Sehubungan itu Ketua Dewan Pemuda Pusatnya, Nik Moha­mad Abduh Nik Abdul Aziz me­nyarankan kepada Dr. Mahathir agar memperbanyakkan ibadah dan melakukan taubat kepada Allah, bukannya masih memikirkan soal politik ketika usianya sudahpun menjangkau 91 tahun.

Saranan tersebut berselang sehari selepas bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad menasihatkan Dr. Mahathir agar mengambil ikhtibar di atas penolakan rakyat terhadap pembangkang dengan tidak terus merosakkan integriti serta pencapaian hebatnya selama ini.

“Taring Dr. Mahathir secara rasminya sudah tercabut. Zaman kekuatannya ketika bertempur dengan almarhum ayahanda (Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat) telah ber­akhir. Saya sarankan Tun perbanyakkanlah masa berada di tikar sejadah dan juga di hadapan Kaabah.

“Jika Tun kembali kepada Allah dengan taubat yang benar, itulah sebaik-baik kehidupan di hujung hayat. Saya mendoakan,” kata Nik Mohamad Abduh dalam status Facebooknya sebagai mengulas kemenangan BN serta kekalahan Pas di Sungai Besar dan Kuala Kangsar hari ini.

Dr. Mahathir yang diiktiraf sebagai negarawan di lewat usianya memilih bersekutu dengan DAP hanya semata-mata kerana berbeza pendirian politik dengan Datuk Seri Najib Tun Razak sehingga tergamak menggerakkan Deklarasi Rakyat bagi menggulingkan Perdana Menteri.
Bagaimanapun tindak-tanduk bekas Perdana Menteri paling lama berkuasa itu tidak disenangi banyak pihak termasuk Abdul Hamid kerana dibimbangi hanya akan memecah-belahkan lagi orang Melayu sekaligus menyebabkan pengaruh politik masyarakat bumiputera kain terhakis.
Dalam pada itu, menyentuh mengenai kekalahan Pas, Nik Mohamad Abduh berkata, parti itu hilang sokongan kerana berpegang kepada prinsip dan yakin kekuatan Pas akan kembali pada masa hadapan juga disebabkan prinsip.