Beberapa papan iklan itu dikesan baru dinaikkan sekitar Sekinchan yang merupakan kubu kuat DAP dengan melemparkan pelbagai tuduhan agar rakyat membenci kerajaan Barisan Nasional (BN).

Tidak terkecuali, Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Jamal Md. Yunos turut diheret dalam kancah politik kotor ini dengan papan iklan yang menunjukkan kebencian antara pelbagai bangsa yang ada di negara ini.

Papan iklan dengan mesej politik kotor itu turut meletakkan gambar Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi; Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai dan calon BN bagi PRK Sungai Besar, Budiman Mohd. Zohdi.






 Papan tanda muka Datuk Jamal Md Yunos dengan petikan kata-kata ‘Panggil Cina Babi tidak salah’ yang didirikan di Sekinchan boleh menimbulkan kemarahan orang ramai, kata Khairy Jamaluddin.
Lantas Ketua Pemuda UMNO menyeru semua pihak berkepentingan dalam pilihan raya supaya berkempen secara sihat, terutama sekali di bulan Ramadan.
“Usaha untuk menimbulkan kemarahan kaum sangat tidak bertanggungjawab.
“Harap mereka yang meletakkan billboard itu tidak mengulangi lagi kerana boleh menimbulkan kemarahan orang. Kempen tidak sihat seperti ini perlu ditolak,” katanya dalam sidang media, hari ini.
Jelasnya, individu yang dikaitkan pada papan tanda itu, iaitu Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Jamal Yunos juga harus tampil memberi penjelasan.
“Billboard yang merujuk kepada kenyataan itu kita tidak tahu ia betul atau tidak, kena tanya tuan punya badan (Jamal),” katanya.
Selain daripada papan tanda wajah Jamal, turut didirikan papan tanda yang tertera logo syarikat 1MDB dengan slogan ‘BN PAS Sehati Sejiwa, Rasis Rasuah Sama Sekali’ diatas kepala Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak; Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Presiden MCA, Datuk Seri Liow Tiong Lai.
Sementara itu, Khairy berkata BN telah menyusun perancangan khas khusus bagi menarik sokongan Cina di Sekinchan.
“Kita ada perancangan tersendiri di sana melalui parti komponen. Saya juga akan luang masa dalam kempen untuk ke Sekinchan dan berkempen bersama anak muda masyarakat Cina.
“Walaupun ini cabaran kita, tetapi saya percaya dan yakin kita tidak boleh mengaku kalah serta langsung tidak dekati pengundi Cina muda,” katanya.