lama lagi,” katanya. – BERNAMA


Leave a Reply

Sebarang maklumat yang hendak diberikan boleh email kepada pbpejuangbangsa@gmail.com
Hasil tulisan atau gambar yang dipaparkan di dalam blog ini merupakan pandangan peribadi penulis sebagai rakyat Malaysia dan tidak mewakili mana mana pihak. Penulis tidak akan bertanggungjawab atas kerugian disebabkan bahan bahan yang disiarkan di dalam blog ini. Terima kasih.

Followers

Created by Generasi Pejuang Bangsa. Powered by Blogger.
© GENERASI PEJUANG BANGSA. Converted by Smashing Blogger for LiteThemes.com.